Skip to main content

MICHAEL CORLEONE

 Cerpen







M. Mahendran

 

Aku hairan dengan diriku sendiri. Aku langsung tidak berganjak dari tempat duduk tadi. Nasi ayam yang aku kunyah sebelum kejadian tadi, baru dapat ditelan perlahan-lahan menuruni rongga kerongkong. Mungkin ini disebabkan oleh penangan nasi ayam Ah Fook.

***

Pagi-pagi lagi tiga buah lori sudah menunggu di depan stor. Walaupun tahu stor akan dibuka jam sepuluh pagi, mereka masih berdegil datang awal untuk menempah tempat. Aku lebih gemar lori sampai satu persatu setelah stor dibuka. Ini tidak. Sudah berkali-kali aku pesan kepada pemandu-pemandu lori ini supaya datang mengikut masa yang ditetapkan. Masing-masing tidak mahu dengar. Sasaran aku sehari enam atau tujuh buah lori sudah mencukupi. Ini tidak. Kadang-kadang melebihi sepuluh buah lori. Balik ke rumah pun sudah melebihi waktu kerja.

Bekerja sebagai penyelia stor dengan gaji tidak seberapa ini memang memberi tekanan kepada mental dan fizikal. Anak buahku cuma tiga orang. Menerima barang dari ejen, menyusun barang dalam stor, mengutip barang untuk pasar raya  adalah kerja-kerja rutin. Jika pemandu pasar raya cuti atau tidak datang kerja, kami juga yang akan dipaksa menjadi pemandu mereka.  Selain itu, kami perlu membungkus barang-barang tamat tempoh dan rosak untuk dikembalikan semula kepada ejen. Kebanyakan masa, pemandu lori akan merungut dan tidak mahu menerima barang-barang yang dipulangkan sehingga berlaku pertelagahan dengan mereka.

Segala barang yang sampai perlu diperiksa satu persatu mengikut apa yang tercatat pada invois. Jika salah atau diterima kurang  daripada invois, kami pekerja stor yang perlu menanggungnya. Gaji kami akan dipotong setiap bulan untuk menanggung kos kerugian syarikat. Memang malang.

Aku pernah mengalami kekurangan barang sebanyak dua sekali. Lima bulan gaji kami dipotong. Gaji bulanan cuma 250 ringgit. Dipotong 50 ringgit seorang memang menyeksakan hidup sepanjang bulan. Selalunya kekurangan barang hanya disedari selepas invois dicop, ditandatangan dan setelah lori beredar. Kami tidak dapat berbuat apa-apa. Pemandu lori jarang sekali mahu mengembalikan barang yang kurang. Namun, ada juga pemandu yang baik hati. 

Sejak itu, aku dan anak buah akan meneliti setiap kotak barang yang diturunkan sebelum dan selepas disusun di atas pallet. Kemudian, pallet diangkut  menggunakan forklift masuk ke dalam stor. Suatu kerja yang teramat berat dan memenatkan. Sudah hampir empat tahun aku menjadi hamba di sini. Suka atau tidak, terpaksa meneruskannya. Ya, terpaksa meneruskannya.

Pengurus kami pula, sentiasa mencari kesalahan. Segala marah dan tengkingnya perlu kami hadapi dengan muka tunduk, walaupun di hati berkocak rasa mahu menumbuk sahaja muka pengurus yang sombong itu. Setiap kali pengurus datang ke stor dan membuat bising, terasa mahu berhenti kerja ketika itu juga.  Kalau nak dikatakan kami semua  sempurna dalam melaksanakan tugas, tidaklah. Tapi kami tetap cuba buat yang terbaik setakat yang kami mampu. Geram!

Aku hanya mampu mendamaikan hati dengan berbisik  ‘chobaan … chobaan’. Sabar sahajalah, sementara menunggu pekerjaan baharu yang lebih baik. Itu jugalah yang aku katakan kepada anak buah aku. Aku tahu ada dalam kalangan mereka yang berdendam. Harap mereka tidak ikutkan hati dalam hal ini.

