Skip to main content

SAMAYA II

 Cerpen

 


 

Oleh: M. Mahendran

                                     


 

 

“Wah! mama, kita berada di mana sekarang?”

Mama, apakah bangunan-bangunan ini? Kami tak pernah tengok pun sebelum ini.”

“Oh. Yang ini kuil, di atas bukit itu tokong, yang dikelilingi pohon-pohon hijau itu adalah vihara, bangunan tinggi itu gereja, yang di jauh sana itu masjid dan yang ini gurdwara. Tempat manusia zaman dahulu kala bersembahyang dan beribadat.”

“Haaa! Tak fahamlah, mama.”

“Dahulu manusia mempunyai agama, mempercayai Tuhan dan mereka beramal ibadat dan bersembahyang.”

“Sembahyang?” ternganga mulut mereka berenam.

“Pada kurun sekarang kita sedang mengamalkan cara lain. Kamu semua tahu apa itu Tuhan, bukan?”

“Kami semua tahu Tuhan ada dalam diri kita. Semua orang yang berbuat baik adalah Tuhan. Itu sahaja yang kami tahu, mama.”

“Pada kurun ke-20 ini, cara manusia menghadap Tuhan adalah sungguh berbeza. Mereka akan ke rumah ibadat dan bersembahyang. Di rumah pun mereka bersembahyang. Mereka berpegang kepada sesuatu agama dan fahaman. Mereka perlukan seseorang atau sesuatu yang suci untuk mengendalikan kehidupan mereka. Sebab pada kepercayaan mereka, Tuhan yang mengendalikan Dunia dan alam semesta ini,” aku memberitahu mereka menggunakan pengetahuan saya tentang kehidupan manusia pada kurun ke-20.

“Ok, kita akan melawat semua rumah ibadat mereka dan kita akan ketahui cara-cara manusia pada zaman dahulu-kala ini bersembahyang untuk mengenali Tuhan.” Saya mengajak mereka bersiap-sedia untuk melalui ke suatu alam yang saya dan kanak-kanak ini belum pernah alami.

Keenam-enam kanak-kanak itu berjalan-jalan mengelilingi masjid, kuil, tokong, gurdwara, vihara dan gereja.

Saya sengaja membawa mereka ke tahun 1985 menggunakan Samaya. Samaya yang boleh mengembara ke masa lampau dan boleh mengembara ke masa akan datang.

Saya tidak mahu kanak-kanak ini mengetahui masa hadapan seperti mereka pinta sebelum ke kurun ini. Mengetahui masa hadapan adalah suatu penyiksaan. Mereka tidak akan dapat hidup secara aman setelah mengetahui apa akan terjadi kepada diri mereka nanti.

Anak-anak saudara serta anak-anak jiran saya ini kelihatan teruja melihat setiap ukiran bangunan rumah-rumah ibadat tersebut. Begitu juga saya. Selama ini saya pun hanya mengetahui melalui pembacaan sahaja.

Kelihatan manusia berbilang kaum sedang menuju ke setiap rumah ibadat mereka. Kedengaran bunyi seperti seruan, mungkin itulah yang dikatakan sebagai azan, kedengaran bunyi loceng dan juga kedengaran suara-suara seperti orang bernyanyi pada irama yang berbeza. Mungkin itulah mantera atau bacaan-bacaan yang dipersembahkan di rumah ibadat mereka semasa bersembahyang. Boleh kedengaran dari jauh lagi.

Mama, boleh tak kami masuk ke dalam bangunan-bangunan ini?”

“Ya mama, kami nak lihat apa mereka sedang buat di dalam.”

Mama, nampak macam mereka pergi ke sekolah saja.”

“Nampaknya di sekolah ini  manusia daripada semua peringkat umur pun boleh belajar. Saya nampak  ramai thaataa dan paatti turut pergi belajar.”

Kanak-kanak ini semua nampak teruja sungguh untuk mengetahui lebih lanjut tentang rumah ibadat.

