Skip to main content

DENYUTAN NADI SEORANG LELAKI TUA

 Cerpen

 




M. Mahendran

 

 

Di sebuah taman perumahan, pada suatu hari waktu malam, ketika para jiran tetangga sedang leka berurusan dengan telefon pintar, menonton TV dan makan malam; di salah sebuah rumah yang lain, pisau ditusuk tiga kali pada bahagian perut seorang lelaki tua.

 Bunyi tusukan itu sungguh menggerunkan.

 Gedebuk!  

Orang tua itu tersungkur ke lantai. Dia mengerang kesakitan yang teramat sangat. Darah keluar dari perut membuak-buak mengalir membasahi lantai mozek.  

Pembunuh itu tidak melarikan diri dengan tergesa-gesa. Dia masih berdiri di ruang tamu, memerhatikan saat-saat terakhir seorang yang akan digelar si mati. Dia menikmati sungguh detik-detik itu.

Pembunuh itu tunduk melihat dengan lebih dekat untuk memastikan orang tua itu tidak bernafas lagi. Mata orang tua itu masih terbuka seperti terkejut, walaupun denyuntan nadinya sudah berhenti.

“Padan muka!”

“Padan muka?”

Ayeesha tercengang melihat Rosmah nampak gembira bercakap menggunakan telefon pintar. Dia tidak kelihatan begitu beberapa bulan kebelakangan ini. Lain pula cerianya pada hari ini.

“Ya, padan muka.”

“Apa yang kamu merepek ini, mah?”

“Saya tak merepek. Itulah kebenaran.”

“Saya manalah tahu hujung pangkal. Selama ini kamu diam sahaja. Tanya pun tak nak jawab.”

Tanpa menoleh ke arah Ayeesha, Rosmah meneruskan kerjanya di desktop. Dia sendiri perasan yang dia terlebih bereaksi tadi. Ceria pada wajahnya lenyap serta-merta. Dia rasa tidak sepatutnya gembira mendengar berita itu.

“Saya nak balas semua e-mel ini. Nanti, masa rehat saya akan beritahu awak.”

Ayeesha pening melihat perubahan mendadak pada diri Rosmah. Sebentar gembira, sebentar kemudian muram.  Ayeesha tidak sabar. Waktu rehat masih jauh lagi.

Dia tahu lelaki tua itu tinggal seorang diri di rumah dua tingkat itu. Dia pernah ke rumah itu tiga kali sebelum ini. Dia berharap sungguh tidak ada sesiapa di dalam rumah itu seperti kebiasaannya. Dia juga pasti, rumah itu tidak ada kemudahan CCTV. Bodoh! Kaya pun tak nak pasang CCTV. Bagus juga.

Setelah turun dari LRT, dia berjalan menuju ke rumah lelaki tua itu dengan perasaan berdebar-debar. Pisau Rambo jenis kecil yang dibeli melalui aplikasi Tik Tok, dilindungkan dengan kemas di dalam jaket hitam.  

Memakai jaket pada waktu malam walaupun nampak biasa, dia tidak biasa berpakaian sedemikian. Lagipun, dia memakai topi, pelitup muka, cermin mata serta bersarung tangan lagi. Jadi, ia membuatkan seluruh badannya berpeluh. Lebih-lebih lagi, jarak LRT dan rumah orang tua itu agak jauh juga. Dia boleh sahaja datang dengan keretanya. Lebih selamat menggunakan pengangkutan awam.



Memang Rosmah gembira. Walaupun gembira, jauh di sudut hati, dia berasa bersalah. Untuk mengelakkan semua ini, apa yang terjadi itu adalah untuk kebaikan. Biar tidak ada lagi orang lain mengambil peluang seperti itu lagi. Rosmah masih keliru dan sedih dalam kegembiraan itu.

Dia tidak tahu bagaimana hendak menerangkan perkara ini kepada rakan sekerjanya Ayeesha. Adakah Ayeesha boleh menyimpan rahsia jika diberitahu segala-galanya? Dia tidak pasti. Tidak boleh percaya sesiapa pun pada zaman ini. Mungkin lebih baik berdiam sahaja, fikirnya.

