Pengalaman
Oleh: M. Mahendran
Sebagai rakyat biasa tidak berpendapatan tinggi, saya menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup seperti mereka yang lain. Saban hari saya seperti sudah berada di suatu negara asing apabila berdepan dengan kenaikan kos barang, terutamanya bahan makanan mentah mahupun yang sudah dimasak. Keadaan ini sungguh memberi kesan kepada rakyat jelata berpendapatan sederhana dan rendah.
Menurut Data Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi seluruh isi rumah Malaysia pada tahun 2023 adalah RM4,729 sebulan. Di bandar, kadar pendapatan isi rumah adalah RM9,428 dan perbelanjaan adalah RM5,040 sebulan. Manakala pendapatan isi rumah luar bandar adalah RM5,147 dan perbelanjaan adalah RM3, 631 sebulan.
Faktor seperti saiz isi rumah, bilangan penerima pendapatan, serta kos hidup setempat turut memainkan peranan dalam dimensi ‘sebenar’ pendapatan B40 berbanding luar bandar.
Itu adalah data yang disiarkan di media sosial. Apabila kita kembali kepada suasana kehidupan seharian yang dialami oleh saya dan mereka yang lain, ia boleh dijelaskan dengan lebih mudah.
Jika seorang ketua keluarga berpendapatan RM2,000 sebulan dan tinggal di rumah sewa, ada isteri dan anak, mereka sudah pasti termasuk dalam golongan miskin. Jika isterinya bekerja sekali pun, ia masih tidak mencukupi untuk menyara kehidupan seharian. Sudah pasti mereka tidak boleh menyimpan wang demi masa depan ataupun digunakan pada waktu kecemasan.
Selain perbelanjaan asas, perbelanjaan bagi sewa beli kereta, motosikal, petrol dan tol turut menyumbang kepada kemiskinan.
Semasa saya kecil pada tahun 1970-an, pendapatan bapa saya cuma dalam lingkungan RM250 hingga RM300 sahaja. Ketika itu, kedua orang tua saya rajin bercucuk-tanam di kawasan rumah. Pelbagai jenis sayur-sayuran, kekacang, buah-buahan dan ayam boleh diperolehi secara percuma. Cuma beras, ikan, arang, dan lain-lain dibeli di kedai berhampiran.
Hiburan ketika itu ada radio dan dua kali sekali menonton wayang gambar di pawagam bersama keluarga. Makan di restoran memang sungguh jarang. Boleh dikira berapa kali bapa membawa kami ke kedai makan. Makanan kedai dibungkus dan dimakan di rumah sahaja. Mi goreng Cina pada tahun 1970-an hanya berharga RM1.20 sebungkus dan boleh dikongsi makan bersama 3 orang adik-beradik.
Kami berjalan kaki atau berbasikal sahaja ke sekolah. Perbelanjaan di kantin, sehari 10 hingga 20 sen. Kadang-kadang wang itu boleh disimpan buat perbelanjaan untuk membeli kudap-kudapan, mainan atau menonton wayang gambar.
Kini semua telah berubah. Selain perbelanjaan asas untuk makanan dan minuman sudah melonjak, perbelanjaan untuk internet, telefon, stesen satelit berbayar seperti Astro dan platfom Over-The Top (OTT) turut termasuk dalam perbelanjaan asas. Semua ini sukar dipisahkan hingga menaikkan kos perbelanjaan bulanan.
Ini tidak menjadi masalah kepada mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka yang berpendapatan rendah juga mempunyai keinginan untuk menikmati semua itu. Akibatnya, perbelanjaan bertambah tetapi jumlah simpanan di akaun bank adalah RM0.00.
Walaupun kerajaan ada memberi sumbangan itu dan ini kepada rakyat, ia tetap tidak membantu membanteras kemiskinan. Ia hanya kelegaan sementara sahaja.
Kerajaan perlu membuat pelbagai rancangan dan polisi yang teratur untuk menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur. Ini akan melonjakkan tarif Ringgit Malaysia kepada kadar yang memberangsangkan.
Untuk mengimbang keadaan ekonomi negara menjadi stabil, saya sarankan beberapa perkara untuk difikir dan dipraktikkan bersama-sama.
1. Kerajaan harus mengamalkan suatu sistem sama rata yang memanfaatkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
2. Pendidikan di sekolah perlu diselaraskan, yakni perlu diberi keutamaan kepada pembelajaran ekonomi, sains, tekonogi, seni dan kesusasteraan sejak sekolah rendah.
3. Pendidikan agama boleh diadakan di luar sekolah. Ini bermaksud, semua rumah ibadat perlu mengadakan kelas pendidikan agama. Ibu bapa juga berperanan penting mendidik anak-anak dalam hal ehwal agama, sivik dan moral.
4. Sikap berjimat-cermat perlu bermula dari rumah. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab penting dalam hal ini. Anak-anak perlu digalakkan menabung dan mengelakkan pembaziran.
5. Setiap orang harus tahu menguruskan kewangan masing-masing. Jangan sampai pihak lain seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu sering kali mengajar cara menguruskan wang.
6. Apa yang lebih penting, setiap individu tahu mana satu keperluan dan mana satu kehendak. Kehendak boleh diketepikan. Keperluan sahaja perlu diutamakan. Jangan pula kehendak melebihi keperluan.
Jika rakyat berpecah-belah dan sentiasa mencari kesalahan pihak lain tanpa membetulkan diri mereka terlebih dahulu, sudah tentu negara itu akan menuju ke arah kemunduran.
Seperti kata peribahasa Melayu ‘Bersatu Teguh Bercerai Roboh’. Kita perlu renung-renungkan kata-kata hikmah ini dan tolak ke tepi segala hal yang akan merosakkan imej negara lalu berusaha untuk menaik taraf nama negara kita.
Apabila imej negara baik di mata dunia, ia dengan sendirinya akan memulihkan kos sara hidup rakyat Malaysia.
Comments
Post a Comment