Cerpen
M. Mahendran
“Kamu jangan kurang ajar dengan saya. Kamu kena faham di mana kamu berada sekarang!” kata Mr. Miles dengan nada marah. Wajahnya menjadi merah padam.
“Sir, saya tidak suka awak!” kata-kata itu sekali lagi terpacul keluar dari mulut Mail.
“Mengapa kamu bersikap begini, Mail? Umur kamu sudah mencecah 15 tahun. Tahun ini kamu akan menduduki peperiksaan L.C.E. Kamu mahu jadi samseng di sekolah Methodist ini?”
Mr. Miles menghadap Mail yang sedang berdiri di hadapannya dengan perasaan meluap-luap bagai gunung berapi. Rotan masih di genggamannya. Baru sebentar tadi rotan itu dihayunkan sebanyak tiga kali ke punggung Mail. Mail langsung tidak menunjukkan kesakitan. Dia cuma menepis-nepis seperti membuang kotoran pada seluar pendek putih yang menutupi punggung pejalnya.
Mr. Miles tahu Mail sengaja menyembunyikan kesakitan pada punggungnya. Ini sudah tahun ke lapan dia menyandang tugas pengetua setelah menjadi guru biasa selama tiga tahun di Sekolah Menengah Methodist ini. Dia sungguh arif dengan cara-cara merotan pelajar dan memahami tahap kesakitan mereka.
Kata-kata Mail tadi sungguh menikam hatinya. Tidak ada seorang pun pelajar di sekolah ini berkelakuan seperti Mail. Tutur kata Mail menjangkaui usia.
Walaupun pelajar-pelajar lain juga melakukan kesilapan, tetapi itu tidak sampai melawan secara agresif terhadap seorang guru. Mail ini lain.
Sudah lama Mr. Miles memerhatikan gelagat Mail. Dua tahun lalu semasa menjejakkan kaki di tingkatan satu, dia tidak berperangai seperti ini. Entah apa yang mempengaruhinya, setiap kata yang dikeluarkan oleh Mail sungguh berbisa. Dan Mr. Miles sendiri kurang pasti adakah kata-kata yang dikeluarkan itu datang dari fikiran Mail sendiri atau mewakili mana-mana pihak.
Mail pula tidak puas hati dengan tindakan Mr. Miles merotan punggungnya. Untuk perkara sekecil itu pun dia dirotan. Ini adalah kali ketiga dia dirotan oleh Mr. Miles. Mengapa dia seorang sahaja menjadi sasaran? Sudahlah di rumah, ibunya sentiasa mengejarnya dengan rotan. Datang ke sekolah, begini pula keadaannya. Mail amat membenci akan alam persekolahan ini. Mahu sahaja dia tinggalkan sekolah serta rumah merantau jauh dari pekan kecil ini.
Mr. Miles berjalan ke arah papan suis dan menutup lampu bilik pejabatnya dan memetik suis kipas. Diputarkan ke nombor dua. Jam pada dinding menunjukkan 10.30 pagi. Matahari mula memanaskan bangunan kayu sekolah itu.
Ketegangan meliputi di segala pelusuk benak Mr. Miles dan Mail.
Mr. Miles bertekad untuk menukar tingkah laku Mail. Jika tidak, ia akan merbahayakan pelajar lain malah akan menggelapkan masa depan Mail sendiri. Mr. Miles juga perlu menjaga reputasi sekolahnya.
Pagi tadi Mail datang lambat ke sekolah. Pelajar-pelajar dan guru-guru sedang berhimpun dan menyanyikan lagu Negaraku. Pada masa itulah Mail datang terkedek-kedek.
Walaupun Mr. Miles bukan anak kelahiran Malaya, dia tetap menghormati dengan menyanyikan lagu kebangsaan. Dia sungguh bengang melihat Mail datang seperti tidak ada apa-apa sedang berlangsung di padang tempat perhimpunan.
Sudahlah lambat datang ke tapak perhimpunan. Semasa lagu kebangsaan dinyanyikan, Mail langsung tidak membuka mulut. Tangannya pula asyik menarik-narik tocang rakan sekelasnya, Letchumi yang berdiri di hadapannya hingga membuatkan pelajar itu menjerit. Nasib baik pelajar itu menjerit setelah lagu Negaraku sudah tamat dinyanyikan.
Mr. Miles meluru ke tempat Mail berdiri dan menamparnya.
“Biadab!”
Hinggapan tangan kasar Mr. Miles pada pipi Mail membuatkannya tersentap.
“Nanti waktu rehat datang ke pejabat saya!”
Mail sudah tahu mengapa dia dijemput ke pejabat Mr. Miles. Pada mulanya dia enggan, kemudian dia menurut juga kerana terpaksa.
Sebelum rotan hinggap pada punggung, Mail telah menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap Mr. Miles dalam bahasa Inggeris.
