Skip to main content

SEBUAH NEGERI YANG TIDAK BERAPA BESAR DAN TIDAK BERAPA KECIL

 Cerpen

 




 

Oleh: M. Mahendran

 

 

 

Alkisah tersebutlah sebuah negeri yang tidak berapa besar dan tidak berapa kecil di muka bumi ini mempunyai nama yang agak pelik hingga sukar diucap oleh orang kebanyakan. Walaupun negeri itu tidak berapa besar dan tidak berapa kecil tetapi nama negeri itu sungguh panjang dan menyukarkan rakyat jelata untuk mengucapnya.

Bagaimana rakyat jelata akan mengucap nama sebuah negeri yang sungguh panjang, walhal negeri itu sendiri tidak berapa besar dan tidak berapa kecil?

Wahana Cahaya Purnama Sejahtera

Beginilah nama negeri itu digelar berkurun lamanya.

Ke mana-mana sahaja rakyat jelata negeri itu pergi, mereka haruslah lafaz nama negeri asal mereka sebagai Wahana Cahaya Purnama Sejahtera. Walau orang di negeri sendiri bertanya, juga harus dijawab begitu.

Cubalah bayangkan bagaimana rakyat jelata negeri itu akan mengucap nama yang begitu panjang apabila ditanya oleh rakyat jelata dari negeri-negeri lain. Memang sungguh sukar bukan?

Nama Wahana Cahaya Purnama Sejahterasudah pun digunapakai sejak beratus-ratus tahun dahulu. Sudah menjadi kebiasaan dilafaz begitu panjang hingga lidah rakyat jelata negeri ‘Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’ terseliuhlah gamaknya.

Sudah menjadi lumrah bagi rakyat jelata yang lahir, mandi, makan, kencing, berak, kahwin dan beranak di negeri Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’ sejak beratus-ratus tahun dahulu melafaz nama negeri mereka begitu. Ini adalah kerana walau sesiapa pun tidak dibenarkan untuk menyingkat atau menukarkan nama negeri mereka.

Jika ada di antara rakyat jelata cuba menukar nama negeri Wahana Cahaya Purnama Sejahtera kepada Wahana sahaja, mereka akan dihukum dalam kurungan selama seratus hari. Jika ada yang cuba menukar Wahana Cahaya Purnama Sejahtera kepada Cahaya sahaja, mereka akan dihukum mecuci istana selama dua ratus hari. Jika ada yang cuba menyingkatkan Wahana Cahaya Purnama Sejahtera kepada Purnama sahaja, mereka juga akan dihukum mencuci pakaian di istana selama tiga ratus hari. Begitulah juga jika ada di antara rakyat jelata menyingkat dan menukarkan Wahana Cahaya Purnama Sejahtera kepada Sejahtera sahaja, mereka juga akan dihukum mencuci kuda-kuda milik pemerintah selama empat ratus hari.

Kesemua hamba sahaya yang ditangkap hanya akan diberi makan sekali sahaja dalam masa satu hari.  

Memang mereka akan dihukum. Tidak ada kemaafan atau belas kasihan.

Arakian, sesiapa yang enggan menurut segala peraturan dan tata susila negeri yang ditetapkan oleh pemerintah, mereka akan dihukum. Hulubalang-hulubalang pemerintah sentiasa akan berkeliaran menyamar sebagai orang kebanyakan agar tidak dikenali oleh rakyat jelata. Jadi, orang kebanyakan, hamba sahaya dengan mudahlah menjadi mangsa dengan adanya peraturan negeri seperti ini.

Ramai jugalah hamba sahaya yang telah ditangkap oleh hulubalang-hulubalang negeri Wahana Cahaya Purnama Sejahtera di negeri-negeri lain apabila mereka cuba menukarkan nama negeri kelahiran mereka kepada Wahana, Cahaya, Purnama atau Sejahtera atau melafaz nama-nama kesukaan mereka.

  Hukuman melafaz nama lain, jauh lebih dahsyat daripada hukuman menyebut  Wahana, Cahaya, Purnama dan Sejahtera sahaja. Kesemua gigi mereka akan dicabut atau pun dipatahkan!

 Hulubalang-hulubalang akan menjalankan hukuman setelah pesalah dikurung bebebrapa hari dalam kurungan. Hukuman akan dilaksanakan tanpa budi dan bicara. Pemerintah sudah beri garis panduan kepada hulubalang.

