Rencana
M. Mahendran
Untuk penggemar sastera kebangsaan tanah air, Antologi Cerpen Caritra akan menemui anda sebelum penghujung tahun ini (2026). Buku yang mengandungi 20 buah cerpen ini dihasilkan oleh lima orang penulis Kavyan. Penulis Kavyan merupakan penulis kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia. Karya-karya di dalam antologi ini telah disunting dan diselenggarakan oleh saudara Uthaya Sankar SB.
Sejak tahun 2002, Kavyan telah menghasilkan sebanyak enam buah buku berkualiti. Antara buku yang diterbitkan termasuklah Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024).
Cerpen-cerpen yang diterbitkan dalam antologi Caritra pernah disiarkan di akhbar, portal dan blog sebelum ini, dan ada juga beberapa cerpen yang ditulis khas untuk antologi ini. Setiap penulis telah menghasilkan sebanyak empat buah cerpen.
Sebagai salah seorang penulis Kavyan yang mengambil bahagian dalam projek ini, saya juga telah menghasilkan empat buah cerpen untuk santapan pembaca.
Berikut disertakan dua petikan cerpen saya dari antologi Caritra.
Aku bukanlah sehebat pelakon Vijay. Namun, aku masih merupakan seorang pelakon yang jauh lebih hebat daripada Vijay. Apa kurangnya dengan mereka yang menyukai aku. Mereka juga berlakon. Bumi adalah pentas dan manusia adalah pelakonnya, seperti kata William Shakespeare.
Mereka yang berlakon dalam kehidupan seharian sukakan pelakon filem. Pelakon filem pula sukakan mereka yang berlakon dalam kehidupan seharian.
Memang senang untuk berlakon di atas pentas Bumi ini. Ya, aku suka berlakon.
- Dato’ Tak Kenal Saya
Pada mulanya, aku tidak serasi dengan kehidupan baharu ini. Amat segan dan kekok. Lagi-lagi ingatan akan estet, ibu, bapa dan sahabat sentiasa mengganggu fikiran. Suamiku kelihatan sabar. Dia melayan kerenahku. Aku hampir tidak terlayan kehendaknya pada malam pertama, malam yang amat menggerunkan.
Walaupun diri ini di Segamat, hatiku masih melayang-layang di sekitar Sungai Kawang. Aku dan suami kurang berbual, sedangkan aku becok jika di samping sahabatku.
- Demi Revathy Kutti
Untuk menikmati buku Caritra, sila hubungi saya melalui WhatsApp bernombor 016-9612085 untuk tempahan.



Comments
Post a Comment