Skip to main content

LAGU UNTUK THAATA

 Cerpen




                                       



M. Mahendran

 

 

“Chandra, nanti jangan lupa. Ada satu lagi, kan?”
“Itu saya punya, thaata.”

“Mana boleh. Bukankah emak kamu sudah cakap, semua untuk thaata. Kamu masih mahu berdegil?”

“Nanti saya mahu guna yang mana?”

“Tak perlu. Kamu tumpu pada pelajaran. Dahlah tahun depan nak duduk peperiksaan S.R.P.”

“Takkan saya mahu belajar sahaja? Dahlah saya tak diberi kebenaran keluar bersama kawan bermain di padang. Ini pun tak boleh?”

“Bukankah tahun lepas kamu sudah guna dua? Cukuplah yang itu.”

“Tak boleh. Yang ini saya punya!”

Kali ini ada satu sahaja yang tinggal untukku. Empat lagi sudah digunakan oleh orang tua ini. Orang tua degil. Aku tidak menyukainya. Suka atau tidak, aku terpaksa mendengar segala kata-kata dan arahannya.

Orang tua ini sepatutnya menyayangi dan memanjai aku, sebab aku ialah cucunya. Thaata hanya suka memanjakan anak-anak athai; anak-anak adik perempuan bongsu bapa yang tinggal di Mentakab.

Mungkin cucu di Mentakab itu masih kecil, sebab itu dimanjakan. Tetapi semasa aku kecil pun thaata tidak pernah memanjai aku. Aku tidak kisah. Lagipun, aku tidak suka bau cerut pada mulut dan badannya. Dalam sehari, sudah tentu tiga atau empat gulung cerut dihabiskan. Sudahlah dia menghisap cerut di dalam rumah. Baunya sahaja sudah membuatkan aku loya. Bapa tidak pernah bising. Emak yang selalu merungut. Sudah tentu bapa menghormati bapanya sebagaimana aku menghormatinya.

Cerut dan warna kulit thaata seakan-akan menyamai namanya, Karupaya. Nasib baik aku dilahirkan ketika thaata masih ada. Jika tidak, mungkin aku dinamakan sempena namanya juga kerana warna kulitku hampir menyamainya. Bapaku dinamakan sempena nama datuknya, iaitu nama bapa thaata. Macamlah tidak ada nama lain.

Satu ini sahaja yang tinggal. Aku baru berangan untuk melengkapkan yang satu ini sepenuhnya pada cuti sekolah nanti. Nampak gaya, tidak akan jadi agaknya. Peduli apa aku. Aku juga ada hak.

Bapa belikan sekotak beberapa bulan yang lepas ketika dia ke rumah chittappa di Singapura. Dalam sekotak ada sepuluh. Lima sudah diberikan kepada athai. Terbeliak biji mataku melihat bapa memberikan lima daripada sepuluh kepada athai. Memang banyak. Bapa memang begitu.

Dua tahun yang lepas, ketika aku masih di darjah enam, bapa beri enam kepada adiknya. Aku dapat menggunakan dua sahaja. Begitu juga dengan thaata. Kata bapa, athai mengajar kelas thevaaram. Banyak kegunaannya.

Yang dua itu pun thaata seperti mahu kebas daripada aku. Nasib baik aku cepat-cepat menggunakannya. Jika tidak, habislah keempat-empat itu disapu. Sebenarnya aku yang menolong thaata. Dia bukan mengerti sangat menggunakannya.

Tanpa aku, thaata pasti merana. Jiwanya akan lara. Kosong. Akulah yang memenuhi kekosongan itu, mengisi kekosongan dengan merakam lagu-lagu lama Tamil ke dalam kaset kosong melalui siaran Radio Malaysia Rangkaian Merah dan Radio Singapura. 