Rosmah amat sibuk dengan kerja hingga lupa masa rehat hampir tiba. Ayeesha pula berasa masa bergerak dengan sungguh perlahan pada hari itu, walaupun mereka berdua duduk sebelah-menyebelah di pejabat.

Lampu di beranda menyala dan kelihatan kereta Mini Cooper hijau tersergam indah, berkilau.

 Bagus untuknya untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama terpekung di dada. Dia menekan butang loceng di tepi pintu pagar. Tidak ada orang yang membuka pintu hidrolik itu. Dia menekan lagi.

Dalam beberapa minit kemudian kedengaran bunyi pintu kayu jenis mahal dibuka. Dia melambai ke arah orang tua itu.

“Siapa tu? Apa hal malam-malam buta ni?”

“Saya Nizam. Ada sedikit urusan tentang perkara hari itu, nak diselesaikan," jawabnya dengan tidak berapa lantang.

“Bolehlah beritahu sekarang.”

Ayeesha menggesa Rosmah sambil mengunyah rojak dengan penuh selera.

Rosmah seperti biasa, mengambil sedikit nasi, kuah kari ayam, tauge dan tempe goreng sahaja. Ayeesha tidak faham dengan selera kawannya itu. Makan sedikit sangat. Badan dahlah kurus.

Rosmah sedar akan kesilapannya meluahkan perasaannya tadi. Kini dia perlu menjawab setiap soalan yang akan diajukan oleh Ayeesha.

Rosmah berhasrat untuk memberitahu yang mana perlu sahaja. Yang lain sudah tentu perlu ditapis. Sama seperti mengedit cerpen dan novel karangannya. Ayat-ayat yang bagus dan sesuai sahaja perlu dijadikan tatapan pembaca.

“Awak tahu, kan saya sedang menyiapkan sebuah novel.”

“Ya, tahu. Apa tajuknya  … er …Kiamat?”

“Bukan Kiamat … Khianat.”

“Oh, Khianat. Jadi?” tanya Aiyeesha  berhenti mengunyah.

“Saya selalu ke pejabat penerbitan Buku Kita.”

“Ya. Kamu pernah beritahu dulu.”

Ayeesha sungguh teruja mendengar satu-satu patah perkataan yang dituturkan oleh Rosmah. Dia suka mendengar cara Rosmah bercakap. Sungguh beremosi dan bergaya. Sebab itulah dia boleh menjadi penulis. Mungkin beginilah semua penulis di luar sana, fikir Ayeesha.   

“Penerbitnya Encik Idrus …”

“Oh, dia pun seorang penulis, bukan?”

Rosmah tidak gemar cara Ayeeshah memotong cakapnya. Selalu pun begitu.

“Ya, banyak novel thriller dan buku-buku ilmiah dia hasilkan.”

“Mengapa awak pakai lain macam hari ini? Bukankah semua sudah dibincangkan di pejabat, hari itu?”

Orang tua itu kelihatan seakan-akan tidak puas hati dengan kehadiran Nizam.

“Selsema. Ada sikit masalah hendak dibincangkan,” dia masih menjawab dengan perlahan.

Pintu pagar hidrolik dibuka. Nizam menyorokkan kedua belah tangannya ke dalam kocek seluar. Dia tidak pasti bila sesuai untuk  mengeluarkan senjata itu dari jaket. Di luar memang tidak sesuai.

“Masalah apa, Nizam?”

“Boleh saya  masuk dalam?”

“Er … boleh. Jom ..”

“Jadi, apa kena-mengena dia dengan ‘padan muka’ yang kamu sebut pagi tadi?”

“Memang adalah. Tapi saya mahu awak merahsiakan perkara ini, boleh?”

“Hmm … boleh saja.”

“Saya selalu ke pejabatnya untuk berbicang tentang novel yang sedang saya usahakan. Dia selalu beri idea-dea yang bagus untuk menggarap kisah dalam novel itu menjadi lebih menarik agar pembaca berdebar jantung ketika membacanya.”