Apa yang paling aku benci ialah bertembung dengan pengurus bercermin mata dan bermata sepet itu di luar tempat kerja. Kami sering makan di kedai yang sama - bukan bersama - tetapi tidak pernah duduk semeja. Aku menegurnya dengan panggilan ‘bos’. Dia hanya membalas dengan senyum sumbing, dan tidak pernah sesekali belanja aku makan. Aku pun tidak kisah. Nanti termakan budi pula. Biarkan.

Seperti biasa, selepas bersusah payah menurunkan dan menyusun barang dalam stor, aku berjalan mencari kedai makan. Setiap hari jam 12 tengah hari aku akan keluar berehat. Anak-anak buah aku akan makan secara bergilir selepas itu. Kadang-kadang mereka tidak menepati masa selepas waktu rehat. Itu juga menjadi punca kemarahan pengurus. 

Matahari memancar terik seperti membakar aku. Badan aku yang sedia berpeluh menjadi semakin tidak selesa. Dalam kepala, aku sudah membayangkan meja makan dengan kipas berputar laju atas kepala, dan aku sangat berharap tidak bertembung lagi dengan pengurus sombong itu. Masa makan pun hatiku tidak tenteram.

Aku melangkah masuk ke kedai Ah Fook. Seminggu sekali aku akan ke sini untuk menikmati nasi ayamnya. Biasanya aku makan di restoran India atau kadang-kadang di kedai nasi campur Cina. Untuk sarapan, aku lebih suka kedai Melayu. Tapi hari ini, tekak aku benar-benar mahukan nasi ayam Ah Fook. 

 Harap-harap pengurus aku tidak masuk ke kedai ini hari ini. Malas hendak menegurnya dan dipandang hina olehnya lagi

Di dalam kedai, aku nampak sebuah keluarga sedang menunggu makanan. Di dua meja yang lain, ada beberapa lelaki yang kelihatan seperti orang luar. Bukan pelanggan tetap.

Nasi ayam di sini memang sedap. Ayam panggang atau ayam putihnya dicicah dengan cili pedas manis, kicap manis dan pes halia - sungguh membuka selera. Timunnya pula banyak dan supnya juga enak. Sekarang orang tidak ramai, tetapi menjelang jam satu, pasti penuh. Sebab itulah aku suka rehat awal.

Ah Fook memotong ayam dengan dengan parang kecil di hadapan kedai. Isterinya pula menyediakan pinggan-pinggan makanan. Aku tidak perlu pesan. Mereka sudah tahu pesanan aku. Kalau aku mahu ayam panggang, baru aku beritahu.

Aku duduk di kerusi di meja kayu bulat berwarna hitam, tepi tingkap. Kipas di atas kepala berputar laju. Badanku terasa lega. Sambil menunggu, aku melilau mencari kelibat ahmoi-ahmoi cantik. Malangnya, hari ini tiada.  Hampir semua pelanggan lelaki. Bosan.

Aunty, pembantu Ah Fook, datang meletakkan gelas teh Cina ais di atas mejaku.

“Nampak manyak letih ini hari,” katanya

“Banyak lori aunty,” jawab aku ringkas.

Dua orang aunty lain masuk menaiki basikal, menempah nasi ayam bungkus. Harap Ah Fook siapkan makanan aku dulu.

 Isteri Ah Fook menghidangkan sup. Aku meneguk teh Cina ais sambil mengacau sup dengan sudu. Aunty kembali menghidangkan nasi ayam. Bau nasi ayam panas itu benar-benar menggoda. Aku segera menyuapkan ke mulut.

Pada suapan ketiga, ketika aku mengunyah perlahan ayam putih yang empuk sambil mengelamun - tiba-tiba aku terdengar bunyi bising di meja di belakang. Aku berpaling.

 Empat orang lelaki yang aku lihat tadi sedang bertengkar dengan menggunakan kata-kata kesat dalam bahasa Kantonis. Aku faham maksudnya. Seorang yang berbadan gemuk menghentak meja. Seorang lagi yang kurus bangun, membaling kerusi ke arah si gemuk, kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dari stokin kasut kaki kanannya.