“Mereka bukan pergi belajar. Mereka pergi beribadat dan bersembahyang. Kamu boleh pergi dan lihat. Tetapi, jangan kamu berkelakuan pelik atau bercakap yang bukan-bukan. Saya sendiri akan membawa kamu semua ke sana. Jangan tonjolkan diri kamu sebagai datang dari tahun 3030. Nanti manusia-manusia di tahun 1985 ini akan ketahui rahsia kita. Saya ulangi, jangan dedahkan asal-usul diri kita.” Saya masih was-was pada apa yang akan dihadapi nanti.

“Baik, mama!” keenam-enam kanak-kanak menjawab serentak.

“Ikut saya. Ada tempat ibadat boleh kita masuk memakai kasut. Ada tempat ibadat kita perlu tanggalkan kasut, basuh kaki dan tangan kemudian baru boleh masuk ke dalam.”

“Wah! Undang-undang tempat belajar ini sungguh berlainanlah, mama.”

Dan yang paling penting, jangan menjerit dan buat bising. Tengok cara mereka beribadat secara diam-diam sahaja. Jika manusia pada tahun 1985 bertanya sesuatu, jawab sahaja kita datang untuk lawatan sambil belajar sahaja. Jika mereka minta apa-apa surat izin, kamu panggil sahaja saya.”

“Baik, mama!” mereka menjawab dengan serentak lagi. Saya bimbang mereka akan membuat bising atau usik berhala atau barang-barang  di dalam rumah ibadat. Jika manusia pada kurun ini tahu adanya alat seperti Samaya ini, sudah pasti mereka akan menangkap saya atau apa-apakan Samaya dan saya. Bahaya!

“Jika ada pertanyaan, simpan di dalam hati. Nanti selepas kembali ke tahun 3030, kamu semua boleh tanya di dalam bilik kajian saya.”

“Baik, mama!” nyaring suara mereka.

Nasib baik mereka tidak sedar Samaya boleh mengembara ke masa hadapan.

“Shhhh!” saya mendiamkan mereka dengan meletakkan jari telunjuk pada bibir saya. Dua daripada mereka meniru gaya saya. Saya tertawa di dalam hati.

Pertama, saya membawa mereka ke masjid. Kami membasuh kaki dan tangan. Kelihatan ramai penganut agama Islam sedang bersembahyang mengikut cara mereka. Kami melihat daripada jauh. Tidak mendekati mereka.

“Mereka sedang buat apa,mama?” anak saudara saya berbisik kepada saya.

“Bukankah saya dah khabar, mereka sedang sembahyang. Sembahyang Maghrib.”

“Sembahyang?”

“Jom, kita ke lain-lain rumah ibadat,” saya berbisik kepada mereka.

Kami ke setiap rumah ibadat yang masing-masing didirikan tidak jauh antara satu dengan lain.

Di gereja kelihatan banyak kerusi, lilin dan patung Jesus. Saya menerangkan sedikit sebanyak tentang agama Kristian kepada mereka, setakat mana yang saya pelajari.

Kelihatan patung Buddha yang besar di dalam vihara. Beberapa sami berkepala botak dan memakai kain oren sedang membaca mantera. Mungkin mereka  sedang memuja Buddha. Kelihatan beberapa penganut Buddha menyembah dan mengelilingi patung tersebut.

Di tokong Cina pula terdapat banyak berhala Dewa dan Dewi pelbagai rupa. Kanak-kanak yang mengelilingi dan riang apabila berdepan dengan Dewa Monyet (Sun Wukong). Mereka membuat bising. Bau colok dan asap menembusi hidung kami. Ada di antara kanak-kanak yang terbatuk-batuk.

“Mengapa di sini banyak asap, mama?”

“Mereka membakar colok. Dari situlah datangnya asap. Ini membantu mereka untuk bermeditasi dan sembahyang. Ia juga lambang membakar unsur negatif dalam diri manusia,” saya terangkan dengan suara perlahan.

