Skip to main content

KEHIDUPAN SEDERHANA

 Coretan



Oleh: M. Mahendran

 

Saya dapati kebanyakan orang sedang mengejar untuk mengecapi segala apa yang terdapat di dunia dan lagi ramai juga yang bercita-cita untuk mencium pintu syurga dan menjadikan ia sebagai tempat tinggal mereka untuk selama-lamanya setelah meninggal dunia. Malah ada yang mahukan kedua-duanya sekali. Sungguh menghairankan.

Mereka beranggapan ia adalah perkara biasa sahaja.  Walaupun keinginan dan hasrat mereka ini bagus tetapi untuk mencapainya bukanlah suatu perkara mudah. Bukan semua orang boleh mendapatkan apa yang dihajatkan walaupun telah bertungkus-lumus. Lebih-lebih lagi, keinginan untuk mencecah kaki ke syurga – sudah tentu ia masih menjadi tanda tanya. 

Sebahagian manusia mengejar kegembiraan di dunia – sebahagian lagi mengejar ilmu dan mempraktikkan  dan mengamalkan sesuatu untuk membolehkan mereka ke syurga. Masing-masing mempunyai visi untuk mencapai kenikmatan di dunia dan selepas mati. Itu adalah hak masing-masing. Tiada siapa yang boleh menghalang keinginan mereka.

Bagi saya pula, sejak kecil lagi saya tidak mempunyai visi tertentu untuk mencapai itu dan ini.  Yang saya masih ingat, ibu menyuruh kami adik-beradik untuk belajar bersungguh-sungguh agar boleh bekerja di pejabat. Pejabat apa, tak tahulah.

Visi saya hanya untuk jangka pendek sahaja. Dapat makan biskut dengan milo pada setiap pagi pun sudah cukup. Setahu saya ramai pelajar ke sekolah tanpa bersarapan. Saya masih beruntung dalam hal ini.

Saya juga suka menonton wayang gambar. Bukan untuk semua wayang gambar dapat ditonton. Bapa cuma akan membawa kami sebulan atau dua bulan sekali ke pawagam. Ini juga adalah visi saya kerana ia menggembirakan.

Di sekolah, saya sering melihat rakan-rakan memakai kasut berjenama Bata atau lain-lain kasut berjenama. Kasut berjenama memang cantik; walaupun berminat, saya tidak pernah meminta kepada ibu atau bapa untuk belikan kasut sama seperti itu. Saya memakai kasut murah biasa sahaja sehingga ke sekolah menengah. Begitu juga dengan beg sekolah. Saya tidak pernah memiliki beg yang canggih. Beg biasa pun masih boleh mengisi buku-buku teks dan buku nota; sebab saya tahu akan kemampuan keluarga. Oleh kerana bukan semua pelajar membawa beg dan memakai kasut mahal. Tidak timbul perasaan segan.

Ketika di sekolah, boleh dikatakan saya bukanlah seorang pelajar cerdas atau cergas. Semua pelajaran dipelajari dan difahami setakat mana otak boleh menerima. Begitu juga untuk mendapat markah cemerlang adalah sungguh tipis. Walaupun berusaha setakat yang mampu, otak saya masih tidak boleh mencerna segala apa yang dipelajari; lebih-lebih lagi matapelajaran matematik. 

Jadi, sudah tentu saya tidak bercita-cita tinggi untuk menjadi apa-apa selepas tamat sekolah. Setakat mendapat bekerja di pawagam pun saya akan berpuas hati.  Pada masa itu juga tidak ada sesiapa untuk memberi motivasi di bandar kecil yang terletak di tengah-tengah hutan berbukit-bukau seperti Bentong. Tiada pendedahan.

Setelah dewasa, saya memilih untuk bekerja di pasar raya, sebab itu sahaja pekerjaan yang sesuai dengan saya, walaupun tidak suka. Dengan gaji tidak seberapa, saya masih dapat berjimat-cermat dan boleh mengirim sejumlah wang  untuk ibu bapa. Ia tetap menggembirakan mereka, sedangkan jumlahnya sedikit sahaja. 

Saya juga pernah bekerja sebagai guru sementara. Nama pun guru sementara, jadi pekerjaan itu pun bertahan sementara waktu selama tiga tahun sahaja. Kemudian saya kembali bekerja di pasar raya sehingga bersara. Meninggalkan tugas guru sungguh menggembirakan, walaupun terpaksa melepaskan gaji yang boleh dikira bagus pada era itu(1990-an).

Bidang penulisan adalah bidang yang saya minati sejak tingkatan 4. Saya menulis untuk kepuasan diri. Saya tidak menulis secara serius untuk menonjolkan diri atau untuk memenangi anugerah dan menggondol hadiah utama dalam sayembara. Namun begitu, saya sudah memenangi tiga kali dalam sayembara cerpen. Itu pun sudah mencukupi.

Saya mula aktif menulis sejak bersara beberapa tahun yang lepas dan juga selepas menghadiri sesi penulisan anjuran Kavyan yang dibimbing oleh saudara Uthaya Sankar SB. Yang penting saya masih menulis walaupun tidak menghasilkan apa-apa yang ‘besar’. Dan saya tidak pernah mengeluh dengan pencapaian itu.

Selain itu, saya juga tidak berminat untuk mendirikan rumahtangga dan tidak tahu sebabnya. Saya sudah lebih selesa hidup begini tanpa perlu risau tentang perkara-perkara lain yang boleh membingungkan saya.

Yang penting, ada tempat untuk berlindung, makan,  pakai dan ada sahabat-sahabat yang memahami pendirian saya. 