Hukuman bukan sahaja diberikan kepada penduduk negeri ‘Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’ sahaja, malah mereka dari negeri lain akan turut menerima hukuman sama jika ingkar kepada peraturan negeri.

Oleh itu, rakyat jelata dari negeri-negeri lain akan berfikir berpuluh kali sebelum mahu berangkat ke negeri ‘Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’. Mereka tidak akan saja-saja menjejakkan kaki ke negeri terpanjang nama ini kecuali ada urusan penting. Sebab itu jugalah tidak ada orang dari negeri lain  mengahwini orang di negeri terpanjang nama ini.

Di negeri ‘Wahana Cahaya Puranama Sejahtera’ tinggal seorang pemuda yang terlalu elok rupanya, namanya ialah Wiraputra. Sebagaimana nama, begitulah juga tingkah lakunya.

Wiraputra tidak gentar untuk menghadapi pembesar, hulubalang ataupun pemerintah. Kebenaran dan keadilan  tetap perlu ditegakkan. Pemerintah tidak boleh melaksanakan peraturan negeri sewenang-wenangnya ke atas orang kebanyakan dan hamba sahaya

Wiraputra hanya percayakan Tuhan sahaja sebagai kuasa atasan. Tiada sesiapa pun yang lebih berkuasa daripada Dia.

Maka, suatu hari yang baik pada waktu subuh, Wiraputra bersama empat orang sahabat karibnya telah pergi ke istana pemerintah untuk mengemukakan bantahan ke atas rang peraturan negeri yang telah digubal tanpa persetujuan rakyat jelata negeri ‘Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’ sejak zaman dahulu kala lagi.

Ketika kelima-lima sahabat itu tiba di pondok pengawal istana, mereka tidak dibenarkan masuk untuk menghadap pemerintah. Pengawal istana mengacu tombak ke arah mereka.

Pemerintah yang melihat kejadian itu jauh dari kamar tidurnya, lalu mengizinkan mereka lima sahabat masuk ke dalam untuk menghadapnya.

Walaupun mereka berlima cuma orang kebanyakan tetapi pemerintah merasakan ada sesuatu ada pada kelima-lima hamba sahaya itu. Terutamanya yang berkumis nipis berpakaian biru gelap.

Wiraputra pun menerangkan tujuan kedatangan mereka kepada salah seorang pembesar di istana. Berita itu disampaikan kepada pemerintah.

Alat-alat tajam yang mereka bawa diserahkan di pondok pengawal sebelum diberi kebenaran untuk menghadap pemerintah.

Kelima-lima sahabat disambut dan dijemput masuk ke dalam istana oleh dayang-dayang yang sungguh jelita dan rupawan. Wiraputra dan para sahabat sungguh gembira dan kagum atas dayang-dayang istana melayan mereka dengan penuh sopan dan santun. Terdapat kuih-muih serta kopi di atas tikar mengkuang. Masing-masing mengambil tempat dengan duduk bersila.  

Dalam selang waktu yang singkat tibalah pemerintah berusia lebih 120 tahun itu diiringi oleh dua orang dayang istana cantik jelita sehingga pemerintah bersemayam di singgahsananya. Keempat-empat sahabat bangkit lalu menyembah pemerintah, kecuali Wiraputra.

“Duduk kalian semua. Silalah menjamah santapan dan minuman.”

“Kami datang untuk menyelesaikan masalah negeri, tuanku. Jika dapat diselesaikan dengan cara baik dan segera, barulah kami akan membasahkan tekak kami, tuanku,” jawab Wiraputra dengan sopan dan tegas.  

“Baiklah, sila terangkan mengapa hamba semua menghadapi kesukaran untuk menyebut nama penuh negeri kita ‘Wahana … Cahaya … Puranama…  Sejahtera’ ini. Err … sebenarnya bukan susahpun,” titah pemerintah dengan nada sederhana.

Salah seorang daripada sahabat Wiraputra tertawa perlahan melihat pemerintah tergagap-gapap menyebut nama negeri pemerintahannya. Nasibnya baik, pemerintah tidak perasan.

“Memang susah tuanku. Saya sendiri melihat tuanku susah mahu lafaz setiap satu perkataan hingga habis,” kata Wiraputra sambil tersenyum.

