Skip to main content

PURNAMA MENGAMBANG

 Coretan

 



M. Mahendran

 

Tatkala pada suatu hari jam lapan malam, aku baru hendak meletakkan tangan pada nasi yang masih panas  berwap, isteriku yang cantik manis memanggilku dari anjung rumah. Suaranya nyaring seperti memintaku datang dengan segera. Aku tidak tahu mengapa dia perlu memanggil ketika perutku meminta-minta untuk diisi. Nasib baik kari ayam, kobis dan timun belum dibubuh atas nasi.

“Ada apa, sayang?”

“Marilah keluar lihat ini, yang.”

“Lihat apa?”

“Bulan purnama.”

“Bukannya baru hari ini  purnama muncul di langit.”

“Marilah keluar.”

“Saya mahu makan nasi, ni.”

“Bawalah nasi tu keluar sini.”

Aik! Apa sudah kena dengan isteri kesayanganku ini?

“Marilah. Di luar sini boleh menikmati nasi bersama purnama mengambang.”

Jadi, dengan pantaslah aku mengisi kari ayam dan lain-lain dalam pinggan dan menuju ke anjung rumah.

“Sayang tidak makan?” tanyaku dengan rasa penuh kasih sayang.

Aku duduk di kerusi rotan sebelah isteri tercantik. Bau badannya sungguh harum semerbak bau bunga melur. Badan isteriku sentiasa berbau wangi begitu hingga membuatku keliru. Keliru kerana tidak pasti sama ada bau wangi itu datang dari badannya ataupun dari bunga melur yang sebenar. Kerana di bawah tangga halaman rumah kami terdapat pokok-pokok bunga melur yang tidak berapa lebat bunganya.

“Nantilah. Sekarang saya mahu menikmati bulan purnama. Tengoklah. Betapa besar dan gemerlapan cahayanya, yang,” kata isteriku sambil menuding jari ke arah purnama mengambang.

Ya, memang sungguh cantik.  Sungguh terang. Luar biasa besar pada malam ini. Sungguh luar biasa.

Aku melihat wajah isteri. Pantulan cahaya bulan pada wajahnya membuatku berasa purnama itu sendiri berada di sisiku. Tetapi aku tidak menyatakan apa yang dirasakan itu. Nanti dia akan berasa segan dan menutup wajahnya.

“Purnama pun purnama juga tetapi bukankah perut yang lapar itu lebih baik diisi juga. Nanti akan mendapat penyakit gastrik," kataku.

“Nasi bila-bila pun boleh makan, yang. Tetapi bulan purnama cuma sekali dalam sebulan. Jika datang pula awan menutupinya, sudah pasti tidak boleh dilihat.”

Sambil mengunyah nasi bersama kari ayam yang agak pedas, aku turut menikmati keindahan purnama mengambang. Nikmat kari ayam, isi ayam, kobis dan timun sambil menatap purnama, memberi keenakan yang luar biasa. Tidak dapat diluahkan dengan kata-kata kenikmatan itu. Betul kata isteriku.

“Nasib baik kita sudah berpindah ke kampung, ya kan yang?” tanya isteriku.

Aku tahu maksudnya. Sejak berkahwin dan beranak-pinak, kami sudah tinggal di kota raya. Dengan dikelilingi dengan hutan batu-bata, hiruk-pikuk bunyi kenderaan dan udara yang dipenuhi dengan asap kereta - kami tidak dapat menikmati suatu kehidupan yang sunyi, senyap, aman dan damai seperti di kampung.

Setelah anak-anak kami sudah besar dan telah menuju haluan masing-masing, aku dan isteri tersayang  membuat keputusan untuk pulang ke kampung semula untuk menghabiskan sisa-sisa hidup.

Tinggal di rumah papan pusaka ini adalah suatu nikmat yang berbeza. Walaupun sekali sekala kami ada juga datang ke sini tetapi datang pada kali ini adalah untuk selama-lamanya. 

Ia memberi kepuasan hingga tidak terkata.

Sejak dahulu lagi sanak-saudara kami menyuruh aku menjual sahaja rumah dan tanah pusaka yang luas ini dan hasilnya dibahagikan kepada semua.

Aku enggan.

Apabila kami tiada pada suatu hari kelak, biarlah anak-anak serta cucu-cicit  dan segala saudara-mara menikmati rumah pusaka ini. Rumah dan tanah ini adalah milik semua.

Biar kerosakan dibetulkan. Biar warna dicat semula. Biar dibaikpulih atau dicantikkan semula. Tetapi aku tidak akan menjual rumah dan tanah ini kepada sesiapa. Nanti akan musnahlah rumah warisan ini.

Baru sahaja empat bulan kami berpindah terus ke sini.

“Sedap tak kari ayam saya masak, yang?”

“Ya, sungguh sedap.”

“Saya tahulah yang, yang suka kari ayam pekat sebab itulah saya masak begini. Lebih-lebih lagi ayam yang kita pelihara sendiri.”

Setelah menghabiskan nasi, aku masuk semula ke dapur dan isi semula nasi, lauk dan sayur ke dalam pinggan dan kembali ke anjung.

“Sedap sangatkah masakan saya hari ini, yang?”

“Ini bukan untuk saya, sayang. Ini untuk awak.”

Isteriku mahu mengambil pinggan dari tangan saya.

“Takpa. Saya suapkan.”

