Skip to main content

HUKUMAN DI ANTAH BERANTAH

 Cerpen

 






 

Oleh: M. Mahendran

 

 “Ini adalah Jabatan Pembacaan. Cuma terdapat di negara Antah Berantah. Adalah menjadi suatu kesalahan besar jika seorang yang tahu membaca, langsung tidak membeli buku atau bahan bacaan. Kamu memalukan dan menghina Institusi Literasi!”

“Apakah hukuman yang akan dikenakan kepada saya nanti?”

Mereka tidak menjawab pertanyaan itu. Mereka mengunciku di sel gelap ini dan terus beredar. Tidak tahu bila mereka akan kembali.

Sudah beberapa jam aku berada di dalam sel gelap ini. Dan mereka juga tidak memberitahu apakah prosedur seterusnya.

Hebat juga jabatan ini. Tahu pula aku tidak membaca apa-apa bahan bacaan. Bagaimana cara mereka perhatikan setiap gerak-geri rakyat Antah Berantah adalah sungguh misteri. Takkan mereka memasang CCTV di setiap penjuru. Atau aku tidak perasan?

Badanku masih berasa sakit dan perut pula lapar. Aku rela berada di dalam gelap daripada tidak makan sepanjang hari. Mungkinkah mereka akan menghukum aku dengan tidak memberi makan? Mungkinkah aku akan mati  kebuluran di dalam sel gelap ini?

Mati kerana tidak membaca?

Tidak adil. Langsung tidak adil untuk menangkap seorang yang tidak membaca dan menghukumnya. Mengapakah aku dilahirkan di negara Antah Berantah?

Kalaulah nenek moyang aku tidak dibawa datang dari negara asal untuk bekerja di ladang pokok kayu balak beberapa ratus tahun yang lampau, sudah pasti aku sudah bersenang lenang di negara asal mereka sekarang. Tidak duduk di sel seperti ini. Kesal aku dilahirkan di sini. Memang kesal.

Aku bangun. Nasib baik mereka tidak menggari aku lagi. Pundi kencing sudah penuh. Paling terakhir aku buang air pada pukul satu tengah hari di tandas pejabat.

Semasa aku pulang ke rumah, mereka menangkap aku. Memang celaka benar pegawai-pegawai dari jabatan bacaan ini. Sudahlah pakaian kuning mereka menyeksa mata memandang, wajah mereka juga menggerunkan.

Aku meraba-raba dinding sel dengan harapan akan terjumpa tandas. Perlahan-lahan aku memijak lantai simen yang sejuk. Memang agak sukar berjalan dalam gelap; segelap masa depanku.

Tidak pasti ada berapa sel di dalam bangunan ini dan berapa penghuni sel yang sedang menerima hukuman sama seperti aku. Mungkinkah ramai juga tidak membaca seperti aku?

 Perasaan bimbang mula menyelebungi diri. Pasti isteriku sedang tercari-cari. Mungkin dia sudah laporkan kepada pihak polis. Harap mereka akan dapat mencari aku.

Jika pihak polis dan jabatan ini bersekutu, habislah aku.

Kakiku terkena sesuatu. Aku menunduk dan meraba objek tersebut. Mangkuk tandas duduk. Mungkin bersih, sebab tidak tercium bau busuk. Selepas melepaskan hajat dan membersihkan diri dengan air paip, aku kembali meraba dinding dan duduk di lantai. Kali ini aku bersandar pada dinding. Badan terasa melekit. Tidak ada kipas dalam sel. Aku masih berpakaian pejabat. Telefon pintarku sudah dirampas tadi.

Aku tertidur sebentar. Tersedar apabila pintu besi diketuk dan sesuatu ditolak masuk ke dalam, mungkin melalui pintu kecil pada pintu utama. Aku merangkak meraba-raba mencari apakah itu. Ya, betul. Seperti yang disangka - makanan. Dua bungkusan kecil roti krim dan sebotol kecil air minuman.

Aku makan dengan penuh selera. Alangkah baik jika dia bagi bungkusan nasi tadi. Hmm … Beberapa minit kemudian aku sudah baring di lantai dan terlelap. Beramacam-macam mimpi bersimpang-siur menghiasi tidurku. Mereka berpakaian kuning mengejar aku dengan pisau mengelilingi bangunan pejabat tempat kerja aku hingga membuatkan aku terjatuh.

Suhu dalam bilik terasa sejuk. Aku terjaga. Kepala rasa sakit dan mamai. Ini bukan bilik di rumah. Ini sel di Jabatan Pembacaan. Aku dipenjarakan kerana tidak membaca buku dan bahan bacaan lain setelah bekerja. Dan sedang menanti hukuman tanpa perbicaraan.

Bilik masih gelap.

Pintu besi diketuk tiga kali sama seperti semalam. Makanan dimasukkan melalui pintu kecil di bawah pintu utama. Aku merangkak seperti semalam untuk mendapatkannya.

Dua bungkus roti krim dan sebotol air minuman lagi!

***

 

Beberapa hari kemudian aku dikenakan baju t dan seluar pendek berwarna kuning dan dibawa keluar oleh tiga orang pegawai berseragam kuning di dalam van jabatan mereka ke suatu tempat. Mereka bertiga inilah yang menangkap aku tempoh hari. Aku diheret ke dalam sebuah bangunan besar.

PERPUSTAKAAN PESALAH ANTAH BERANTAH

Aku seperti kembali ke sekolah. Kelihatan dua orang pengawal berseragam kuning sama seperti mereka di muka pintu. Adakah mereka akan memberi kerja menyapu dan mengemop di bangunan besar ini? Atau akan dipaksa menyusun buku-buku di rak?