“Mr. Miles, awak bukan orang sini. Baru beberapa tahun di sini, sudah mahu tunjuk kuasa! Ini tidak adil. Negara kami sudah pun merdeka. Awak patut balik ke negara asal, Mr. Miles! Saya tidak suka awak Mr. Miles! Saya sungguh benci terhadap awak!”
Mr. Miles yang bercadang untuk merotan sekali sahaja tadi, sudah merotan tiga kali setelah mendengar kata-kata celupar Mail.
Mail tahu, pasti punggungnya sudah bengkak, merah dan bergaris-garis. Dia tidak boleh menceritakan apa yang berlaku kepada ibunya. Nanti akan dirotan lagilah gamaknya. Rotan kegunaan ibunya jauh lebih nipis jika dibandingkan dengan apa yang digunakan oleh Mr. Miles. Masing-masing memberi kesakitan dan kesan yang yang berbeza. Cuma, mangsa sepertinya yang memahami akan keperitan dirotan dan tahu tentang perbezaan antara setiap rotan dan kesan pada setiap pukulan yang terkena pada badan.
Mr. Miles sedar dia adalah pengetua sebuah sekolah. Dia harus bersabar mengendalikan pelajar-pelajar seperti ini. Walaupun merotan adalah salah satu cara untuk membimbing pelajar untuk tidak mengulang kesilapan, ia tidak akan berfungsi jika pelajar itu sendiri tidak sedar dan berubah.
Mr. Miles berjalan kembali ke mejanya dan terus duduk di kerusi kayu yang sudah mula bergoyang. Kedua belah tangannya diletakkan atas meja. Jari-jemarinya dikatupkan lalu menongkat dagu. Perasaan tegang yang menyelebungi dirinya tadi menurun berdikit-dikit.
Matanya tajam memerhatikan Mail yang sedang memandang putaran kipas. Tangannya bersilang di belakang. Kaki kanannya keilhatan digoyang-goyangkan sedikit.
Memang Mail ini anak celaka, fikir Mr. Miles. Dia perlu ‘diajar’.
“Mail. Sila duduk,” kata Mr. Miles dengan lembut.
Mr. Miles sendiri tidak faham bagaimana perasaannya dapat dikawal.
Mail pula hairan dengan perubahan secara mendadak pada riak wajah dan tona percakapan Mr. Miles. Mail berasa cuak. Mesti ada udang di sebalik batu. Dia bukan budak hingusan untuk mempercayai tipu helah Mat Salleh. Sepandai-pandai orang putih akhirnya kalah juga dengan Tunku, Tan Cheng Lock dan Sambanthan.
Pada mulanya mail enggan duduk. Apabila Mr. Miles pinta kali kedua, baru dia duduk. Mail rasa agak kekok duduk bersemuka dengan Mr. Miles. Kebiasannya dia berdiri sahaja.
“Ismail bin Kasman.”
Terkejut Mail mendengar Mr. Miles menyebut nama penuhnya. Dia pura-pura buat tidak tahu.
“Ismail bin Kasman. Saya perhatikan kamu, kamu berkebolehan dalam beberapa mata pelajaran. Cuma, kamu perlu menggilap lagi,” kata Mr. Miles sambil melontarkan senyuman. Kedua belah tangannya masih menongkat dagu. Mr. Miles sedar senyumannya itu palsu.
Mail berasa pelik, mengapa Mat Salleh ini bercakap perkara lain yang langsung tidak ada kena mengena dengan kejadian pagi tadi. Begitu cepatkah dia sudah melupakannya?
“Kamu perlu mendisiplinkan diri kamu untuk maju. Dengan kemajuan dalam pendidikanlah kamu boleh mengangkat keluarga kamu ke tahap yang lain, Mail. Kamu mengerti apa yang saya sedang cakapkan ini?” kata Mr. Miles sambil bersandar pada kerusi secara berhati-hati.
“Mr. Miles, saya memang akan begini. Saya tak suka orang British,” kata Mail dengan nada benci. Matanya melilau memandang ke sana dan sini di dalam bilik itu, seperti tidak endahkan kata-kata Mr. Miles.
“Saya bukan British. Saya orang Amerika dan bercita-cita untuk menjadi warganegara Malaya dalam masa terdekat ini.”
“British atau Amerika, semua orang putih juga. Saya tidak percayakan orang putih.”
Walaupun Mr. Miles marah dengan kenyataan Mail, dia tetap bertekad untuk memulihkan fikiran yang sedang menghantui Mail. Mr. Miles tidak menjawab.
“Awak boleh masuk kelas sekarang.”
Mail puas hati dengan arahan itu. Dia dapat merasakan Mr. Miles sudah takut dengannya. Dia bersiul-siul menuju ke kelas.
Mr. Miles tersenyum. Dia tahu ada cara untuk mengendalikan Mail.
Tamat


Comments
Post a Comment