“Jadi?”

Ayeesha berasa tidak berapa menarik dengan apa yang disebut oleh Rosmah itu.

“Encik Idrus itu, gatallah!”

“Haa!”

“Ya. Setiap kali saya ke pejabatnya, dia akan bercakap sebagai seorang penulis berkaliber, tetapi cara dia memandang saya tu …”

“Bagaimana dia pandang kamu?”

Sekarang Ayeesha berasa seronok pula dengan apa yang disampaikan oleh Rosmah. Cepat-cepat dia menghabiskan rojaknya dan menghirup teh O ais limau. Rosmah pula tidak dapat menghabiskan makanannya. Dia cuma menyedut sirap ais sedikit demi sedikit.

“Mana Ros?”

Lelaki tua yang berpakaian kain pelikat dan bersinglet putih itu masuk ke dalam ruang tamu lalu duduk di sofa.

“Duduklah.”

“Dia tak perlu datang. Ini urusan aku dengan kamu … Encik Id …Idrus!”

“Saya … saya … tak faham.”

Nizam tidak duduk. Dia perlu selesaikan tugasnya. Tangannya dimasukkan ke dalam jaket.

“Kamu memang orang tua gatal. Tahulah isteri awak tu dah lama meninggal. Itu bukan bermaksud kamu boleh lakukan apa saja terhadap isteri orang!”

“Er …er … apa yang awak merepek, ni?”

“Jangan berlakunlah, orang tua tak sedar diri!”

“Setiap hari dia akan menghantar mesej-mesej gatal melalui WhatsApp dan cepat-cepat dia akan padamkannya.”

“Eee … tak sangka ya. Kamu tak buat screen shot?”

“Dapat dua saja.”

“Tak beritahu suami kamu atau lapor kepada polis?”

“Saya tak mahulah nama dia tercemar. Dan Encik Idrus itu adalah penulis kesukaan saya. Tak sampai hati. Dulu pun saya pernah dengar ada penulis-penulis wanita lain bercakap begitu dan begini tentang Encik Idrus, tapi saya tak percaya.”

“Selepas itu apa yang terjadi, sampai kamu sebut padan muka, pagi tadi?”

“Selama ini kami berdua bersabar sahaja, tapi bila aku dah tahu kamu sudah sentuh dan pegang  Rosmah, aku tak boleh bersabar lagi!”

Tanpa berlengah lagi, Nizam mengeluarkan pisau Rambo dari dalam jaketnya, menarik penulis tersohor itu dari sofa dan menikam tiga kali pada bahagian perutnya.

 Gedebuk!  

Orang tua itu tersungkur di lantai. Dia mengerang kesakitan yang teramat sangat. Darah keluar membuak-buak dari perutnya  mengalir membasahi lantai mozek.

“Pagi tadi saya dapat berita Encik Idrus sudah mati ditikam di dalam rumahnya. Tak tahu siapa yang bunuhnya. Ada orang sebut, dia bunuh diri.”

“Bunuh diri? Tak masuk akal.”

 Rosmah diam. Mereka berjalan semula ke pejabat. Kemudian Ayeesha seperti terikir sesuatu, "Kalau dari awal lagi kamu lapor kepada pihak polis, mungkin dia tak terbunuh, kan?"

Rosmah tidak menjawab. 


 

