Skip to main content

SAAT YANG BAHAGIA


 Cerpen

 

 

 

 

 

Oleh: M. Mahendran

 

“Awak mahu saya atau dia?”

Tidak sangka kepulangan aku dari sekolah petang itu akan menjadi begitu genting. Silap aku juga, sepatutnya dibakar sahaja. Ia hanya disorokkan selama ini. Menyorok daripada pandangan aku. Tetapi Amutha, tidak tahu bagaimana dia boleh terjumpa dan korek keluar segalanya. Ingatkan dia tidak akan jumpa.

Kini segala-galanya ada di depan mata kami bertiga. Semua dilonggokkan di atas meja makan. Preethi melihat ia dengan penuh teruja. Tangan kecil comelnya itu menguis-nguis apa yang terdapat di atas meja.

“Preethi, jangan sentuh! Itu adalah benda kotor!”

Benda kotor?

Aku pura-pura tidak memandang ke arah meja makan. Aku membuka kasut, stokin, masukkannya ke dalam rak kasut kemudian menuju ke bilik, membuka pakaian dan memakai tuala lalu  menuju ke bilik air.

Walaupun tindakan aku nampak selamba dari luaran, hanya Tuhan sahaja tahu akan perasaan sebenar. Sukar dihuraikan. Sambil menuangkan cebok demi cebok air pada badan, kepalaku ligat berfikir cara-cara dan kata-kata yang perlu digunakan untuk melegkan hati Amutha.  Memang payah.

Bukan mudah meredakan kemarahan Amutha. Bukan mudah. Segala perkataan perlu diatur bagai bermain catur.

Boleh dibayangkan apa akan terjadi selepas itu. Ya, Amutha menghalang aku daripada memasuki bilik untuk  berpakaian.

“Siapa dia ini? Apa perlunya kamu berkahwin dengan saya sedangkan ada dia? Jawab! Saya nak jawapan kamu sekarang!”

“Nanti saya akan jelaskan. Sekarang bagilah saya pakai baju,” aku menjawab tanpa menaikkan suara.

Setelah memakai baju t dan mengenakan kain sarung, aku menuju ke meja makan yang dipenuhi dengan surat dan kad ucapan. Aku menatap wajah Preethi. Dia kelihatan sungguh gembira. Sudah pasti dia tidak sedar apa yang sedang berlaku. Tangannya kelihatan seperti tidak sabar untuk mengeluarkan isi dari sampul yang memang sudah dibuka beberapa tahun lepas.

“Appa, saya nak baca surat-surat ini. Siapa yang tulis semua ini, appa?”

“Preethi! Bukankah saya dah kata jangan sentuh kertas-kertas kotor itu!”

“Amma, tak kotor pun surat-surat ini. Nampak baru dan bersih sahaja. Ada surat yang wangi baunya. Saya suka.” Preethi menjawab sambil tangannya menepuk perlahan surat-surat yang bertimbun itu.

Aku menarik kerusi dan duduk di sebelah Preethi. Amutha dengan amarahnya  menghampiri kami dan memukul perlahan tangan Preethi yang sedang mengusik surat-surat yang pernah menjadi jiwa dan ragaku suatu ketika dahulu.

Tiba-tiba aku terbayangkan wajahnya. Sudah lebih enam tahun. Sudah lebih enam tahun kami tidak berhubung. Enam tahun! Memang suatu jangka masa yang agak lama.

Seharusnya aku buang sahaja apabila ketahui segala-galanya akan berakhir. Tetapi aku tidak sampai hati untuk berbuat demikian. Ia seperti membunuh empunya penulis surat itu sendiri. Aku tidak sanggup. Tidak sanggup.

“Amutha, mana teh?” Aku bertanya seperti berada dalam keadaan normal.

Kebiasaannya selepas aku pulang dari kelas tambahan, teh dan biskut sudah tersedia di meja selepas aku mandi. Sekarang  kelihatan surat-surat yang penuh nostalgia di atas meja. Nostalgia.

“Jangan berdalih. Saya mahu tahu siapa dia dan mengapa kamu merahsiakan perkara ini?”

Amutha berdiri di belakang Preethi. Aku tidak dapat menatap wajahnya. Perkara ini perlu dijelaskan satu-persatu agar dia faham.

“Appa, saya mahu baca surat-surat yang wangi ini.”   

