Skip to main content

STEPHEN

 Cerpen

                                           


 

 


 

Oleh: M. Mahendran

 

 

Hari ini emak tidak datang menjemput aku. Pagi tadi dia sudah memberitahu. Jadi, aku perlu pulang sendiri. Oleh kerana rumah aku tidak berapa jauh dari sekolah, emak tidak risau.

 Sebenarnya aku lebih suka membonceng motor emak. Dalam masa lima minit sahaja boleh sampai rumah dan terus makan nasi. Berjalan kaki di tengah panas akan mengambil masa lima belas hingga dua puluh minit. Sungguh meletihkan. Sememangnya aku tidak suka pada matahari terik dan berpeluh. Lebih-lebih lagi waktu pulang dari sekolah. Waktu pagi takpa. Ada beberapa kali aku pernah berjalan begini.

Aku tidak pasti sebab apa emak tidak datang hari ini. Dia cuma kata, ada kerja hendak dibuat. Itu sahaja yang aku tahu. Kebanyakan pelajar sudah pun menaiki kereta dan motor walaupun rumah mereka tidak jauh dari sekolah.

Bapa pernah berkata, semasa belajar dahulu dia berjalan kaki, naik basikal atau naik bas ke sekolah. Budak-budak sekarang manja, katanya. Aku pun tidak faham mengapa bapa menggunakan perkataan manja itu. Menjemput anak menaiki kereta atau motorsikal adalah manja? Aku hairan. Itu adalah tanggungjawab mereka. Manja?

Emak pula berkata, nasib baik aku seorang sahaja anak mereka, Jika tidak, dia terpaksa berulang-alik ke sekolah menghantar dan menjemput setiap anak. Bapa tidak pernah melibatkan diri dalam urusan ini. Boleh dikira berapa kali dia pernah hantar atau jemput dari sekolah.

 Bapa sudah ke tempat kerja dengan keretanya. Lagipun, bapa akan ke kerja pagi-pagi lagi dalam pukul 6. Dia tidak suka menghadapi kesesakkan lalu-lintas. Pada masa dia keluar rumah, aku baru bangun dari tidur.

Bangun pagi pun satu hal. Aku paling benci bangun awal. Bukankah lebih baik jika sekolah dimulakan pukul sembilan atau sepuluh pagi sahaja. Sekolah sesi petang pun sudah dihapuskan di tempat aku ini.

 Sudah tujuh tahun aku tersiksa begini. Nasib baik Sabtu dan Ahad tak perlu ke sekolah. Dan jika ada apa-apa aktiviti ko-kurikulum di sekolah pada Sabtu dan Ahad, aku tidak akan pergi pun. Semua cikgu tahu tentang perangai aku. Mereka tidak berkuasa untuk memaksa aku. Aku juga jarang beritahu emak dan bapa pasal ko-kurikulum. Mereka pun tidak peduli. Jadi, mengapa aku perlu bimbang?

Sudahlah beg sekolah berat. Seluar panjang, baju kemeja bersama lencana Malaysia pulak sekarang, sungguh merimaskan. Harap mereka akan tukarkan kepada lencana jenis jahit pada baju. Mereka ingat budak sekolah boneka agaknya.

Aku melangkah perlahan-lahan melintasi pagar sekolah. Di pondok pengawal, kelihatan makcik Jaga berseragam putih menyeringai melihat aku bersusah payah berlajan kaki. Baju makcik Jaga  nampak tebal. Lebih tebal daripada baju putih aku. Dia tidak kelihatan berpeluh seperti aku.

“Mana emak?”

Buat apa dia tanya? Bukannya dia akan hantar aku pulang ke rumah pun.

“Dia tak datang, makcik!” Aku menjawab tanpa memandang wajahnya.

“Kesiaaan!”

Apa kesian-kesian?  Dalam kepala, aku sedang memikirkan masakan apa emak masak hari ini dan kepayahan yang aku perlu lalui sehingga sampai di rumah. Peluh dari kepala sudah pun menuruni dahi dan membasahkan pipi montel aku. Baju kemeja pun sudah basah dan sudah melekat pada badan.

Aku memandang kiri dan kanan kemudian melintas jalan.  Aku paling benci pada mereka yang menunggang motorsikal. Tidak tahu bawa perlahan. Semua suka berlumba. Depan sekolah pun nak bawa laju-laju. Bodoh!

Selepas melintas jalan aku memasuki kawasan perumahan. Kawasan ini tidak sesibuk seperti di jalan besar tadi. Aku perlu berjalan melepasi taman perumahan ini kemudian menaiki jambatan. Jambatan itu agak sempit. Jika ada kereta dari dua arah hendak lalu, salah sebuah perlu mengalah dan harus beri  laluan. Motorsikal takpa, tidak hadapi masalah..   

