Pengalaman
M. Mahendran
Pada penghujung 2023 saya telah bersara daripada pekerjaan yang dilakukan selama lebih dari 30 tahun. Keputusan ini sudah dibuat sejak beberapa tahun sebelum bersara. Saya ingin menjadikan bidang penulisan sebagai kegiatan harian saya, walaupun tahu tidak boleh menjana pendapatan tetap.
Sebenarnya saya sudah bosan dan mahu membebaskan diri daripada rutin kerja harian dan melibatkan diri dalam suatu bidang yang digemari.
Sudah lebih 40 tahun saya melibatkan diri dalam bidang penulisan. Bermula dengan menulis ke bahagian Surat Kepada Editor dan ruangan Soal Jawab, sedikit demi sedikit saya menjinakkan diri menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil ke akhbar dan majalah tempatan. Sudah banyak karya sudah pun dibukukan bersama penulis lain. Dua buah kumpulan cerpen persendirian juga telah dihasilkan dalam kedua-dua bahasa tersebut.
Sementara itu, membaca, menulis, menghadiri kursus penulisan yang dianjurkan oleh Kavyan serta berpengalaman menjadi guru sementara telah meyakinkan saya untuk mengadakan sesi pembacaan, penulisan dan pemahaman dalam Bahasa Malaysia untuk pelajar-pelajar yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Ini adalah salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Kavyan.
Apabila sesi ini dimulakan pada Februari 2024, cuma tiga peserta sahaja yang menunjukkan minat. Kemudian, secara perlahan-lahan seramai 15 pelajar sudah pun menyertai sesi ini.
Sesi ini khas ditujukan kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.
Pada awal permulaan sesi, buku-buku terbitan Kavyan dijadikan bahan bacaan. Peserta diberikan bahan-bahan seperti cerpen kanak-kanak, cerpen remaja, cerpen dewasa dan rencana sebagai bahan bacaan. Setiap karya perlu dibaca dengan lantang. Saya juga membaca di hadapan mereka agar para peserta dapat membaca dengan intonasi yang betul.
Setelah membaca secara bergilir-gilir, saya akan menyoal untuk memastikan mereka faham dengan apa yang dibaca. Selepas itu mereka diharuskan untuk mencatatkan perkataan dan ayat yang tidak difahami dalam buku nota. Kemudian, diterangkan maksud dan peserta akan mencatatkannya. Selepas itu mereka akan membina ayat menggunakan perkataan-perkataan yang ditemui di dalam sesuatu karya.
Selain membaca, membina ayat dan menjawab soalan-soalan kefahaman, mereka juga ditunjuk ajar cara-cara menulis karangan. Ada peserta yang boleh menulis dan ada yang tidak. Ini terjadi kerana kurangnya pendedahan pada bahan bacaan lain selain apa yang diberi di sekolah.
Sesi ini dijalankan dari Isnin hingga Jumaat. Setiap sesi akan dihadiri oleh satu hingga tiga orang peserta sahaja. Kadang-kadang sesi digantikan pada Sabtu atau Ahad, jika ada di antara mereka tidak dapat hadir pada hari dan masa yang ditetapkan.
Walaupun saya lebih selesa membimbing dengan cara saya tetapi Ibu bapa para peserta pula mahukan saya mengajar mengikut sukatan pelajaran sekolah. Jadi, saya juga sediakan buku-buku kerja untuk mereka. Ada juga peserta membawa buku kerja mereka sendiri.
Para peserta sesi pembacaan, penulisan dan pemahaman terdiri daripada pelbagai ragam. Ada yang tidak tahu membaca, ada yang boleh. Ramai juga yang tahu membaca tetapi tidak faham. Dan yang paling sedih dan sukar bagi saya adalah mengajar peserta sekolah menengah yang tidak tahu membaca dan mengeja. Saya perlu munggunakan buku-buku kerja sekolah rendah untuk mereka.
Selain itu, akhbar Utusan Malaysia juga dijadikan bahan bacaan. Ini adalah untuk memperkayakan kosa kata para peserta serta untuk menambah pengetahuan para peserta.
Sebagai galakan untuk para peserta terus meminati aktiviti membaca dan menulis, saya juga sering menyiarkan hasil karya tulisan dan gambar mereka di media sosial. Saya berharap dengan berbuat demikian para peserta akan terus-menerus membaca dan menulis walau sudah meninggalkan alam persekolahan.





Comments
Post a Comment