Aku pula suka merakamkan lagu-lagu filem Tamil baharu walaupun ditegah oleh emak. Sebelum ini siaran Rangkaian Merah disiarkan melalui saluran Short Wave atau SW1. Lagu-lagunya akan timbul dan tenggelam. Sejak tahun lepas, siaran Rangkaian Merah sudah ke udara melalui saluran FM Stereo atau Frequency Modulation. Aku amat gembira dengan perubahan ini, perubahan yang sungguh dinanti-nantikan.

Lagu-lagu yang dirakam melalui saluran FM kedengaran amat jelas setelah dirakam ke dalam kaset TDK. Sejak bapa membelikan radio kaset Toshiba BoomBeat yang mempunyai dua pembesar suara, kehidupan aku sudah berubah. Aku sungguh gembira dengan perubahan ini.

Emak selalu bising. Katanya, bapa seperti mahu merosakkan aku. Kata bapa, dia hanya membeli radio kaset yang baharu kerana radio Philips lama sudah rosak. Aku gembira dengan kerosakan itu. Seingat aku, sejak aku kecil lagi radio itu sudah ada di rumah. Toshiba BoomBeat dibeli di kedai elektrik di bandar dan dibayar secara ansuran. Bapa sudah pun melangsaikan ansuran itu.

Thaata kelihatan tidak puas hati dengan kata-kataku tadi. Dia bangun dari sofa lalu keluar ke halaman. Dia mengeluarkan cerut dari kocek seluar pendeknya dan mencari-cari sesuatu. Aku tahu dia mencari apa.

Aku bukan jahat mana pun. Jadi, aku ambilkan mancis api yang thaata tinggalkan di atas meja kopi lalu keluar ke halaman dan menghulurkannya. Dia cuma diam.

Kemudian aku ke ruang tamu, tempat radio kaset BoomBeat tersergam indah di atas meja kecil. Aku duduk di atas kerusi bulat lalu mengambil kaset kosong TDK dan mengoyakkan balutan plastiknya. Aku mencium kotaknya. Sungguh harum.

Tanpa berlengah, aku membuka suis radio. Berita jam lima sedang ke udara. Aku mengeluarkan kaset daripada kotak, melihat sebentar dan mencium baunya, lalu memasukkan jari ke lubang pemutar pada Side A dan memutar sedikit pitanya sehingga pita jernih masuk ke dalam dan muncul pita berwarna perang.

Kemudian aku membuka tempat kaset pada radio lalu memasukkannya dan menutupnya. Aku menekan butang pause serta menekan butang record dan play serentak. Selesai berita jam 5 petang, juruhebah Rangkaian Merah, Encik P. Krishnan memulakan rancangan petang itu mengumumkan sebuah lagu baharu daripada filem Punnagai Mannan akan diputarkan. Selesai beliau bercakap, aku dengan pantas menekan semula butang pause ke atas. Ini membolehkan rakaman dimulakan. Sudah beberapa kali lagu Singgalathu Sinnakkuyile dimainkan di radio. Baru hari ini aku dapat merakamnya. Lega rasanya.

Sambil menikmati bunyi stereo di BoomBeat, aku menghidu bau cerutu yang menyesakkan. Tak tahu emak sedang buat apa di dapur. Aku dengar bunyi pinggan mangkuk sahaja. Bapa belum pulang dari kerja.

Segala-galanya aman sekarang. Setelah lagu Singgalathu Sinnakkuyile tamat, aku cepat-cepat menekan butang pause. Takut, nanti suara P. Krishnan terakam. Lagu seterusnya sudah ada dalam koleksi. Jadi, aku tidak menekan butang pause ke atas. Dibiarkan begitu sahaja. Bau cerutu sudah berkurangan sedikit.

Aku baru hendak keluar melihat thaata di luar. Orang tua itu sudah hilang. Basikalnya pun sudah tiada. Ke mana pula orang tua ini pergi? Kebiasaannya jika mahu keluar, dia akan beritahu emak ataupun bapa. Dengan aku memang tidak pernahlah.

Jantung aku berdebar. Aku tekan butang stop. Radio tidak ditutup. Aku cuma perlahankan bunyinya. Tak jadi merakam lagulah hari ini. Adui! Lagu pula semua sedap-sedap belaka.