“Dei Gundu!

Siapa pula yang memanggil ini? Aku berhenti lalu memandang ke kiri dan kanan kawasan perumahan itu. Tidak kelihatan sesiapa pun di jalan atau di luar rumah tempat aku sedang berdiri. Suara yang memanggil tadi pun bukan suara yang dikenali.

Atau aku saja perasan? Mungkin suara itu tidak memanggil aku. Mungkin suara itu  memanggil budak gemuk yang lain. Aku meneruskan perjalanan.

“Dei Gundu!

Siapa pulak ini? Memang suara yang sama kedengaran dari arah belakang. Suara itu cuma kedengaran apabila tidak ada kereta atau motorsikal melintasi aku. Jadi, sudah pasti bukan mereka yang menaiki kereta atau motor yang memanggil aku dengan suara seperti beruk.

Setiap kali aku berjalan kaki pulang ke rumah, pasti aku terdengar ada suara memanggil aku. Adakah rumah-rumah di sini memanggil aku? Walaupun suara itu tidak memanggil nama aku yang sebenar, mengapa aku perlu marah?

Biarkan!

Sebenarnya aku bukan kuat makan pun. Aku makan seperti orang lain sahaja. Cuma, kudap-kudapan adalah makanan kegemaran aku. Mungkin aku mewarisi rupa bentuk badan bapa aku. Aku tidak gemuk. Berbadan besar sahaja. Lebih besar daripada sepatutnya untuk umur aku. Itu sahaja.

Perut aku sudah berbunyi. Rehat tadi aku makan nasi lemak dan dua karipap sahaja. Sekarang,  sudah hilang entah ke mana. Perut aku kembali lapar.  Emak selalu bagi lima atau enam ringgit sehari. Air Milo aku bawa dari rumah. Memang enam ringgit tidak cukup untuk aku. Jika aku minta duit lebih, emak akan kata nak bayar itulah, inilah. Dia menyuruh aku berjimat-cermat pula. Sedangkan dia yang membazir wang beli itu dan ini melalui Shoppee, Tik Tok dan lain-lain aplikasi di telefonnya.

Yang aku hairan, bapa tidak pernah marah emak. Lainlah kalau emak bekerja dan ada duit sendiri. Ini, emak guna duit bapa untuk beli pakaianlah, hiasanlah, seliparlah, kasutlah dan entah macam-macam lagi.

Walaupun aku tidak suka pelajaran di sekolah, aku masih gemar membaca buku. Bila aku panggil emak belikan buku cerita, emak suruh aku baca buku teks sekolah saja. Nasib baik aku boleh pinjam buku-buku cerita di perpustakaan sekolah. Tapi buku-buku di situ sudah lama.

Aku pernah mendapat buku percuma bertajuk ‘Nari-Nari’  daripada penulis Uthaya Sankar SB, semasa beliau datang ke sekolah Tamil aku, tahun lepas, menganjurkan program Temasya Bahasa. Bagus buku itu. Program yang dianjurkan oleh Idayakkani dan Kavyan dibuat di beberapa buah sekolah Tamil. Aku sungguh gembira mengambil bahagian dalam acara itu.

 Emak kata, jika asyik baca buku cerita, nanti aku akan abaikan pelajaran sekolah. Buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolah terpaksa aku baca secara sorok-sorok. Aku minta emak belikan fon untuk permudahkan pembelajaran. Emak kata, nanti aku akan salah guna pulak. Bapa selalu tidak membuat apa-apa keputusan. Dia cuma tahu kerja, kerja dan kerja. Hari Ahad dia akan duduk di kedai kopi berjam-jam lamanya bersama kawan-kawan.

Bagus di sekolah Tamil dahulu. Aku ada beberapa kawan rapat. Kini kami sudah berpisah, di hantar ke sekolah-sekolah berlainan. Di sekolah ini aku kurang kawan. Di sini mereka suka buli aku. Adakah memiliki tubuh badan besar suatu kesalahan besar hingga perlu disenda gurau?

Tanpa disedari, aku sudah menaiki jambatan dan menuruni jambatan. Entah emak masak apa  hari ini. Harap dia tidak masak rasam dan ikan masin lagi.

Masakan emak sedap tetapi emak hanya masak yang sedap-sedap pada Sabtu dan Ahad sahaja. Hari-hari lain dia  masak secara ala kadar sahaja. Tidak ada ayam atau ikan dari Isnin hingga Jumaat. Kebanyakan masa masakan sayuran, saambaar dengan ikan bilis goreng atau sambal ikan bilis sahaja. Kadang-kadang ada telur goreng.