“Mengapa saya dibawa ke sini?”

“Masuk dalam dulu. Jangan banyak soal,” orang yang menendang aku dalam van semasa hari penangkapan menjawab. Mukanya sama bengis seperti hari itu.

Besar sungguh perpustakaan ini. Kelihatan beberapa orang berpakaian seperti aku sedang membaca dan menulis di beberapa buah meja di situ. Alamak, hendak baca rupanya!

“Kamu dikehendaki membaca sebuah buku dalam masa dua hari.”

“Mana boleh!”

“Jika kamu gagal, kamu akan disebat tiga kali untuk setiap buku.”

“Ini tidak adil!”

Selama ini, mana pernah aku baca buku-buku yang begini tebal. Dalam setiap peperiksaan di sekolah mahupun di universiti pun aku mengulangkaji pada saat terakhir. Lagipun, aku bergantung kepada buku nota dan buku kerja ringkas untuk segala subjek. Untuk tesis pun aku copy paste dari sana sini secara licik tanpa disedari oleh sesiapa bahawa ia adalah tiruan.

“Bukan itu sahaja. Kamu perlu tulis ringkasan dan ulasan dalam buku catatan yang disediakan. Jika kamu gagal juga, akan ditambah lagi tiga sebatan untuk setiap buku.”

“Haa!”

Mereka meninggalkan aku. Setiap orang diberikan satu meja. Tidak boleh duduk berkongsi. Pen dan buku catatan disediakan. Kelihatan beberapa pegawai berseragam kuning berlegar-legar di situ sambil memerhatikan para pesalah. Pesalah?

Terdapat pelbagai jenis buku mengikut sistem Dewey Decimal. Aku tidak tahu  memilih buku jenis apa untuk dijadikan sebagai bacaan sebagai hukuman. Aku ke bahagian rak 800-899. Banyak buku di sini. Buku cerita nampak agak mudah sedikit jika dibandingkan dengan rak-rak buku yang lain.

Aku mencapai novel Salina karya A. Samad Said. Buku ini memang tebal. Harap aku dapat habiskannya dalam masa dua hari. Setelah pegawai di situ mencatat tajuk buku tersebut dalam buku nota pintar, aku pun mula membelek satu helai demi satu helai.  

    Membaca, membaca dan membaca. Tersengguk-sengguk dan tersengguk.

Walaupun kisah seorang pelacur itu sungguh menarik, aku masih tidak dapat mengawal kantuk. Pegawai di situ menghampiri aku dan mengetuk kepala aku dengan rotan. Memang amat terseksa. Tidak tahu bagaimana aku akan habis membaca kesemua 454 muka surat itu.

Dapat juga aku habiskan hampir 200 muka surat pada hari itu. Sempat aku catatkan ringkasan kisah Salina yang dibaca setakat hari itu sehingga petang.

Pada hari keesokannya aku dapat habiskan buku Salina dan sudah pun menghafal kisahnya dalam kepala. Ringkasan dan ulasan dapat kutulis dengan lancar dalam buku catatan.

Aku akan dilepas bebas selepas ini.

Tetapi rupa-rupanya tidak.

“Kamu ingat dengan satu buku kamu akan dilepaskan? Bukankah hari itu saya sudah beritahu, kamu dikehendaki membaca sebuah buku dalam masa dua hari. Tak faham? Kamu kena habiskan kesemua buku di dalam perpustakaan ini. Baru kamu akan dibebaskan. Faham?!”

Aku tersungkur di lantai perpustakaan Antah Berantah.

Tamat

 

 



 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

நான் எனும் பெரும் நடிகன்

    சிறுகதை    எம். பிரபு   எல்லோருக்கும் என்னைப் பிடிக்கும். எனக்கும் அவர்களைப் பிடிக்காமல் இருக்குமா பின்னே. நான் வாழ்வதே அவர்களுக்காகத்தான். அவர்கள் இல்லாமல் நான் இல்லை. நான் இல்லாமல் அவர்கள் இல்லை. வாழ்க்கையை இப்படித்தான் அனுபவிக்கனும் என்று எழுதி வைத்திருந்தால் நான் என்ன செய்வது? எது நடக்க வேண்டுமோ அது நடந்துதானே ஆக வேண்டும். எனக்கு எப்போதுமே அந்த கர்வம் உண்டு. நான் மிகவும் நல்லவன். யாரும் என்னை கெட்டவன் என்று சொன்னதில்லை. சொல்லி இருக்கலாம். அதெல்லாம் பெரிய விசயமே அல்ல.   அறவே இல்லை?   தெரியாது.   அவர்களை எனக்குப் பிடிக்க காரணம் உண்டு. அவர்களுக்கும் என்னைப் பிடிக்க நிச்சயம் காரணம் இருக்கும். அதுக்காக எனக்கு அவர்களை வெறுமனே பிடிக்கும் என்று அர்த்தமாகி விடாது. அது போன்றுதான் அவர்களும். சும்மாவா அவர்களுக்கு என்னைப் பிடிக்கும்? நான் என்ன சினிமா நடினா? இருந்தாலும் நான் ஒரு தலைச் சிறந்த நடிகனே. அவர்கள் மட்டும் என்னவாம். எல்லோரும் நடித்துக் கொண்டுதான் உள்ளனர். சும்மாவா சொன்னார் ஷேக்ஸ்பியர்.   வாழ்க்கையில் நடிக்கும் நடிகனுக்கு,  சினிமாவில் ...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...