Tanpa berlengah, dia melepaskan beberapa das tembakan tepat ke kepala dan leher mereka. Semua pelanggan menjerit dan bertempiaran keluar. Seorang kanak-kanak menangis kuat. Nyonya-nyonya yang sedang  menunggu bungkusan juga lari lintang-pukang.  Ah Fook menutup mukanya dengan tuala ‘Good Morning’ dan bersembunyi di bawah kaunter. Isterinya dan aunty pembantu menjerit dan melarikan diri ke dapur. Mungkin mereka bersembunyi di dalam bilik air.

Tapi aku? Aku tetap di tempat duduk. Kaku. Tidak menjerit, tidak melarikan diri seperti yang lain.

Si penembak dengan selamba menyimpan pistolnya ke dalam stokin kasut dan bergegas keluar. Sebelum keluar,  dia sempat menjeling aku. Suatu jelingan yang tajam dan menusuk. Jantungku berdegup kencang. Aku boleh mendengar degupan jantungku sendiri. Ya, aku boleh mendengar!

 Pinggan, mangkuk, gelas, sudu, garpu - semua bersepah di atas dan sekitar tiga mayat yang terbujur. Nasi dan tulang-tulang ayam bertaburan di atas lantai. Darah membasahi muka dan badan mereka. Ketiga-tiganya  tercungap-cungap sebelum senyap. Sudah mati? 

Aku masih ingat wajah pembunuh itu. Matanya tajam dan penuh kuasa walaupun rautnya bengis. Aku kagum dan hairan, sungguh berani dia lakukan semua ini di siang hari, di kedai makan, di hadapan orang ramai.  Hampir sama seperti babak Michael Corleone dalam filem The Godfather. Cuma pembunuh ini tidak sekacak Al Pacino dan dia tidak mencampakkan pistol sebelum keluar dari kedai.

Kemudian dia hilang. Aku tidak tahu bagaimana  cara dia menghilangkan diri pada saat yang paling mendesak. Dia hilang.

Aku hairan dengan diriku sendiri. Aku langsung tidak berganjak dari tempat duduk tadi. Nasi ayam yang aku kunyah sebelum kejadian tadi, baru dapat ditelan perlahan-lahan menuruni rongga kerongkong. Mungkin ini disebabkan oleh penangan nasi ayam Ah Fook.

 Aku terbayangkan semula wajah pembunuh tadi, wajah pengurus bengis aku dan wajah Michael Corleone. Aku tersenyum. Michael Corleone.

 

Tamat

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

நான் எனும் பெரும் நடிகன்

    சிறுகதை    எம். பிரபு   எல்லோருக்கும் என்னைப் பிடிக்கும். எனக்கும் அவர்களைப் பிடிக்காமல் இருக்குமா பின்னே. நான் வாழ்வதே அவர்களுக்காகத்தான். அவர்கள் இல்லாமல் நான் இல்லை. நான் இல்லாமல் அவர்கள் இல்லை. வாழ்க்கையை இப்படித்தான் அனுபவிக்கனும் என்று எழுதி வைத்திருந்தால் நான் என்ன செய்வது? எது நடக்க வேண்டுமோ அது நடந்துதானே ஆக வேண்டும். எனக்கு எப்போதுமே அந்த கர்வம் உண்டு. நான் மிகவும் நல்லவன். யாரும் என்னை கெட்டவன் என்று சொன்னதில்லை. சொல்லி இருக்கலாம். அதெல்லாம் பெரிய விசயமே அல்ல.   அறவே இல்லை?   தெரியாது.   அவர்களை எனக்குப் பிடிக்க காரணம் உண்டு. அவர்களுக்கும் என்னைப் பிடிக்க நிச்சயம் காரணம் இருக்கும். அதுக்காக எனக்கு அவர்களை வெறுமனே பிடிக்கும் என்று அர்த்தமாகி விடாது. அது போன்றுதான் அவர்களும். சும்மாவா அவர்களுக்கு என்னைப் பிடிக்கும்? நான் என்ன சினிமா நடினா? இருந்தாலும் நான் ஒரு தலைச் சிறந்த நடிகனே. அவர்கள் மட்டும் என்னவாம். எல்லோரும் நடித்துக் கொண்டுதான் உள்ளனர். சும்மாவா சொன்னார் ஷேக்ஸ்பியர்.   வாழ்க்கையில் நடிக்கும் நடிகனுக்கு,  சினிமாவில் ...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...