Orang yang lalu-lalang di kawasan ini pun seorang pun tidak kasihankan aku. Apa, mereka ingat dengan memboncengkan aku, tayar motorsikal mereka akan pancit? Hari-hari aku naik motorsikal emak, tak jadi apa pun.

Aku tidak tahu sudah pukul berapa sekarang. Mungkin sudah pukul dua petang. Bergilir-gilir aku menukar beg dari bahu kanan ke kiri dan kiri ke kanan. Aku sudah pun menghampiri rumah pangsa tempat tinggalku. Flat setinggi lima tingkat berwarna biru itu seperti melambai-lamabai memanggil aku.

“Mari Stephen! Cepat naik atas aku! Cepat buka pintu! Mari Stephen, mari cepat! Mari makan!”

Emak tidak pedulikan aku, bapa pun tak pedulikan aku. Cuma bangunan biru inilah menjadi teman aku. Aku boleh rasa bangunan ini bercakap-cakap dengan aku.

“Gemuk!”

Aku menoleh kiri, kanan, atas dan bawah. Tidak kelihatan sesiapa pun. Bangunan biru ini memanggi aku? Ya, mungkin ‘dia’ yang memanggl aku, Aku tidak akan marah.

 Aku menaiki tangga. Di sini tidak mempunyai kemudahan lif.

 Panas, letih, lapar dan dahaga.

Aku menaiki setiap anak tangga tanpa semangat. Apabila tiba di tingkat tiga, aku seperti hendak tersungkur. Aku menggagahkan diri. Setelah menaiki tingkat empat dan melihat pintu rumah aku berwarna perang gelap itu, baru hati terasa lega.

Aku memulas tombol pintu, ia terkunci. Mana pergi emak ini?

Aku mengetuk pintu dan memanggil emak. Tiga empat kali aku memanggil. Langsung tidak dijawab. Aku turunkan beg ke lantai. Hati terasa panas. Seorang anak tidak boleh marah terhadap orang tuanya. Dalam keadaan begini, pasti mana-mana anak pun akan marah.

Aku melihat ke bawah. Aku melihat motorsikal emak Honda EX5 biru  ada di bawah flat. Motor ada. Ke mana pula dia pergi?

Nak tunggu di sini atau turun sahaja ke bawah? Aku tidak biasa bercakap dengan mana-mana jiran. Bukan macam emak. Tekak berasa sungguh dahaga mengatasi lapar. Rasanya seperti hendak menelan berliter-liter air sejuk yang dipenuhi air batu.

Baru aku nak turun ke bawah, aku terkejut melihat emak muncul. Di tangannya kelihatan 2 beg KFC bersama sebotol Pepsi.  Aku nampak wajah emak berseri-seri. Dia tidak berpeluh langsung. Dan aku terbau pewangi kereta pada badan emak. Tapi itu bukan bau pewangi kereta bapa.

Tamat

 

 

 

 

 

   

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

நான் எனும் பெரும் நடிகன்

    சிறுகதை    எம். பிரபு   எல்லோருக்கும் என்னைப் பிடிக்கும். எனக்கும் அவர்களைப் பிடிக்காமல் இருக்குமா பின்னே. நான் வாழ்வதே அவர்களுக்காகத்தான். அவர்கள் இல்லாமல் நான் இல்லை. நான் இல்லாமல் அவர்கள் இல்லை. வாழ்க்கையை இப்படித்தான் அனுபவிக்கனும் என்று எழுதி வைத்திருந்தால் நான் என்ன செய்வது? எது நடக்க வேண்டுமோ அது நடந்துதானே ஆக வேண்டும். எனக்கு எப்போதுமே அந்த கர்வம் உண்டு. நான் மிகவும் நல்லவன். யாரும் என்னை கெட்டவன் என்று சொன்னதில்லை. சொல்லி இருக்கலாம். அதெல்லாம் பெரிய விசயமே அல்ல.   அறவே இல்லை?   தெரியாது.   அவர்களை எனக்குப் பிடிக்க காரணம் உண்டு. அவர்களுக்கும் என்னைப் பிடிக்க நிச்சயம் காரணம் இருக்கும். அதுக்காக எனக்கு அவர்களை வெறுமனே பிடிக்கும் என்று அர்த்தமாகி விடாது. அது போன்றுதான் அவர்களும். சும்மாவா அவர்களுக்கு என்னைப் பிடிக்கும்? நான் என்ன சினிமா நடினா? இருந்தாலும் நான் ஒரு தலைச் சிறந்த நடிகனே. அவர்கள் மட்டும் என்னவாம். எல்லோரும் நடித்துக் கொண்டுதான் உள்ளனர். சும்மாவா சொன்னார் ஷேக்ஸ்பியர்.   வாழ்க்கையில் நடிக்கும் நடிகனுக்கு,  சினிமாவில் ...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...