Cerpen
M. Mahendran
Hari ini:
Dia mengangkat kepala dari telefon pintar. Matanya memerhatikan mereka yang sedang lalu-lintas di kaki lima restoran mamak yang mempunyai banyak cawangan di sekitar bandar Kuala Lumpur dan Selangor. Roti canai yang dikunyah tadi masih terlekat pada kerongkong. Sambil memandang mereka yang sedang berjalan di kaki lima, dia meneguk semula teh panas yang sudah pun menjadi suam.
Dia meletakkan telefon pintar di atas meja. Matanya masih tertancap melihat mereka yang sedang bergegas seperti mengejar sesuatu. Mengejar sesuatu yang belum tentu dapat dicapai. Mengejar sesuatu yang akan dimiliki cuma untuk sementara waktu.
Nama dia Siddharth. Dia tidak pasti sama ada ibu bapanya memilih sempena nama Siddhartha Gautama Buddha atau sengaja menamakannya begitu tanpa sebab.
Nasib baik tidak dinamakan dengan nama hujung itu.
Dia malu.
Sudah tentu nama Buddha tidak sesuai dengan rupa para paras serta apa yang sedang dilakukannya.
Beberapa hari lalu:
Dengan pantas dia melaksanakan tugasannya dan dengan pantas juga dia melarikan diri dengan cuma menunggang Honda EX5. Itu sudah cukup dan mudah.
Nampak memang mudah. Yang penting motosikalnya memaparkan nombor plat palsu dan wajahnya tidak dicam oleh mereka yang berada di tempat kejadian. Begitu juga dengan CCTV. Aksi berbahaya. Membahayakan kedua-dua pihak.
Ini adalah tugasan ke-8 yang dilaksanakan. Walaupun dia mengambil risiko untuk merealisasikannya tetapi ganjarannya adalah lumayan. Sudah tentu dia tidak akan melihat jumlah yang begitu banyak dengan cuma menjadi penghantar makanan. Jika dikumpul pendapatannya selama setahun tanpa makan dan minum pun, tidak tentu akan mencapai jumlah itu.
Hari ini:
Siddharth masih duduk di kerusi kedai mamak. Dia mengambil cuti lagi hari ini. Mahu melegakan stres yang dialami selama sebulan. Walaupun nampak mudah dan sekejap sahaja tugasan yang dilaksanakan itu dan tujuh tugasan sebelum ini; kepala otak dan badannya menjadi sungguh letih.
Jika dibandingkan dengan kerja menghantar makanan dengan tugasan yang dilakukan beberapa hari lepas, Siddarth jauh lebih menggemari kerja menghantar makanan. Dia sungguh gembira. Gembira bukan kerana boleh mencari nafkah tetapi gembira dapat berkhidmat untuk pelanggan. Dia gembira kerana dapat mengenyangkan mereka yang dalam kelaparan jauh di atas tingkat 20 atau di mana-mana sahaja. Kelegaan atma.
Tugasan sampingan ini pula tidak terlalu kerap. Kadang-kadang setahun sekali pun tidak. Tugasan mengikut keperluan sahaja. Ia tidak boleh dilakukan seperti kerja-kerja lain. Bahaya.
Kecekapan dan kelicikan adalah asas penting untuk kerja sampingan itu. Siddharth masih ingat detik-detik awal dia menceburkan diri dalam bidang yang sungguh berbahaya ini.
Lima tahun lepas:
“Woi! Tunggu sekejap.”
Begitulah uncle itu menahan Siddharth ketika dia menghantar makanan yang dipesan ke rumahnya.
Cara uncle itu memang nampak kurang ajar. Siddharth bersabar sahaja. Slogan Customer Is Always Right terlintas di fikiran.
“Awak boleh cari makan … ah dengan kerja ini?”
“Bolehlah, bos.”
“Cukup pakai, meh?”
Siddharth tidak faham mengapa seorang yang tidak dikenali tiba-tiba mengambil berat tentang dirinya. Kebiasaannya orang tidak akan peduli pun. Kena marah itu lumrahlah. Tetapi uncle ini lain sedikit. Siddharth dapat merasakan sesuatu. Daripada riak wajah dan cara uncle bertanya itu pun dia dapat mengagak yang uncle ini perlukan pertolongan.
“Cukup-cukup sahajalah bos.”
“Sudah kahwinkah?”
“Sudah bos. Muda-muda dulu sudah kahwin. Ada dua orang anak. Satu lelaki dan satu perempuan. Satu di tingkatan satu dan satu lagi di darjah enam.”
Siddharth tidak faham mengapa dia perlu menjawab begitu panjang lebar.
“Wah, bagus juga lu. Badan kurus lagi handsome.”
Siddharth berasa cuak pula terhadap uncle dengan pujian itu. Dia berharap uncle itu bukan memujinya untuk tujuan lain. Dia seperti mahu beredar sahaja dari situ secepat mungkin.
“Ok bos, saya ada banyak tempat lagi mahu pergi.”
“Oi, nanti dulu … mah. Saya belum habis cakap lagi.”
“Ada apa lagi, bos?”
“Saya ada satu kerja bagi you buat. Mahu tak?”
Siddharth masih sangsi dengan uncle itu. Lebih-lebih lagi dengan kerja yang dia hendak tawarkan itu.
“Mari sekejap. Kita duduk di sana baru cakap.”
Uncle itu memegang tangan Siddharth lalu menariknya ke tempat duduk kerusi rotan di luar rumah banglo dua tingkatnya. Tindakan uncle itu mencemaskan, lagi mendebarkan.
Uncle itu membuka kotak pizza.
“Makan.”
“Makanlah … thambi. Jangan malu-malu. Oh, apa nama kamu?”