“Preethi pergi duduk di sofa, main dengan Teddy Bear kamu. Saya nak cakap dengan bapa kamu.”

“Biar dia duduk di sini.”

“Apa, kamu nak bagithau skandal kamu kepada Preethi. Nak dia ketawakan kamu?”

“Preethi masih kecil. Dia tak akan faham. Tak salah pun dia nak dengar.” Seboleh-bolehnya aku hendak mengawal keadaan dengan tenang.

Seboleh-bolehnya aku tidak mahu bergaduh dengan Amutha. Sejak berkahwin dengannya, dia yang rajin tinggikan suara. Aku seperti emak. Segala perkara emak akan kendalikan dengan penuh kesabaran. Biar langit sekali jatuh, senyumannya tidak pernah luntur. Aku tidak boleh harapkan yang sama daripada Amutha. Semua manusia dilahirkan sama tetapi dibesarkan secara berbeza. Nama aku sahaja Rama tetapi Amutha bukan Seetha.

“Siapa Seetha ini, appa?”

Terkejut aku mendengar soalan itu daripada Preethi. 

“Amutha duduk dulu, saya akan terangkan.”

“Tak mahu. Saya boleh dengar dari sini.” Amutha masih tercegat di  belakang kerusi Preethi.

Saya duduk berdepan dengan Preethi agar dapat melihat Amutha. Wajahnya masih marah, merah dan bengkak. Mungkin dia telah menangis selepas penemuan khazanah ini.

“Ini surat-surat daripda Seetha.”

Aku mengambil salah satu sampul  dan mengeluarkan surat.

“Appa ambillah yang wangi ini.” Preethi kata merengek tidak memahami gelojak hati kami berdua.  Aku berbuat seperti dipinta.

Mengapa kamu nak buka surat itu sekarang?”

“Baru saya boleh ceritakan secara terperinci pasal Seetha.”

“Saya tak mahu tahu tentang dia. Saya mahu tahu mengapa kamu merahsiakan daripada saya perkara bodoh ini. Macam Ambigabathi dan Amaravathi. Nak muntah  melihatnya!”

“Dengar sini Amutha. Jangan cakap begitu. Saya cuma tak mahu kamu sedih atau susah hati mengetahui kisah cinta saya yang lampau.” Aku masih menggagahkan diri untuk bercakap dengan perlahan.

“Kisah cinta konon. Jadi mengapa tak kahwin dengan dia tapi kahwin dengan saya?” Suara Amutha menjadi kuat. Preethi pun sudah takut melihat tingkah laku ibunya. Dia datang duduk di sebelah aku.

Pada masa itu aku terfikir lagi akan kesilapan aku menyimpan kesemua surat-surat Seetha. Mana aku boleh buang. Aku sungguh menyayanginya. Bersungguh-sungguh aku menyayanginya. Aku tidak pasti adakah dia juga masih menyimpan segala warkah yang ku kirim itu.

“Dia … dia sudah …” Aku menjadi sebak sukar untuk meneruskan kisah cinta aku yang penuh dengan tragedi itu.

“Sudah apa? Bunuh diri?” Nada suara Amutha seperti mempersenda.

Preethi sungguh pelik melihat kelakuan kami berdua. Hasratnya untuk membuka setiap sampul surat sudah terbengkalai. Dia tidak senang duduk lalu naik atas kerusi menggoyang-goyangkan badannya. Amutha memandang tajam pada Preethi. Preethi duduk kembali.

Aku terkedu mendengar perkataan bunuh diri. Bunuh diri? Seetha aku bukan seorang pengecut. Dia bukan bodoh sehingga perlu mencabut nyawanya sendiri.

“Mengapa diam? Mesti terbayangkan muka perempuan itu, kan?! Tadi saya terjumpa gambar dia dalam  salah satu surat. Hmm … bukan lawa pun. Saya pun tak tahu bagaimana kamu jatuh cinta pada dia. Dahlah jauh gelap daripada saya!"

***

Patutlah masa datang merisik dahulu dia seperti hendak tak hendak saja memandang aku. Mengapalah aku tidak ketahui perihal teman wanitanya sebelum kahwin lagi. Takkan ibu bapanya tidak tahu. Jadi, satu keluarga berkomplotlah dalam hal ini. Mereka merealisasikan peribahasa Tamil yang membawa maksud ‘Seribu kali berbohong boleh untuk mendapatkan pasangan.’

