Cerpen
Oleh: M. Mahendran
Sejak kecil lagi saya sungguh hairan melihat diri saya. Saya hairan dengan diri saya sendiri. Sebenarnya saya tidak perlu hairan. Saya seharusnya menerima apa yang dikurniakan kerana saya sudah dilahirkan sebenar-benarnya sebagai manusia. Ya, sebagai manusia.
Saya dikurniakan untuk lahir sebagai manusia.
Saya sepatutnya bersyukur tetapi saya tidak berbuat demikian. Saya menyoal diri sendiri. Ya, saya menyoal. Adakah soalan itu munasabah atau tidak; saya tidak pasti. Soalan itu sentiasa timbul dalam fikiran saya.
Soalan yang timbul dalam fikiran tidak pernah disoal kepada sesiapa pun. Saya tidak pernah bertanya mengapa saya dilahirkan sebagai manusia dan tidak dilahirkan sebagai monyet, walau dengan ibu atau bapa sekali pun. Saya tahu apa akibatnya jika ditanya demikian. Namun, persoalan itu masih berterusan hingga dewasa kini. Masih belum menemui jawapannya.
Saya pasti semua orang pernah berfikir seperti saya. Cuma, tidak diluahkan sahaja. Sudah tentu perasaan malu dan segan menyelubungi diri. Takut akan ditertawakan. Ya, sudah tentu akan ditertawakan.
Salah atau benar, itu tidak penting. Yang penting, soalan itu terjawab.
Siapakah yang boleh menjawab soalan saya dengan tepat sekali? Sudah tentu tidak ada yang tahu jawapannya. Cikgu tadika, cikgu sekolah rendah, cikgu sekolah menengah, malah pensyarah di universiti pun akan terlopong mulut.
Dan saya sendiri masih keliru dengan siapa perlu diajukan soalan ini.
Mengapa saya dilahirkan sebagai seorang manusia dan bukannya sebagai seekor monyet?
Apabila saya membuat ‘kajian’ melalui Google dan YouTube; banyak juga yang ditemui. Semua tidak menepati seperti apa yang saya mahukan. Saya masih sangsi. Masih keliru. Sangsi dan keliru. Malah, membuat fikiran saya menjadi celaru.
Para agamawan meyakinkan seolah-olah Tuhan telah menyatakan bahawa manusia dilahirkan untuk tujuan tertentu. Manusia harus bertanggungjawab dan berterima kasih kepada-Nya. Ada juga dalam kalangan mereka yang berkata seolah-olah Tuhan sendiri datang menceritakan segala selok-belok dunia serta syurga dan neraka kepada mereka.
Manakala para saintis pula cuba membuktikan manusia dilahirkan hasil daripada proses semula jadi untuk melangsungkan hidup. Itu saya sudah tahu. Itu bukan jawapan yang saya mahukan.
Manakala, para ahli falsafah pula berhujah, manusia dilahirkan untuk mencari makna hidup sendiri. Mahu cari makna untuk apa?
Keliru dan celaru, bukan? Masing-masing mempunyai tanggapan berbeza tentang manusia.
Mengapa manusia dilahirkan sebagai manusia?
Saya tidak menemui jawapan sebenar menyatakan mengapa saya dilahirkan? Iaitu mengapa saya dilahirkan sebagai manusia? Mengapa saya tidak dilahirkan sebagai monyet? Sungguh pelik bukan?
Persoalan ini bukan baru timbul. Sejak berumur tujuh tahun, saya sudah tertanya-tanya. Mengapa saya tidak dilahirkan sebagai monyet? Mengapa saya tidak dilahirkan sebagai harimau? Mengapa saya tidak dilahirkan sebagai singa? Mengapa saya tidak dilahirkan sebagai serigala? Mengapa saya tidak dilahirkan sebagai burung dan sebagai berbagai-bagai jenis haiwan-haiwan yang lain?
Jika saya dilahirkan sebagai monyet, boleh sahaja memanjat pokok tinggi-tinggi. Jika dilahirkan sebagai unta, boleh sahaja berjalan berbatu-batu jauh di padang pasir. Jika dilahirkan sebagai helang boleh sahaja terbang ke mana-mana negara tanpa halangan. Ya, banyak sungguh angan-angan dan keinginan saya.
Begitu juga apabila melihat anjing dan kucing; saya mudah cemburu. Mudah sungguh kehidupan seharian mereka. Hari-hari makan dan tidur sahaja. Kehidupan mereka tidak susah seperti saya. Saya perlu bertungkus-lumus, berpeluh, menyakitkan seluruh badan untuk mendapatkan sesuap nasi. Anjing dan kucing tidak perlu melalui segala kepayahan ini.
Jadi, timbul persoalan mengapa saya tidak dilahirkan sebagai haiwan dan dilahirkan sebagai manusia? Mengapa kehidupan haiwan jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan manusia?
Ada yang kata, itu adalah karma kita untuk dilahirkan sebagai manusia. Dan saya tidak menemui bukti-bukti saintifik menyokong kenyataan itu. Kita tidak tahu bagaimana karma berfungsi ke atas diri manusia dan kehidupan lain di muka bumi ini.
Keliru dan celaru.
Adakah saya perlu meneruskan kehidupan ini sebagai manusia tanpa mengetahui mengapa saya dilahirkan sebagai manusia? Mungkin saya boleh melakukan andaian sendiri tanpa perlu bersandarkan mana-mana pihak?
Atau adakah saya perlu gugurkan sahaja persoalan ini? Persoalan yang mengganggu perjalanan hidup saya.
Kemudian pada suatu hari saya menemui jawapan. Ya, sungguh menghairankan. Persoalan yang mengganggu hidup saya selama ini terjawab. Saya tidak bertanya sesiapa pun. Ia terjawab dengan sendiri.
Dia muncul di depan saya bagai sang bidadari.
Tamat

Comments
Post a Comment