Ketika ke kuil pun saya tidak pernah meminta atau berdoa itu dan ini; cuma berharap; saya, kaum keluarga serta warga dunia hidup sihat sejahtera. Dan sudah pasti Tuhan maha mengetahui segala-galanya. Tidak usah menyusahkan-Nya. Tidak perlu bersusah-payah mencari orang tengah untuk mengenali Tuhan. Kerana Tuhan sudah berada di mana-mana jua. 

Kesimpulannya, saya boleh membuat persepsi diri saya sendiri; iaitu saya hanya berminat untuk hidup sederhana tanpa menanggung beban dan masalah.

Saya juga berpendapat jika seluruh penghuni di muka bumi ini memilih untuk hidup sederhana, baik dari segi pemakanan,  berbelanja dan amalan agama; sudah tentu banyak perkara dapat ‘diselamatkan’.

Yang penting, kita gembira dan puas dengan kehidupan ini tanpa membebankan diri sendiri dan mereka yang lain.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

சிறுமி நீய்ஹா மதனின் சாதனைகள்

  அனுபவம்      எம்.   பிரபு   நான் தொடக்கப்பள்ளியில் படித்த காலத்திலிருந்தே மணிமேகலை நாயர் அவர்களின் குடும்பத்தை அறிந்திருந்தேன். மணிமேகலையும் அப்போது சிறுமியாக இருந்தார்.    என் தந்தை திரு. எஸ். மாதவன் அவர்கள்   National Union of Plantation Workers ( தேசிய தோட்டத் தொழிலாளர் சங்கம்) அமைப்பில் பொருளாளராகப் பணியாற்றினார். ஒவ்வொரு மாதமும்  அவர் மற்றும் ஓட்டுநர்   திரு. கோவிந்தன் அவர்களுடன் பஹாங்கில் உள்ள பல தோட்டங்களுக்கு Peugeot   404 காரில் சென்று தொழிலாளர்களிடமிருந்து சங்க ச்   சந்தாவை வசூலி ப்பதோடு  தோட்டத் தொழிலாளர்கள் எதிர் நோக்கும் பிரச்சனைகளையும் கேட்டறிவார்கள். அந்த வயதில் அங்கு நடக்கும் பிரச்சனைகளைப் பற்றி சரியாக உள்வாங்கிக் கொள்ள இயலவில்லை. இந்த மாதச்   சந்தா,  தொழிலாளர்களின் பாதுகாப்பிற்காகவும்   நலனுக்காகவும்  மேற்கொள்ளப்பட்டதாக அறிவேன். பொதுவாக தோட்ட பிரதிநிதிகள் மூலம் மாதச் சந்தா சேகரிக்கப்பட்டன. பள்ளி விடுமுறைகளில் நான் மற்றும் என் சகோதரர் ,  தந்தையுடன் அந்தப் பயணங்களின் போது...

PENGECUT

  Cerpen    Oleh: M. Mahendran       “Kita perlu menolong mereka. Mereka dalam kesusahan. Tanpa ditolong, mereka tidak dapat makan.” “Kita tinggal jauh. Biarlah mereka yang tinggal berdekatan menolong.” “Jangan peduli tentang negara yang berdekatan. Mereka di seberang lautan ialah saudara kita. Kita harus menolong mereka.” “Tanpa pertolongan kita, adakah mereka akan mati kebuluran?” “Ya. Jadi hulurkanlah bantuan.” “Bagaimana cara membantu mereka?” “Kita perlu merentasi lautan.” “Tidak bolehkah dengan mengirim wang sahaja?” “Itu tidak cukup. Kita perlu pergi sendiri untuk menghulurkan makanan, pakaian dan bantuan kesihatan. Ini perlu dilakukan sendiri. Barulah kita akan rasa puas dan mereka pun akan gembira.” “Tidak bahayakah merentas lautan?” “Demi menolong saudara kita di situ, apa pun tidak bahaya.” “Jadi, kamu akan ke sana merentas lautan dengan kapal walaupun kamu tidak pernah pergi sebelum ini?” “Kamu boleh ikut kami. Dengan berbuat demikian, kamu akan...

ஒரு கொலைகாரனுக்குப் பின்னால் ...

  சிறுகதை   எம்.   பிரபு                                       தெரிந்தோ தெரியாமலோ அவன் இந்த க்  கொலையை ச்  செய்து விட்டான். பிணம் நிச்சயம் எழப் போவது இல்லை. நடந்து முடிந்த சம்பவத்தை அவனால் மாற்றி அமைக்க இயலாது. நடந்து விட்டது. அதுதான் உண்மை. அழுதும் பயனில்லை. இந்த ச்   சூழ்நிலையை ஏற்றுத்தான் ஆக வேண்டும். காலம் கடந்து விட்டது. இப்போது அவன் செய்ய வேண்டியது ஒன்றுதான். இந்த பி ண த்தை அப்புறப் படுத்துவது. இனியும் தாமதப் படுத்த இயலாது. பிறகு சூழ்நிலை அவன் பக்கம் சார்ந்து இருக்காது . இது அவனுக்கு இரண்டாவது முறை . இதற்கு முன்பு செய்த போது அந்த வீட்டின் பின்னால் பரந்த நிலம் இருந்தது. அங்கு அதை புதைத்தாகி விட்டது. இப்போது நட த்தப்பட்ட  கொலை, அவனுக்கு   கடினமானது. இந்த கொலை தான்  அவன் முன்பு செய்த கொலைகளிலிருந்து மாறுபட்டது.   சங்கடமானதும்  கூட. இந்த வீடமைப்பு ப...