“Beta sudah tua, memang begitu. Jadi, apa yang beta perlu buat sekarang?”

Sekalian mereka tidak menyangka pemerintah akan bertanya begitu. Mereka  gembira. Tetapi mereka tidak menunjukkan kegembiraan mereka. Biarlah segala-galanya selesai dengan baik terlebih dahulu, selepas itu mereka berlima boleh buat apa sahaja yang disukai.

“Yang pertama, negeri ini perlukan nama baharu yang pendek, ringkas dan mudah disebut.”

“Oh, beta ingatkan satu sahaja permintaan daripada wakil orang kebanyakan negeri beta.”

 “Ya, ada lima usul, tuanku.”

“Oh, lima?”

“Ya, tuanku.”

“Oh, sebab itulah kalian hamba lima bersahabat datang menghadap beta, ya?” pemerintah cuba bertitah dengan lantang tetapi tidak terdaya.

“Ya, tuanku,” balas Wiraputra walaupun dia tidak suka orang kebanyakan digelar sebagai hamba.

“Baiklah. Apa pula permintaan sahabat kedua?”

“Permintaan hamba, jika nama negeri ini masih tidak diubah kepada nama pendek, janganlah pula tuanku menghukum rakyat jelata yang tidak dapat menyebut nama negeri secara penuh.”

“Baiklah. Apakah permintaan sahabat yang ketiga itu?” soal pemerintah sambil membetulkan kerisnya.

“Tuanku perlu langsungkan peraduan menulis nama negeri terpendek. Nama yang terbaik bolehlah diberi ganjaran yang bagus.”

“Baiklah. Apakah permintaan hamba yang keempat pula?”

Wiraputra agak keliru dengan jawaban yang diberikan oleh pemerintah. Setiap kali pun pemerintah akan sebut baiklah. Adakah maksud ‘baiklah’ itu tanda setuju atau tidak mempunyai maksud?

“Tuanku, jika nama negeri masih tidak dibenarkan untuk ditukar, janganlah kami yang dalam negeri dihukum. Biarlah hukum mereka yang berangkat dari lain negeri sahaja.”

“Baiklah. Dan yang ke lima itu mengapa asyik pandang ke luar sana sahaja?”

Wiraputra pun agak geram melihat sahabatnya yang ke lima itu. Dari tadi matanya tidak menumpu pada perbualan yang sungguh penting itu. Asyik melihat di luar tingkap sahaja.

“Tuanku, hamba tidak akan bertanya seperti mereka. Biarlah nama negeri ini kekal  sebagai ‘Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’ sahaja. Biarlah hukuman-hukuman masih dikekalkan seperti sedia ada sahaja.”

Wiraputra menjadi sungguh marah. Mahu sahaja dia menerkam sahabatnya dan mencekik-cekik lehernya di situ juga.  Oleh kerana itu adalah istana pemerintah, dia tidak boleh melakukan apa-apa sesuka hati. Ketiga-tiga sahabat lain turut terkejut.

“Jadi, apakah permintaan sahabat kamu nombor lima ini, boleh beta tahu?”

Sambil menggaru-garu kepalanya, sahabat ke lima yang berbadan gempal itu pun membalas, “Tuanku, bolehkah hamba memilih salah seorang daripada dayang istana yang cantik menjadikan suri rumah?”

Terbeliaklah biji mata pemerintah, kesemua empat sahabat  dan semua di dalam istana.

Permerintah menjadi sungguh murka lalu menitahkan hulubalang istana manangkap kelima-lima mereka untuk dikurungkan dalam bilik kurungan.

Wiraputra dan keempat-empat sahabatnya dipaksa membuat semua pekerjaan di istana di bawah pengawasan hulubalang serta dikurungkan selama tiga ratus hari dalam kurungan dan diberikan sekali makan sahaja untuk sehari.

Hatta kemudian, kekallah nama ‘Wahana Cahaya Purnama Sejahtera’ untuk negeri yang tidak berapa besar dan tidak berapa kecil itu  untuk selama-lamanya.