“Oooh!”

“Shhh!”

“Dewa monyet ini cantik, mama. Mengapa mama tak bawa fon atau kamera?”

“Nanti manusia di tahun 1985 akan syak pada kita. Jangan banyak soal. Jom kita ke gurdwara.”

Di gurdwara juga kelihatan beberapa pengunjung ada yang masuk dan keluar. Seorang lelaki tua Sikh berserban dan berjambang putih, menyuruh kami menutup kepala dengan saputangan. Oleh kerana saya seorang sahaja ada bawa saputangan, kami tidak masuk ke dalam. Jadi, kami mengelilingi di luar bangunan sahaja. Nampak besar dan agam walaupun tidak ramai pengunjung. Ternampak gambar lukisan warna Guru Nanak yang sederhana di luar ruang legar.

“Mengapa orang kurang, mama?”

“Kebiasaannya mereka akan adakan upacara khas pada pagi Ahad. Hari ini adalah Jumaat. Jom kita pergi ke kuil.”

Di kuil pada masa itu sedang dijalankan pooja hari Jumaat. Kami membersihkan diri sebelum masuk. Kasut diletakkan bersama-sama kasut-kasut pengunjung lain di luar kawasan kuil.

“Di sini pun ada bau-bauanlah mama seperti di tokong Cina tadi. Tapi di sini lain pula bau wanginya.”

“Shhh!” Saya mendiamkan mereka lagi.

Oleh kerana kami tidak tahu cara-cara untuk bersembahyang, kami berdiri di situ sahaja sambil melihat gelagat para penganut Hindu sedang menyembah Dewi Maariamman.

 Kemudian kami duduk di suatu bahagian di kuil. Untuk pengunjung kuil dan kami, dihidangkan nasi manis dan kacang kuda dalam daun pisang. Agak sukar juga untuk duduk bersila. Ada antara kanak-kanak ‘pengikut’ saya hanya makan berdiri sahaja. Sungguh enak rasanya masakan di kuil. Kami tidak pernah merasai makanan ini di ‘era’ kami.

"Sangat sedap mama!"

"Shhh!"

Walaupun suasana setiap rumah ibadat berbeza dari luar dan di dalam, dengan cara sembahyang yang berlainan, saya pasti, setiap kaum dan agama rakyat Malaysia atau di dunia ketika itu mempercayai Tuhan dengan cara berbeza. Mungkin juga ada yang tidak. Tidak sama seperti manusia pada tahun 3030.

Oleh kerana mereka yang mengunjungi rumah ibadat khusyuk melibatkan diri dengan ritual, mereka tidak ada masa untuk mempedulikan kedatangan kami. Walaupun ada di antara mereka yang meninjau kami tetapi tidak ada yang menegur hingga tanya siapa kami atau kami datang dari mana. Nasib kami baik.

Setelah puas berjalan-jalan mengelilingi rumah-rumah ibadat, kami berkumpul di suatu kawasan yang terpencil yang penuh dengan pokok-pokok dan semak samun. Masa pun dah 10 malam.

“Sekarang kita akan kembali ke tahun 3030. Buat bulatan seperti mula-mula kita datang tadi.”

“Apalah mama ini. Kita datang dari jauh tapi untuk tengok rumah ibadat sahaja? Banyak lagi tempat yang kami mahu lihatlah, mama.”

Yalah, mama. Dahlah kami tak faham apa yang mereka buat di setiap rumah ibadat. Mereka macam pergi ke sekolah, tapi tak belajar apa-apa. Kami cuma nampak mereka duduk dan bangun,tangan mereka membuat sesuatu. Ada yang mengelilingi kuil dan mulut mereka kumat-kamit. Sungguh pelik!”

“Nanti balik, saya akan ceritakan. Sekarang diam, dan bentukkan bulatan.”