Tamat

 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

சிறுமி நீய்ஹா மதனின் சாதனைகள்

  அனுபவம்      எம்.   பிரபு   நான் தொடக்கப்பள்ளியில் படித்த காலத்திலிருந்தே மணிமேகலை நாயர் அவர்களின் குடும்பத்தை அறிந்திருந்தேன். மணிமேகலையும் அப்போது சிறுமியாக இருந்தார்.    என் தந்தை திரு. எஸ். மாதவன் அவர்கள்   National Union of Plantation Workers ( தேசிய தோட்டத் தொழிலாளர் சங்கம்) அமைப்பில் பொருளாளராகப் பணியாற்றினார். ஒவ்வொரு மாதமும்  அவர் மற்றும் ஓட்டுநர்   திரு. கோவிந்தன் அவர்களுடன் பஹாங்கில் உள்ள பல தோட்டங்களுக்கு Peugeot   404 காரில் சென்று தொழிலாளர்களிடமிருந்து சங்க ச்   சந்தாவை வசூலி ப்பதோடு  தோட்டத் தொழிலாளர்கள் எதிர் நோக்கும் பிரச்சனைகளையும் கேட்டறிவார்கள். அந்த வயதில் அங்கு நடக்கும் பிரச்சனைகளைப் பற்றி சரியாக உள்வாங்கிக் கொள்ள இயலவில்லை. இந்த மாதச்   சந்தா,  தொழிலாளர்களின் பாதுகாப்பிற்காகவும்   நலனுக்காகவும்  மேற்கொள்ளப்பட்டதாக அறிவேன். பொதுவாக தோட்ட பிரதிநிதிகள் மூலம் மாதச் சந்தா சேகரிக்கப்பட்டன. பள்ளி விடுமுறைகளில் நான் மற்றும் என் சகோதரர் ,  தந்தையுடன் அந்தப் பயணங்களின் போது...

PENGECUT

  Cerpen    Oleh: M. Mahendran       “Kita perlu menolong mereka. Mereka dalam kesusahan. Tanpa ditolong, mereka tidak dapat makan.” “Kita tinggal jauh. Biarlah mereka yang tinggal berdekatan menolong.” “Jangan peduli tentang negara yang berdekatan. Mereka di seberang lautan ialah saudara kita. Kita harus menolong mereka.” “Tanpa pertolongan kita, adakah mereka akan mati kebuluran?” “Ya. Jadi hulurkanlah bantuan.” “Bagaimana cara membantu mereka?” “Kita perlu merentasi lautan.” “Tidak bolehkah dengan mengirim wang sahaja?” “Itu tidak cukup. Kita perlu pergi sendiri untuk menghulurkan makanan, pakaian dan bantuan kesihatan. Ini perlu dilakukan sendiri. Barulah kita akan rasa puas dan mereka pun akan gembira.” “Tidak bahayakah merentas lautan?” “Demi menolong saudara kita di situ, apa pun tidak bahaya.” “Jadi, kamu akan ke sana merentas lautan dengan kapal walaupun kamu tidak pernah pergi sebelum ini?” “Kamu boleh ikut kami. Dengan berbuat demikian, kamu akan...

ஒரு கொலைகாரனுக்குப் பின்னால் ...

  சிறுகதை   எம்.   பிரபு                                       தெரிந்தோ தெரியாமலோ அவன் இந்த க்  கொலையை ச்  செய்து விட்டான். பிணம் நிச்சயம் எழப் போவது இல்லை. நடந்து முடிந்த சம்பவத்தை அவனால் மாற்றி அமைக்க இயலாது. நடந்து விட்டது. அதுதான் உண்மை. அழுதும் பயனில்லை. இந்த ச்   சூழ்நிலையை ஏற்றுத்தான் ஆக வேண்டும். காலம் கடந்து விட்டது. இப்போது அவன் செய்ய வேண்டியது ஒன்றுதான். இந்த பி ண த்தை அப்புறப் படுத்துவது. இனியும் தாமதப் படுத்த இயலாது. பிறகு சூழ்நிலை அவன் பக்கம் சார்ந்து இருக்காது . இது அவனுக்கு இரண்டாவது முறை . இதற்கு முன்பு செய்த போது அந்த வீட்டின் பின்னால் பரந்த நிலம் இருந்தது. அங்கு அதை புதைத்தாகி விட்டது. இப்போது நட த்தப்பட்ட  கொலை, அவனுக்கு   கடினமானது. இந்த கொலை தான்  அவன் முன்பு செய்த கொலைகளிலிருந்து மாறுபட்டது.   சங்கடமானதும்  கூட. இந்த வீடமைப்பு ப...