Coretan M. Mahendran Tatkala pada suatu hari jam lapan malam, aku baru hendak meletakkan tangan pada nasi yang masih panas berwap, isteriku yang cantik manis memanggilku dari anjung rumah. Suaranya nyaring seperti memintaku datang dengan segera. Aku tidak tahu mengapa dia perlu memanggil ketika perutku meminta-minta untuk diisi. Nasib baik kari ayam, kobis dan timun belum dibubuh atas nasi. “Ada apa, sayang?” “Marilah keluar lihat ini, yang.” “Lihat apa?” “Bulan purnama.” “Bukannya baru hari ini purnama muncul di langit.” “Marilah keluar.” “Saya mahu makan nasi, ni.” “Bawalah nasi tu keluar sini.” Aik! Apa sudah kena dengan isteri kesayanganku ini? “Marilah. Di luar sini boleh menikmati nasi bersama purnama mengambang.” Jadi, dengan pantaslah aku mengisi kari ayam dan lain-lain dalam pinggan dan menuju ke anjung rumah. “Sayang tidak makan?” tanyaku dengan rasa penuh kasih sayang. Aku duduk di kerusi rotan sebelah isteri tercantik. Bau badannya sungguh ha...