Coretan
M. Mahendran
Impian kami sejak beranak-pinak adalah untuk pulang ke kampung pada hari tua. Jika boleh, mahu sahaja kami pulang pada masa itu juga. Tetapi tugas kami sebagai guru di bandar mengekang hajat kami.
Walaupun isteri aku bukan sekampung denganku dan bukan dilahirkan di kampung, dia amat gembira setiap kali kami pulang ke kampung.
Di kampung, tinggal ibu dan bapa sahaja. Kami adik-beradik semua bekerja di luar negeri dan luar negara. Mereka berasa amat selesa di sana. Bandar besar memberikan kepuasan hidup kepada mereka. Mereka tidak berhasrat untuk pulang semula ke kampung dan menghabiskan sisa-sisa hidup di sana.
Kami berdua adalah lain daripada yang lain.
Ibu bapaku mewasiatkan rumah yang diwarisi secara turun-temurun kepada aku dan isteri. Ada juga dalam kalangan adik-beradikku yang berkata-kata di belakang. Namun, mereka terpaksa mengalah. Walhal, mereka mahupun anak-anak mereka tidak mempunyai kecintaan terhadap rumah yang sudah diwarisi lebih daripada 100 tahun itu.
Aku faham keadaan mereka kerana kami melalui kehidupan yang payah di kampung. Bukan kami sahaja yang hidup susah, malah keseluruhan penduduk kampung memang hidup begitu, kecuali dua atau tiga keluarga kaya. Jika ada telefon, TV, motosikal dan kereta, memang tergolong dalam golongan orang kaya pada zaman itu.
Setiap kali cuti sekolah, kami akan membawa ketiga-tiga anak kami melawat datuk dan nenek mereka di kampung. Mereka juga suka akan kehidupan di kampung. Setelah dewasa, seperti biasa, demi mencari nafkah, mereka juga jarang berbicara tentang kampung. Anak-anakku sudah tentu kembali ke kampung apabila sudah berusia kelak, sama seperti kami.
Tatkala aku dan isteri benar-benar mengambil keputusan untuk kembali ke kampung dan meneruskan kehidupan kami di situ kerana sudah mahu bersara, anak-anak kami seolah-olah sukar untuk melepaskan kami. Bukan kerana mereka tidak suka, tetapi mereka bimbang tidak ada sesiapa di sana yang boleh menjaga kami tatkala kami jatuh sakit ataupun uzur.
Walaupun pada awalnya mereka enggan, kemudian mereka merelakannya juga apabila memahami situasi kami yang sudah lama tinggal di kawasan bandar yang pesat membangun dan memerlukan ketenangan jiwa pada kemudian hari.
Kampung kelahiranku yang suatu ketika dahulu tidak mempunyai kemudahan elektrik, kini sudah berubah sungguh. Walaupun masih mengekalkan ciri-ciri sebuah kampung, rumah-rumah papan lama sudah digantikan dengan rumah batu.
Cuma rumah warisan kami kekal seperti dahulu. Setiap kali kami pulang ke kampung, aku sering membaiki mana-mana bahagian yang patut. Rumah itu pun sudah dicat beberapa kali. Jadi, ia masih kelihatan baharu walaupun sudah berusia.
Bukan sahaja anak-anak kami tidak mahu melepaskan kami ke kampung, malah kebanyakan rakan-rakan guru juga tidak bersetuju. Mereka kata kehidupan kami akan menjadi bosan kerana kami sudah lama hidup di bandar.
Kami memberitahu mereka bahawa kami ke bandar untuk mencari nafkah dan mendidik anak-anak murid agar mereka dapat membina kehidupan yang bermakna apabila dewasa kelak. Ramai anak-anak murid kami telah melanjutkan pelajaran ke menara gading dan mengharumkan nama sekolah serta pendidik mereka. Itu adalah ganjaran yang lumayan untuk kami. Kami cukup gembira dengan pencapaian mereka.
Oleh kerana umur aku dan isteri sama, ia memudahkan kami bersara pada tahun yang sama. Cuma, aku perlu menunggu sehingga isteri aku bersara pada bulan Disember, sedangkan aku sudah bersara pada bulan Mac.
Jadi, pada tahun baharu, kami pun berhijrahlah dari bandar besar ini ke kampung yang sungguh terpencil di sebuah daerah di negeri itu.
Negeri yang kucintai.

Comments
Post a Comment