“Siddharth.”
“Ok, Siddharth. Saya ada job baik untuk kamu.”
“Kerja apa, bos?” tanya Siddharth dengan was-was.
“Kerja ini part time saja tahu. Awak tak perlu berhenti kerja. Bila saya panggil kamu buat assigment, baru buat, cukup.”
“Kerja apa?”
Uncle itu mendekatkan mukanya pada Siddharth. Siddharth terkejut sebab cara uncle mendekatkan diri seperti mahu menciumnya. Siddharth menjauhkan kepala.
“Tembak orang,” kata uncle bebisik.
“Tembak orang?!” terkejut Siddharth hingga suaranya menjadi kuat.
“Shhhhh … cakap perlahan.”
“Tak mahulah, bos.”
“Jangan takut.”
“Saya mana tahu tembak.”
“Itu saya boleh ajar.”
“Nanti kena tangkap, saya mati. Bos takpalah.”
“Ini kerja bukan selalu ada, thambi.”
“Macamana tentang bayaran dan mengapa bos pilih saya?”
Siddharth pun tidak faham mengapa dia bertanya begitu. Bertanya seperti sudah bersetuju mengambil kerja berbahaya yang ditawarkan itu.
“Saya sudah tengok banyak kali kamu datang sini. Cara awak bawa motorsikal dangan pantas, badan awak pun kurus dan cara awak berpakaian walaupun dalam uniform, sangat sesuai untuk job ini.”
“Berapa bos boleh bayar?”
“Saya nampak kamu macam sudah setuju. OK, satu assigment RM30,000. Cukup, kan? Kalau kerja kamu sangat baik dan bersih, bayaran kamu akan dinaikkan. Yang penting kamu tidak boleh cakap tentang job kamu ini dengan sesiapa pun. Ingat, dengan sesiapa pun!”
“Bagi masa untuk saya buat keputusan, bos,”
“Ok. Pasal latihan menembak, pakaian, tempat, siapa akan dijadikan target semua saya akan beritahu jika kamu sudah setuju. Jangan buka mulut tentang ini dengan sesiapa. Kalau saya tahu kamu sudah buka mulut dengan orang lain, habis kamu. Faham?”
Wajah uncle itu mula mengerut kemudian dia mengukirkan senyuman.
“Ok, bos.”
Hari ini:
Siddharth bangun lalu membayar untuk teh panas dan roti canai di kaunter, seterusnya dia menuju ke keretanya. Lima hari yang lepas di hadapan kedai mamak inilah seorang ahli politik bernama Datuk Leong ditembak mati. Keadaan haru-biru semalam. Semua pelanggan bertempiaran lari. Begitu juga para pekerja dalam kedai mamak itu. Masih kelihatan kesan darah di kaki lima kedai mamak ini. Pekerja kedai tidak tahu menghilangkan kesan dengan bersih.
Jaket hitam, seluar hitam, stoking hitam, kasut hitam, cermin mata hitam dan topi keledar menutupi muka, juga hitam. Itulah identiti Siddharth ketika melaksanakan tugasannya. Pantas dan licik menembak sesiapa yang disasarkan. Sebelum menembak seseorang yang disasarkan, dia perlu membuat kerja rumah terlebih dahulu tentang setiap gerak geri mereka yang akan dimangsakan.
Lima hari lalu:
Walaupun ini adalah tugasan ke-8 Siddharth, hati dan jantungnya tidak pernah tenteram. Motosikal EX5 dibawa perlahan ketika sudah pasti lokasi Datuk Leong. Pistol kalis bunyi tersimpan rapi di dalam jaketnya. Dari jauh dia melihat Datuk Leong sedang dalam keadaan menghabiskan teh O aisnya. Mi goreng mamak sudah licin habis di pinggan. Siddharth tidak boleh bertindak terus. Dia tidak suka turun dari motosikal untuk melaksanakan tugasannya. Itu mengundang bahaya namanya.
Siddharth menunggu di tempat parkir motor di hadapan restoran mamak.
Datuk Leong yang berbadan besar berbaju T putih dan berseluar pendek hitam bangun dan menuju ke kaunter. Dia membayar menggunakan Touch n Go. Telefon dimasukkan ke dalam kocek. Kunci kereta bermain-main di tangan kanan.
Siddharth yang menunggu di tempat parkir tanpa mematikan enjin motor memasukkan tangan ke dalam jaket hitam. Datuk Leong tanpa perasaan apa-apa berlalu di hadapan Siddharth sambil bersiul-siul menyanyikan lagu Sam Hui.
Siddharth melihat sekeliling kemudian terus mengacu pistol ke arah kepala Datuk Leong lalu melepaskan dua das tembakan dan dua tembakan lagi dilepaskan pada dadanya. Datuk Leong menjerit tersekat-sekat. Kunci keretanya jatuh ke dalam longkang terlebih dahulu sebelum dia rebah di kaki lima. Darah berlumuran di seluruh muka dan badannya serta membasahi lantai kaki lima kedai mamak.
Dengan pantas Siddharth memecut dari situ.
Hari ini:
Siddharth melihat semula tempat kejadian itu dan menarik nafas panjang. Dia masuk ke dalam kereta Bezza birunya, memulakan enjin dan memandu perlahan keluar dari situ.
Cukuplah. Tugasan ke-8 itu biarlah menjadi tugasan terakhirnya. Dia tidak mahu menanggung dosa lagi. Dia mahu memberitahu uncle tentang pengundurannya daripada kerja terkutuk ini.
Namun, Siddharth tetap berpuas hati dapat membunuh ahli-ahli politik serta mereka bergelar Datuk yang terlibat dengan rasuah.
Tamat


Comments
Post a Comment