Pengalaman
M. Mahendran
“Dulu masa kami lain, tak macam kamu semua sekarang.”
Sudah tentu ramai pernah mengucapkan kata-kata seperti ini kepada generasi muda kita. Ini adalah benar kerana setiap era berlaku perubahan demi perubahan. Apa yang kita pernah mengalami pada waktu kecil sudah tentu tidak dialami oleh anak-anak kita ataupun cucu-cucu kita sekarang.
Sebagai anak yang dilahirkan pada penghujung tahun 1960-an dan sedang menghampiri 6 dekad hidup di muka bumi ini, saya telah mengalami pelbagai jenis pengalaman; baik dengan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara mahupun rakan-rakan. Sudah tentu membesar bersama mereka telah membentuk pemikiran dan gaya hidup saya sekarang.
Apa yang saya ingin perkatakan di sini adalah, semua anak yang dilahirkan sudah pasti diberi kasih sayang yang secukupnya dan juga dimanjakan. Cara memanjakan seseorang anak adalah berbeza-beza. Ada ibu bapa bermanja dengan anak-anak ketika perlu sahaja manakala ada ibu bapa memanjakan mereka setiap masa mengikut kriteria masing-masing. Ibu bapa jenis kedua inilah yang sungguh berbahaya. Mereka bukan sahaja meracuni anak-anak mereka, malah meracuni diri mereka sendiri.
Memang perlu diakui itu adalah hak masing-masing untuk bermanja. Tetapi untuk jangka masa panjang, sikap manja itulah yang akan membinasakan kehidupan mereka.
Ketika saya dan adik-beradik membesar, keadaan kami adalah sungguh berbeza. Ibu-bapa kami membesarkan kami dengan didikan yang sederhana. Tidak dimanjakan sangat atau pun dikasari.
Tahun 60-an dan 70-an adalah zaman yang cukup berbeza dengan sekarang. Segala kemudahan dikecapi sekarang adalah impian semata-mata ketika itu. Dan apa yang tidak pernah dijangka juga telah wujud sekarang.
Manja ibu-bapa terhadap kami adalah cuma dari segi mendukung, mengucup, memberi makanan, minuman dan pelajaran sahaja. Jika masa terluang, kami dibawa menonton wayang gambar sebulan atau dua kali sahaja. Tidak lebih daripada itu. TV pun tidak ada di rumah kami.
Kami diajar tentang kepayahan hidup tanpa sedar. Walaupun masih kecil, kami sudah tahu untuk menanak nasi, membasuh pinggan-mangkuk, pergi ke pejabat pos membayar bil api/air, mengepos surat, membeli barangan keperluan harian di kedai runcit, pergi ke pasar dan juga pergi dan balik dari sekolah bersendirian tanpa bantuan. Ini tidak termasuk lagi berbaris di pondok telefon untuk menghubungi saudara-mara yang tinggal jauh serta menimba air di sungai ketika terputus bekalan air paip.
Kami membesar secara berdikari serta menolong ahli-ahli keluarga lain sebagai tanggungjawab dan dilaksanakan apabila dipinta dan tanpa dipinta.
Tatkala menjadi dewasa, kami telah mempraktikkan perkara yang sama di tempat kerja. Walaupun pekerjaan itu bukanlah menjana pendapatan lumayan tetapi apa yang diamalkan sejak kecil tanpa dimanja telah menolong kami sedikit sebanyak untuk berkelakuan baik dan memberi tumpuan penuh ketika bekerja.
Sebagai contoh, saya selalu suka berada di tempat kerja setengah jam lebih awal. Keluar masuk rehat sentiasa menepati masa. Mengambil cuti tahun atau sakit ketika benar-benar perlu sahaja. Setiap kerja saya suka menyiapkannya pada hari itu juga tanpa ditangguh.
Pada masa itu saya tidak sedar bahawa cara didikan ibu bapa membesarkan saya tanpa manja berlebihan telah membentuk diri saya sebegitu rupa di tempat kerja. Cuma ia disedari setelah melebihi dua puluh tahun. Saya bangga kerana dibesarkan begitu walaupun tidak memiliki harta melimpah ruah.
Dalam psikologi Barat, “manja” dikaji sebagai indulgent parenting atau overindulgence, iaitu gaya keibubapaan yang terlalu memanjakan dan menuruti segala kehendak anak tetapi kurang memberi had dan kawalan. Ahli psikologi Diana Baumrind meletakkannya sebagai satu daripada empat gaya keibubapaan, dengan ciri utama: memberi barang berlebihan, terlalu terlibat buat semua untuk anak, dan tidak menguatkuasakan peraturan.
Kajian ke atas remaja di AS mendapati behavioral indulgence iaitu memanjakan dari segi tingkah laku paling memberi kesan negatif kerana ia menghalang remaja memenuhi tiga keperluan psikologi asas: berdikari, rasa cekap, dan hubungan sosial. Akibatnya, remaja cenderung ada kawalan diri yang lemah, mudah stres dan tidak tahu untuk berdikari.
Di Sepanyol dan Mexico, indulgent parenting kadang-kadang menjadi faktor pelindung yang mengurangkan anxiety dan salah laku, kerana budaya mereka lebih mementingkan keakraban keluarga. Kajian jangka panjang pula menunjukkan orang dewasa yang dimanjakan semasa kecil lebih rasa hidup mereka dikawal oleh nasib, kurang yakin sebagai ibu bapa, dan tidak rasa bertanggungjawab atas tingkah laku anak sendiri. Pakar Barat rumuskan bahawa kasih sayang itu perlu, tetapi jika “manja” bermaksud memberi berlebihan tanpa had dan mengambil alih tugas yang sepatutnya anak buat sendiri, ia akan mengganggu perkembangan berdikari, terutama dalam budaya yang utamakan kebebasan berdikari.
Kita boleh lihat rata-rata kanak-kanak di negara kita dimanjakan oleh ibu bapa mereka. Apa yang dipinta atau tidak dipinta, semua dapat diperoleh dengan mudah kerana sikap manjakan anak dan peningkatan dalam kuasa membeli rakyat Malaysia.
Akibat apabila mereka terlalu memanjakan anak; mereka akan kurang berdikari, kurang disiplin, mudah kecewa, akan mementingkan diri, lemah dalam kemahiran sosial, kurang daya tahan dan prestasi akademik terjejas.
Anak-anak begini akan membahayakan diri dan seluruh masyararakat di sekeliling mereka. Iaitu mereka akan mudah terjerumus ke dalam aktiviti negatif hingga melanggar peraturan dan undang-undang negara.
Ayuh, marilah kita berganding bahu membentuk generasi kini sebagaimana nenek moyang kita membesarkan anak-anak mereka tanpa manja berlebihan. Biarlah mereka menelesuri hidup ini dengan bersusah-payah agar masa depan mereka tidak menjadi tanda soal.
Manja boleh, tetapi biar berpada.

Comments
Post a Comment