“Nanti apa kata jiran-jiran kita atau mereka yang lalu-lalang di depan rumah kita? Tak rasa segan, yang?”

“Buat apa kita perlu segan, sayang? Saya suami awak, awak isteri saya.”

“Tetapi kita sudah tua, yang.”

“Jika cinta itu hanya perlu datang pada usia muda dan pudar ketika usia senja; itu tandanya bukan cinta, sayang.”

Aku terus menyuapkan nasi kari ayam pedas untuk isteri kesayangkanku di bawah pantulan cahaya purnama. Isteriku tidak berkata apa-apa tersipu-sipu malu dan terus menikmati setiap suapan dan purnama di langit.  

Comments

Popular posts from this blog

சிறுமி நீய்ஹா மதனின் சாதனைகள்

  அனுபவம்      எம்.   பிரபு   நான் தொடக்கப்பள்ளியில் படித்த காலத்திலிருந்தே மணிமேகலை நாயர் அவர்களின் குடும்பத்தை அறிந்திருந்தேன். மணிமேகலையும் அப்போது சிறுமியாக இருந்தார்.    என் தந்தை திரு. எஸ். மாதவன் அவர்கள்   National Union of Plantation Workers ( தேசிய தோட்டத் தொழிலாளர் சங்கம்) அமைப்பில் பொருளாளராகப் பணியாற்றினார். ஒவ்வொரு மாதமும்  அவர் மற்றும் ஓட்டுநர்   திரு. கோவிந்தன் அவர்களுடன் பஹாங்கில் உள்ள பல தோட்டங்களுக்கு Peugeot   404 காரில் சென்று தொழிலாளர்களிடமிருந்து சங்க ச்   சந்தாவை வசூலி ப்பதோடு  தோட்டத் தொழிலாளர்கள் எதிர் நோக்கும் பிரச்சனைகளையும் கேட்டறிவார்கள். அந்த வயதில் அங்கு நடக்கும் பிரச்சனைகளைப் பற்றி சரியாக உள்வாங்கிக் கொள்ள இயலவில்லை. இந்த மாதச்   சந்தா,  தொழிலாளர்களின் பாதுகாப்பிற்காகவும்   நலனுக்காகவும்  மேற்கொள்ளப்பட்டதாக அறிவேன். பொதுவாக தோட்ட பிரதிநிதிகள் மூலம் மாதச் சந்தா சேகரிக்கப்பட்டன. பள்ளி விடுமுறைகளில் நான் மற்றும் என் சகோதரர் ,  தந்தையுடன் அந்தப் பயணங்களின் போது...

PENGECUT

  Cerpen    Oleh: M. Mahendran       “Kita perlu menolong mereka. Mereka dalam kesusahan. Tanpa ditolong, mereka tidak dapat makan.” “Kita tinggal jauh. Biarlah mereka yang tinggal berdekatan menolong.” “Jangan peduli tentang negara yang berdekatan. Mereka di seberang lautan ialah saudara kita. Kita harus menolong mereka.” “Tanpa pertolongan kita, adakah mereka akan mati kebuluran?” “Ya. Jadi hulurkanlah bantuan.” “Bagaimana cara membantu mereka?” “Kita perlu merentasi lautan.” “Tidak bolehkah dengan mengirim wang sahaja?” “Itu tidak cukup. Kita perlu pergi sendiri untuk menghulurkan makanan, pakaian dan bantuan kesihatan. Ini perlu dilakukan sendiri. Barulah kita akan rasa puas dan mereka pun akan gembira.” “Tidak bahayakah merentas lautan?” “Demi menolong saudara kita di situ, apa pun tidak bahaya.” “Jadi, kamu akan ke sana merentas lautan dengan kapal walaupun kamu tidak pernah pergi sebelum ini?” “Kamu boleh ikut kami. Dengan berbuat demikian, kamu akan...

ஒரு கொலைகாரனுக்குப் பின்னால் ...

  சிறுகதை   எம்.   பிரபு                                       தெரிந்தோ தெரியாமலோ அவன் இந்த க்  கொலையை ச்  செய்து விட்டான். பிணம் நிச்சயம் எழப் போவது இல்லை. நடந்து முடிந்த சம்பவத்தை அவனால் மாற்றி அமைக்க இயலாது. நடந்து விட்டது. அதுதான் உண்மை. அழுதும் பயனில்லை. இந்த ச்   சூழ்நிலையை ஏற்றுத்தான் ஆக வேண்டும். காலம் கடந்து விட்டது. இப்போது அவன் செய்ய வேண்டியது ஒன்றுதான். இந்த பி ண த்தை அப்புறப் படுத்துவது. இனியும் தாமதப் படுத்த இயலாது. பிறகு சூழ்நிலை அவன் பக்கம் சார்ந்து இருக்காது . இது அவனுக்கு இரண்டாவது முறை . இதற்கு முன்பு செய்த போது அந்த வீட்டின் பின்னால் பரந்த நிலம் இருந்தது. அங்கு அதை புதைத்தாகி விட்டது. இப்போது நட த்தப்பட்ட  கொலை, அவனுக்கு   கடினமானது. இந்த கொலை தான்  அவன் முன்பு செய்த கொலைகளிலிருந்து மாறுபட்டது.   சங்கடமானதும்  கூட. இந்த வீடமைப்பு ப...