 

 

Tamat

 




 

 

 

 

 

 

 

 

  

 

 

  

   

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Daris, Pelukis Cilik

  Bakat                                                               Oleh: M. Mahendran   Bukan semua orang dianugerahkan bakat melukis. Kajian menunjukkan dalam 100 orang cuma 10 hingga 20 orang sahaja menunjukkan minat atau memiliki bakat semula jadi dalam melukis tanpa latihan formal. Kira-kira 1 hingga 5 orang daripada 100 akan mempunyai kemahiran tinggi atau bakat melukis dengan tahap profesional jika mereka berlatih dengan serius. Adik Muhamad Daris Aryan Bin Saiful Bahri merupakan pelajar tahun 4 di SK Sulaiman, Bentong, Pahang.  Minat  Daris  terhadap seni lukisan berputik sejak umur 6 tahun. Saya   berjiran dengan keluarga adik Daris, mengenalinya sejak bayi lagi. Lukisan-lukisannya sering dipaparkan di Facebook oleh ibu nya Puan Diana dan  bapanya  Encik Saiful Bahri . Saya terpegun m...

தமிழ்ப் பள்ளிக்குச் செல்லாதவர்களின் தமிழ்

  கட்டுரை     எம். பிரபு     மலேசியா சுதந்திரம் அடைவதற்கு முன்பாகவே ஆரம்பக் கல்விக்கூடங்கள் ,   பல மொழிப் பிரிவுகளில் நாடு தழுவிய நிலையில் தொடங்கப்பட்டிருந்தன. ஆங்கிலம் ,   மலாய் ,   தமிழ் ,   சீனப்பள்ளிகள் அந்தந்த இடங்களில்   இனவாரியாக   மக்கட்தொகையை   அடிப்படையாகக் கொண்டுத் தொடங்கப்பட்டதாகும். எப்போது எங்கு என்று ஆராய்ந்து இதைப் பற்றி எழுதினால்,   கட்டுரை நீண்டுக் கொண்டே போகும். இந்தக் கட்டுரையின் தலைப்புக்கேற்பவே எழுத முயற்சிக்கின்றேன். எது எப்படியோ இந்தியர்கள் அந்தக்காலத்திலியே தமிழ்ப் பள்ளி,   ஆங்கிலப் பள்ளி   பிறகு மலாய்ப்பள்ளி (தேசியப் பள்ளி)     அதனைத் தொடர்ந்து அண்மையக் காலமாக சீனப் பள்ளிகளிலும் அதிக எண்ணிக்கையில் பயின்று வருகின்றனர். தமிழ்,   ஆங்கிலம் மற்றும் மலாய் மொழிகளைக்   காட்டிலும் மெண்டரின் மொழிப் பயின்றவர்களின் எதிர்காலம் சிறப்பாக இருக்கும் என்ற எண்ணத்தில் ,   இந்தியர்கள்  சீனப் பள்ளிகளில் தங்கள் பிள்ளைகளை பதிந்து வருகின்றனர். அதற்கு இன்னொரு முக்கியக் காரணம் , ...

குருவே சரணம்

            சிறுகதை                                                               எம். பிரபு       தமிழ்ச்செல்விக்கு பிடிக்கவில்லை, எனக்கும் பிடிக்கவில்லை. பல மாதங்களாக போராடி வந்த நான், தோற்று விட்டேன். தோற்றுப் போனது அவர்கள் முன்னால் நானாக இருக்கலாம், ஆனால் என் உள்ளம் தோற்கவில்லை. என் உள்ளம் இன்னமும் போராடிக் கொண்டுதான் உள்ளது. அதற்கான சரியான தருணம் இதுவரையில் அமையவில்லை. இனியும் அமையுமா என்று எனக்கும் தெரியவில்லை. அமைந்தால் நல்லதே. “ நீங்க போங்க , நான் வரல, ” நேற்றிலிருந்து நான் இதைத்தான் சொல்லிக் கொண்டிருக்கின்றேன். “ நான் மட்டும் எப்படி போவது ?   எல்லாரும் உன்னை விசாரிப்பாங்களே ? ”   அவர் நல்ல உடை உடுத்திக் கிளம்ப ஆயுத்தமாகிக் கொண்டிருந்தார். “ உங்களுக்கு பிடிக்கும்னா போயிட்டு வாங்க ,   ஏன் என்னை கூப்பிடுறீங்க ? ”   நான் குசினியில் கூட்டிக்கொண்டே கூறினேன். “ நம்மல க...