Esei
M. Mahendran
Masyarakat Malaysia amnya lebih mementingkan makanan dan minuman daripada segala apa yang ada di muka Bumi ini. Ke mana sahaja kita pergi, akan kelihatan kedai makan di merata tempat. Daripada warung kecil hinggalah ke restoran mewah. Makan, makan dan makan? Dan dengan perniagaan makanan itu jugalah ramai yang menjana pendapatan untuk memperhebatkan kehidupan masing-masing.
Pada suatu waktu dahulu, rakyat kita hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau makan ala kadar sahaja. Kini sudah jauh berubah sama sekali atas nama kemajuan dan kemodenan. Pada zaman dahulu manusia makan dan minum ketika lapar dan dahaga sahaja. Itu pun semua makanan dimasak di rumah. Sungguh amat kurang orang makan di kedai kecuali mereka yang bekerja jauh dari rumah.
Kini kita makan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Lapar atau tidak itu bukan menjadi masalah, yang penting dapat makan! Wang ringgit yang susah payah dicari saban hari dihabiskan untuk makan dan minum di kedai. Makan, makan dan makan?
Sudahlah masyarakat kita suka makan makanan yang tidak berzat, lagi tinggi dalam kalori. Minuman bergula dan sejuk pula diminum bersama makanan-makanan tersebut. Mereka langsung tidak endahkan tentang kesihatan. Asal kenyang, sedap di mulut dan puas hati sudah. Makan, makan dan makan?
Banyak masa dibazirkan begitu sahaja di kedai makan dengan borak-borak kosong mengenai politik negara yang tidak memberi manfaat langsung. Daripada satu gelas teh atau lain-lain minuman bergula, demi untuk lepak lebih lama di kedai akan bertambah bergelas-gelas lagi. Itu belum dicampur dengan rokok dan arak lagi. Sedangkan banyak perkara atau kerja boleh dilaksanakan pada masa itu.
Malaysia merupakan antara negara paling tinggi kadar obesiti di Asia Tenggara. Kajian NHMS (Tinjauan Kebangsaan Kesihatan) mendapati lebih 50% rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes. Penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kolestrol tinggi dan penyakit jantung adalah berpunca daripada cara pemakanan yang tidak sihat.
Sebagaimana ramai di kedai makan, sebegitu ramai jugalah yang mengunjungi hospital. Baik hospital kerajaan, mahupun hospital swasta. Kita sendiri boleh lihat pelbagai jenis hospital dan klinik swasta bercambah bagai cendawan. Wang yang dihabiskan di kedai makan akan berganda perlu dibelanjakan di hospital dan klinik swasta.
Jadi adakah ini semua adalah suatu kesalahan? Bukankah kita hidup untuk makan? Ia memang suatu kesalahan. Kita sebenarnya makan untuk hidup.
Kita perlu sedar bagaimana untuk hidup di dunia ini. Kita dilahirkan bukan atas permintaan kita. Dan kita akan hidup sekali sahaja di sini. Untuk itu adakah perlu disia-siakan kehidupan ini? Lihatlah sajalah haiwan. Mereka cuma makan apabila lapar sahaja.
Walaupun kita dilahirkan bukan atas kemahuan kita. Kita harus menempuhi segala macam suka dan duka di sini dengan seimbang. Untuk itu, kita perlu tahu bagaimana untuk hidup secara sistematik. Ini bukan bermaksud saya sempurna dalam segala hal. Saya juga masih bersama-sama anda semua mencari-cari untuk faedahkan kehidupan ini. Namun, saya boleh beri beberapa tips untuk dikongsi bersama agar masing-masing dapat mempraktikkan kehidupan yang sihat tanpa sentiasa makan, makan dan makan.
Semasa di sekolah kita ada ada jadual waktu. Kita akan membawa buku teks dan buku nota kita mengikut jadual waktu yang diberi. Dan di sekolah, setiap mata pelajaran dipelajari mengikut jadual waktu yang diberikan itu.
Kita boleh aplikasikan perkara yang sama dalam kehidupan seharian kita. Yang penting, kita perlu sentiasa berdisiplin mengikuti segala yang dijadualkan tanpa kompromi.
Jadual itu boleh ditulis dan ditampal di bilik atau di ruang tamu. Jika ingatan anda bagus, boleh dijadualkan di dalam otak sahaja. Yang penting, apa yang dirancangkan perlu dilaksanakan dengan sistematik.
Pagi bangun seawal mungkin. Pukul 6 pagi sudah memadai. Minum air kosong segelas. Buat senaman ringan dan selesaikan segala urusan di bilik air. Mengambil sarapan sebelum ke kerja atau ke sekolah. Makan dan minum cukup-cukup sahaja. Jangan makan sarapan pagi seperti makan di kenduri kahwin.
Boleh menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja. Jangan makan apa-apa sebelum makan tengah hari. Minum air suam. Makan waktu tengah hari ketika lapar. Jangan minum minuman berais. Di tempat kerja tetapkan masa rehat yang sama.
Minum petang juga harus dijaga. Sekadar alas perut sudah memadai. Kurangkan pengambilan gula dan minyak. Jika ada masa terluang setelah balik dari kerja boleh lakukan brisk walking.
Malam, makan sebelum jam 8 malam. Jangan habiskan masa anda di media sosial. Luangkan masa untuk membaca buku bersama-sama ahli keluarga. Elakkan keluar dan lepak di kedai kopi setelah pulang ke rumah atau pada hari-hari cuti. Seminggu sekali tidak menjadi hal. Jika boleh, bawa bahan bacaan ke kedai kopi, digalakkan. Berbincanglah tentang buku-buku yang dibaca bersama rakan-rakan anda.
Tidur sebelum jam 11 malam. Tidur yang cukup dapat merehatkan segala organ di dalam badan kita. Jangan tidur selepas jam 7 pagi. Biasakan bangun awal walau pada hari cuti.
Kurangkan keinginan untuk makan dan minum. Dahagakan ilmu. Agar tanpa membaca buku dalam masa sehari anda akan berasa kehilangan sesuatu. Wang yang dibazirkan untuk makan, makan dan makan itu boleh dibuat simpanan untuk masa depan. Sentiasa ketepikan wang untuk membeli bahan bacaan untuk seisi keluarga.
Kerajaan patut mengawal kadar pembukaan kedai makan. Waktu operasi kedai makan perlu dihadkan sehingga jam 8 malam sahaja. Dengan cara ini penduduk kita akan rajin memasak dan makan di rumah. Kebersihan makanan pun terjamin.
Saya ingin melihat negara Malaysia dilimpahi dengan kedai buku di merata tempat menggantikan kedai makan. Saya ingin melihat semua warga Malaysia ke hulu dan ke hilir menjinjing buku dan sentiasa membaca di dalam pengangkutan awam ataupun semasa menunggu giliran di hospital atau di lain-lain tempat.
Baca, baca dan baca.
Comments
Post a Comment