“Kami nak pergi tengok lain tempatlah, mama.

“Ya, mama. Kami nak tengok bagaimana rupa tempat rumah kami sekarang pada tahun 1985 ini.”

“Saya akan bawa kamu pada suatu waktu nanti. Sekarang bentukkan bulatan!” Saya perlu bertegas. Saya juga bimbang nanti tidak dapat kembali ke tahun 3030. Nanti terpaksa tinggal terus di zaman dahulu-kala ini bersama manusia berfikiran kuno.

 Keenam-keenam kanak-kanak membentuk bulatan. Saya berdiri di tengah. Saya menekan-nekan Samaya yang dipasang pada lengan kiri dan berbisik kepada Samaya.

Dalam beberapa saat sahaja kami bertujuh sudah berada di dalam bilik kajian saya. Saya dan keenam-enam kanak-kanak terasa sungguh letih. Walaupun letih, kami sungguh gembira.

“Macam mimpi, mama!”  Masing-masing bercakap-cakap dan melompat-lompat.

“Betulkan bulatan semula. Harap kamu semua sudah berpuas hati dengan kunjungan kita ke rumah-rumah ibadat pada kurun ke-20. Ada apa-apa soalan?”

“Mengapa agama dan rumah ibadat manusia zaman dahulu langsung hilang dari muka bumi ini?” satu soalan bernas dari anak saudara lelaki yang berumur 12 tahun.

“Itu adalah berpunca daripada manusia sendiri di seluruh dunia. Sejak kurun ke-23 mereka telah membuat misi-misi besar-besaran menghapuskan segala-galanya dan juga bermacam-macam malapetaka menimpa muka bumi ini sehingga kehilangan semua. Cuma bahasa  dan tulisan setiap kaum ditinggalkan untuk kita.”

 “Ooooh!”

“Kamu semua suka kurun ke-20 atau kurun ke-31?”

Keenam-enam mereka tidak menjawab.

 

Tamat

 

                       


 

 

 

 

 

  

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

நான் எனும் பெரும் நடிகன்

    சிறுகதை    எம். பிரபு   எல்லோருக்கும் என்னைப் பிடிக்கும். எனக்கும் அவர்களைப் பிடிக்காமல் இருக்குமா பின்னே. நான் வாழ்வதே அவர்களுக்காகத்தான். அவர்கள் இல்லாமல் நான் இல்லை. நான் இல்லாமல் அவர்கள் இல்லை. வாழ்க்கையை இப்படித்தான் அனுபவிக்கனும் என்று எழுதி வைத்திருந்தால் நான் என்ன செய்வது? எது நடக்க வேண்டுமோ அது நடந்துதானே ஆக வேண்டும். எனக்கு எப்போதுமே அந்த கர்வம் உண்டு. நான் மிகவும் நல்லவன். யாரும் என்னை கெட்டவன் என்று சொன்னதில்லை. சொல்லி இருக்கலாம். அதெல்லாம் பெரிய விசயமே அல்ல.   அறவே இல்லை?   தெரியாது.   அவர்களை எனக்குப் பிடிக்க காரணம் உண்டு. அவர்களுக்கும் என்னைப் பிடிக்க நிச்சயம் காரணம் இருக்கும். அதுக்காக எனக்கு அவர்களை வெறுமனே பிடிக்கும் என்று அர்த்தமாகி விடாது. அது போன்றுதான் அவர்களும். சும்மாவா அவர்களுக்கு என்னைப் பிடிக்கும்? நான் என்ன சினிமா நடினா? இருந்தாலும் நான் ஒரு தலைச் சிறந்த நடிகனே. அவர்கள் மட்டும் என்னவாம். எல்லோரும் நடித்துக் கொண்டுதான் உள்ளனர். சும்மாவா சொன்னார் ஷேக்ஸ்பியர்.   வாழ்க்கையில் நடிக்கும் நடிகனுக்கு,  சினிமாவில் ...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...