Biar dia rasa sakit dengan kata-kataku tadi. Biar dia tahu betapa sakitnya hatiku ditipu selama lima tahun. Dia pasti cintakan si Seetha itu hingga sekarang. Tak kisahlah Seetha itu sudah kahwin atau tidak. Surat bertimbun-timbun masih disimpan. Hairan bagaimana mereka berdua boleh tulis surat setiap minggu. Lagipun, mereka cuma kenal melalui ruangan sahabat pena di majalah Indian Movie News.  Orang Singapura pula.

Biar aku bawa Preethi balik kampung. Biar dia di sini seorang-seorang, mengelamun bersama si Seetha itu.

***

Mengapa amma mengeluarkan semua surat-surat ini dari peti besi buruk? Surat apa ini? Mengapa amma perlu longgokkan atas meja. Mengapa appa perlu simpan kesemua surat ini? Surat pun ada yang wangi.

Amma pula nampak marah setelah mengeluarkan surat-surat milik appa. Di belakang setiap  sampul ada tertulis nama M. Seetha. Setem-setem Singapura semua cantik-cantik belaka.

Mengapa appa pula nampak takut melihat amma? Saya tak faham. Amma tak bagi saya buka surat-surat wangi itu. Amma sendiri yang keluarkan surat-surat itu dan letak di atas meja, tapi tak bagi saya pegang.

Saya tak suka amma. Amma selalu marah-marah saja.

***

Amutha telah ke rumah ibunya bersama Preethi. Dia sungguh marah. Dia tidak kisah pasal cinta aku. Dia sungguh marah dan terkilan kerana aku  menyembunyikan perihal cinta kami.

Harap Amutha tidak tinggal lama di rumah ibunya. Agar dia akan berubah fikiran dan kembali ke pangkuan aku.

Dia tidak percaya aku dan Seetha tidak pernah bertemu dan kami hanya berutus surat sahaja sepanjang tiga tahun.

Apa boleh buat. Alangkah indahnya kehidupan aku jika telah berkahwin dengan Seetha yang mempunyai citarasa sama dengan aku. Buku, muzik, filem dan seni lukis diminati bersama.

Kami tidak dapat ke jinjang pelamin kerana bapanya memberi alasan aku ini orang Malaysia.

 

Tamat

 

 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

நான் எனும் பெரும் நடிகன்

    சிறுகதை    எம். பிரபு   எல்லோருக்கும் என்னைப் பிடிக்கும். எனக்கும் அவர்களைப் பிடிக்காமல் இருக்குமா பின்னே. நான் வாழ்வதே அவர்களுக்காகத்தான். அவர்கள் இல்லாமல் நான் இல்லை. நான் இல்லாமல் அவர்கள் இல்லை. வாழ்க்கையை இப்படித்தான் அனுபவிக்கனும் என்று எழுதி வைத்திருந்தால் நான் என்ன செய்வது? எது நடக்க வேண்டுமோ அது நடந்துதானே ஆக வேண்டும். எனக்கு எப்போதுமே அந்த கர்வம் உண்டு. நான் மிகவும் நல்லவன். யாரும் என்னை கெட்டவன் என்று சொன்னதில்லை. சொல்லி இருக்கலாம். அதெல்லாம் பெரிய விசயமே அல்ல.   அறவே இல்லை?   தெரியாது.   அவர்களை எனக்குப் பிடிக்க காரணம் உண்டு. அவர்களுக்கும் என்னைப் பிடிக்க நிச்சயம் காரணம் இருக்கும். அதுக்காக எனக்கு அவர்களை வெறுமனே பிடிக்கும் என்று அர்த்தமாகி விடாது. அது போன்றுதான் அவர்களும். சும்மாவா அவர்களுக்கு என்னைப் பிடிக்கும்? நான் என்ன சினிமா நடினா? இருந்தாலும் நான் ஒரு தலைச் சிறந்த நடிகனே. அவர்கள் மட்டும் என்னவாம். எல்லோரும் நடித்துக் கொண்டுதான் உள்ளனர். சும்மாவா சொன்னார் ஷேக்ஸ்பியர்.   வாழ்க்கையில் நடிக்கும் நடிகனுக்கு,  சினிமாவில் ...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...