Esei
M. Mahendran
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘asimilasi’ atau dalam bahasa Inggerisnya assimilate? Kamus Reader’s Digest (1998) memberi maksud begini:
to be absorbed into the body or mind.
The body can assimilate some foods easily. We assimilated a lot of new information at today’s lecture.
to intergrate, adjust to a new environment.
We must encourage the assimilation of the newcomers.
Ada segelintir orang sedih melihat kaum bukan asal negara ini masih belum dan tidak mahu berasimilasi. Yakni, mereka tidak berasimilasi sesama masyarakat asal (yang sudah lama bermastautin) di negara ini, walaupun mereka yang dikatakan pendatang itu sudah hidup bersama di negara ini beratus-ratus tahun lamanya.
Impian segelintir itu mahu melihat masyarakat bukan asal negara ini melupakan dan meninggalkan bahasa, adat-resam, budaya, malah agama masing-masing dan menjadi seperti orang asal sepenuhnya.
Mungkin rupa masyarakat bukan asal boleh dikekalkan tetapi yang lain perlu menyamai apa yang dipraktikkan oleh masyarakat asal.
Jadi, perubahan atau asimilasi beginilah akan diiktiraf oleh segelintir itu dan sah untuk menjadi warganegara. Selagi asimilasi ini tidak berlaku, selagi itulah kesetiaan mereka (yang dikatakan sebagai pendatang) kepada negara ini akan disangsi. Sungguh melucukan, bukan?
Ini bermaksud, kaum bukan asal yang sedia ada sekarang masih tidak mencapai kategori rakyat negara ini kerana mereka masih mengamalkan bahasa, budaya, adat-resam, nama, sekolah dan agama yang dibawa dari negara asal mereka.
Untuk menjadi warganegara sesebuah negara, adakah segala apa yang dianuti secara turun-temurun perlu ditinggalkan? Tanpa meninggalkan semua ini, adakah kesetiaan kepada negara tempat tanah tumpah darah akan pudar? Sedangkan mereka lahir, hidup dan mati di negara ini berkurun lamanya. Lagipun, hubungan mereka dengan kaum asal negara ini akrab dan masih bertolak ansur satu sama lain.
Beberapa negara Asia Tenggara pula dijadikan contoh oleh segelintir itu. Dikatakan kaum pendatang di negara-negara itu telah mengalami asimilasi hingga tidak ada kesan negara asal pada diri mereka. Adakah ini suatu kebanggaan? Sebenarnya ia sungguh memalukan. Mereka telah mengabaikan apa yang diperturunkan oleh nenek moyang.
Memang asimilasi akan menghindarkan polarisasi antara kaum sebab mereka akan menyamai masyarakat asal yang sudah lama bermastautin di sesuatu negara. Apabila ini terjadi, maka situasi kepelbagaian itu tidak akan wujud. Kita tidak akan dapat menikmati kelainan budaya, bahasa, agama dan makanan yang sungguh unik yang kita sedang miliki ini.
Bahasa ibunda, adat resam, budaya dan agama pelbagai kaum adalah sesuatu yang perlu dimiliki secara turun-temurun. Ia adalah kazanah. Ia tidak boleh dan tidak patut dirampas atau dimusnahkan sama sekali. Jika ia dimusnahkan, maka hilanglah jati diri seorang insan yang digelar manusia.
Perubahan pada adat resam atau budaya mungkin akan berlaku melalui peredaran zaman. Apa-apa yang tidak munasabah pada masa kini boleh diubahsuai mengikut keperluan. Perubahan ini juga adalah suatu asimilasi. Tetapi asimilasi ini tidak akan memusnahkan apa yang diperturunkan dan dipraktikkan sejak beribu-ribu tahun yang lampau.
Yang patut kekal, harus kekalkan. Tidak perlu dibuang segala-galanya dan mengadaptasi semua yang ditemui di tempat baharu. Itu adalah derhaka. Menderhaka kepada kaum, budaya dan agama, sama seperti menderhakai seorang ibu.
Juga sering diperkatakan oleh segelintir, dengan adanya toleransi penduduk asal negara inilah para kaum yang dikatakan pendatang sedang menikmati apa yang mereka kecapi sekarang. Itu tidak boleh dinafikan.
Mereka yang digelar sebagai pendatang itu bukan mudah mencapai apa yang mereka menikmati sekarang. Mereka telah bertungkus-lumus berkeringatkan darah dan mengorbankan diri demi kemakmuran negara ini.
Pemerintah ketika itu tidak menempatkan mereka bersama penduduk asal negara ini. Oleh itu, sudah pasti mereka tidak berpeluang untuk berasimilasi, kecuali sebahagian masyarakat di negeri Melaka dan Kelantan. Asimilasi itu tidak menjadi ‘ketara’.
Daripada berangan-angan tentang asimilasi, lebih baik mencari jalan untuk memupuk perpaduan antara semua kaum di negara ini. Itu yang penting. Kita harus berbangga sudah hidup aman dan damai dalam kepelbagaian ini. Cuma, sejak akhir-akhir ini selepas munculnya media sosial, keadaan mula menjadi keruh. Dikeruhkan oleh ‘tokoh-tokoh’ politik.
Seharusnya boleh banyakkan program silang budaya di sekolah dan institut pengajian tinggi, termasuk pertukaran pelajar antara sekolah kebangsaan dan vernakular.
Pendidikan sejarah di sekolah perlu diseimbangkan. Pelajar perlu didedahkan sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh setiap kaum di negara ini demi memajukan negara suatu ketika dahulu hingga kini. Biar mereka tahu akan kepayahan yang dilalui oleh nenek moyang mereka
Di samping itu boleh perbanyakkan program kejiranan, gotong-royong dan program, kebudayaan melibatkan semua kaum secara aktif.
Penggunaan bahasa Kebangsaan dan bahasa pemerintah dahulu sebagai bahasa perpaduan perlu diperkembangkan. Bahasa-bahasa ibunda yang lain turut perlu dipelajari dan dijiwai oleh semua kaum untuk mengenali adat, budaya dan agama masyarakat setempat.
Industri filem negara perlu diperhebatkan dengan penglibatan semua kaum menghasilkan filem berkualiti tinggi untuk tontonan di seluruh dunia. Warisan kebudayaan yang dimiliki bersama perlu menjadi bahan bualan secara global menerusi filem.
Sesi pertemuan dan perbualan antara kaum perlu diwujudkan di mana-mana tanpa halangan. Agama sesuatu kaum tidak semestinya perlu menjadi halangan untuk bercampur-gaul. Malah, perlu dipereratkan lagi persahabatan. Padahal, kita semua adalah manusia yang tinggal di Bumi yang sama. Bukannya makhluk asing.
Kita tahu Bumi ini dihuni oleh pelbagai jenis manusia dengan bermacam-macam bahasa, adat dan budaya. Bolehkah kita asimilasikan semua penduduk dunia ini menjadi satu kaum, agama dan budaya?
Mustahil bukan?

Comments
Post a Comment