Aku ke dapur untuk memberitahu tentang kehilangan thaata kepada ibu.

“Mungkin dia pergi kedai Vaathiyar untuk beli cerut.”

Mungkin betul sangkaan emak. Tetapi hati aku masih tidak tenteram. Aku mula takut. Takut thaata merajuk kerana aku tidak mahu merakamkan lagu-lagu lama kegemarannya.

Kedengaran bunyi motosikal. Itu bapa sudah pulang dari kerja.

Aku memberitahu tentang kehilangan thaata kepada bapa. Bapa kelihatan bimbang kerana sudah lebih satu jam thaata masih belum pulang. Ibu juga turut risau. Ini kali pertama aku melihat ibu risau tentang thaata.

“Mari kita pergi cari thaata. Pergi ambil topi!”

Aku pun berlari masuk ke ruang tamu dan mengambil topi keledar buruk yang terletak di atas meja makan.  Baru sahaja aku hendak keluar ke halaman semula, nampak thaata meletakkan basikalnya di tepi pokok mangga.

Appa pergi mana lama sangat?” tanya bapa seperti mahu marah tetapi dikawal suaranya.

Thaata tidak menjawab. Sambil menghisap cerut tangannya dimasukannya dalam kocek seluar. Dia pergi beli mancis atau cerutlah itu. Hendak tunjuk kepada kami.

Tak sangka Thaata akan mengeluarkan sebuah kaset kosong jenama Sony dari koceknya.

“Ini saya punya. Kamu tak payah tolong saya rakam. Saya boleh buat sendiri. Ingat saya takda duitkah nak beli?” kata thaata melihat tajam ke arahku.

Bapa pun seperti memahami sesuatu memandang aku semacam. Ibu menepuk dahi lalu masuk ke dalam rumah.

 Aku pula tidak sabar mahu melihat thaata merakam lagu daripada radio ke kaset yang dibelinya itu. Kurang sikit kerja aku.

Tamat

 

 


 

 

 

 





Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...

சிறுமி நீய்ஹா மதனின் சாதனைகள்

  அனுபவம்      எம்.   பிரபு   நான் தொடக்கப்பள்ளியில் படித்த காலத்திலிருந்தே மணிமேகலை நாயர் அவர்களின் குடும்பத்தை அறிந்திருந்தேன். மணிமேகலையும் அப்போது சிறுமியாக இருந்தார்.    என் தந்தை திரு. எஸ். மாதவன் அவர்கள்   National Union of Plantation Workers ( தேசிய தோட்டத் தொழிலாளர் சங்கம்) அமைப்பில் பொருளாளராகப் பணியாற்றினார். ஒவ்வொரு மாதமும்  அவர் மற்றும் ஓட்டுநர்   திரு. கோவிந்தன் அவர்களுடன் பஹாங்கில் உள்ள பல தோட்டங்களுக்கு Peugeot   404 காரில் சென்று தொழிலாளர்களிடமிருந்து சங்க ச்   சந்தாவை வசூலி ப்பதோடு  தோட்டத் தொழிலாளர்கள் எதிர் நோக்கும் பிரச்சனைகளையும் கேட்டறிவார்கள். அந்த வயதில் அங்கு நடக்கும் பிரச்சனைகளைப் பற்றி சரியாக உள்வாங்கிக் கொள்ள இயலவில்லை. இந்த மாதச்   சந்தா,  தொழிலாளர்களின் பாதுகாப்பிற்காகவும்   நலனுக்காகவும்  மேற்கொள்ளப்பட்டதாக அறிவேன். பொதுவாக தோட்ட பிரதிநிதிகள் மூலம் மாதச் சந்தா சேகரிக்கப்பட்டன. பள்ளி விடுமுறைகளில் நான் மற்றும் என் சகோதரர் ,  தந்தையுடன் அந்தப் பயணங்களின் போது...