Esei
Oleh: M. Mahendran
Sewaktu saya dan saudara Uthaya Sankar SB membuat Permukiman Penulis di Bentong baru-baru ini pada 16 dan 17 Ogos 2025, kami bercadang untuk melihat kampung dan rumah kediaman Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Keris Mas.
Walaupun saya sudah beratus kali berlalu-lalang di kawasan ini, apabila berkunjung bersama seorang rakan penulis, perasaannya sungguh berbeza. Sambil melawat, kami berbual-bual tentang karya-karya sastera yang dihasilkan oleh SN Keris Mas.
Mungkin ramai yang tidak mengenali karyawan yang dinobatkan anugerah Sasterawan Negara untuk julung-julung kalinya di Malaysia ini. Keris Mas, nama sebenarnya Kamaluddin Muhammad dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang.
Malah, orang Bentong sendiri sudah melupai atau tidak sedar dengan kehadiran seorang Sasterawan Negara di tempat kelahiran mereka. Cuma, mereka yang meminati kesusasteraan Melayu, seangkatan dengan beliau dan cucu-cicit Keris Mas sahaja mungkin memperingati seorang tokoh yang berwibawa itu hingga kini. Pelajar sekolah sudah pasti mengetahui perihal beliau secara sekali imbas dalam mata pelajaran Sejarah. Tidak lebih daripada itu. Lagipun, karya-karya beliau tidak digunapakai sebagai teks sastera di sekolah.
Saya yang meminanti tulisan penulis veteran pun hanya mengenali dan membaca karya Keris Mas pada usia 18 tahun, iaitu pada tahun 1986. Karya beliau yang mula-mula saya gauli adalah novel Rimba Harapan.
Saya adalah anak kelahiran Bentong, maka amat tertariklah dengan cara beliau menulis secara terperinci setiap lorong, kampung dan bandar di daerah Bentong. Karya-karya Keris Mas berfungsi sebagai Time Machine bagi saya. Saya boleh berdiri di tengah-tengah di kampung Ketari dan bandar Bentong di tahun 1930 hingga 1940 - an ketika membaca novel Rimba Harapan.
Walaupun SN Keris Mas tidak sepopular SN A. Samad Said atau SN Usman Awang, beliau tetap telah banyak menghasilkan cerpen, novel, esei, kritikan sastera serta rencana-rencana yang membicarakan soal masyarakat, bangsa dan perjuangan kermerdekaan. Beliau dikenali sebagai pelopor cerpen moden dan pejuang bahasa serta sastera.
Novel
Pahlawan Rimba - 1946
Putera Gunung Tahan - 1958
Saudagar Besar dari Kuala Lumpur - 1983
Rimba Harapan - 1983
Anak Titiwangsa - 1986
Kumpulan Cerpen
Dua Zaman - 1956
Pertentangan - 1968
Patah Tumbuh- 1973
Kempulan Cerpen Pilihan Keris Mas - 1987
Darah dan Air Mata - 2005
Kebanyakan karya beliau diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dan saya masih belum berkesempatan membaca keseluruhan karya-karyanya.
Saya mengetahui Allahyarham Kamaluddin Muhammad memilih nama pena Keris Mas untuk menonjolkan diri dengan simbol perjuangannya. Keris ialah senjata tradisioanal orang Melayu, bukan sekadar alat mempertahankan diri pada suatu ketika dahulu tetapi ia juga dikatakan lambang keberanian, kuasa dan maruah bangsa.
Dengan memilih nama Keris, beliau mahu menggambarkan bahawa karya-karyanya akan menjadi “senjata” untuk membela masyarakat tertindas.
Manakala perkataan Mas pula bermaksud emas, sesuatu yeng berharga dan bernilai tinggi.
Ini melambangkan bahawa beliau berjuang dengan menulis dan ia adalah amat berharga untuk bangsa dan negara.
Apabila saya menyelidik tentang latar belakang beliau pula, didapati selepas tamat sekolah Melayu, beliau pernah bekerja sebagai guru sekolah Melayu di Pahang. Di sinilah beliau mula dekat dengan masyarakat bawahan dan menyedari masalah sosial.
Beliau tidak lama bekerja sebagai guru. Semasa pentadbiran British, beliau pernah bekerja sebagai kerani di beberapa jabatan kerajaan. Pekerjaan ini juga tidak lama kerana beliau lebih meminati bidang penulisan dan perjuangan.
Kemudian, beliau bertugas sebagai wartawan sejak 1946 di akhbar-akhbar seperti Utusan Zaman, Melayu Raya, Warta Negara dan sebagai Ketua Pengarang di akhbar Utusan Melayu hingga 1956 di Singapura. Keris Mas juga menulis rencana, cerpen serta esei ketika itu. Beliau juga merupakan salah seorang pelopor dalam usaha menerbitkan majalah Mastika melalui Utusan Melayu Press Ltd.
Keris Mas juga dikatakan aktif dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada hujung tahun 1940-an.
Mulai 1956, beliau menyertai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di situ beliau mengarang, menyunting, mengurus penerbitan buku dan majalah. Ini adalah kerjayanya yang paling lama dan sungguh berpengaruh dalam kehidupannya hingga bersara pada tahun 1977.
Setelah bersara, Keris Mas menumpukan sepenuh masa kepada kegiatan penulisan, ceramah dan melibatkan diri dalam dunia kesuasteraan.
Ketika saya di tingkatan 1 pada tahun 1981 dan masih tidak mengetahui akan kewujudan Keris Mas, beliau sudah diangkat sebagai Sasterawan Negara pertama Malaysia.
SN Keris Mas menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1992 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada umur 70 tahun.
Saya sedih pada saat membaca berita pemergiannya di akhbar kerana tidak berpeluang bertemu dengan beliau untuk berbual-bual mengenai kisah-kisah lampau daerah Bentong dan pengalaman beliau dalam bidang penulisan.
Sebagai seorang Sasterawan Negara dan aktivis sejak zaman sebelum merdeka, Keris Mas tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Banyak perkara harus dilaksanakan demi memperingati jasa-jasa beliau di dalam bidang kesusasteraan Melayu.
Karya-karya beliau perlu dijadikan wajib baca sejak sekolah rendah dan dalam mata pelajaran Komsas. Ini adalah cara untuk mendekatkan anak-anak kita mengenali SN sejak awal lagi.
Setiap sekolah di daerah Bentong dan di negeri Pahang amnya serta perpustakaan di seluruh Malaysia sepatutnya mengadakan Bulan Kesusasteraan untuk memperingati kesemua penulis yang telah meninggalkan kita.
Diskusi buku-buku SN dan penulis-penulis lain di Balai Raya di setiap daerah juga perlu dijadikan acara wajib. Ibu bapa harus memainkan peranan penting memastikan anak-anak mereka membaca buku-buku bermutu tinggi sebagai bahan diskusi.
Walaupun buku-buku SN Keris Mas banyak diterbikan oleh DBP, oleh kerana cara mempromosikannya amat lembap ia tidak mencapai matlamat. Mereka harus mengubah cara penjualan buku dengan lebih efisyen.
Saya amat kagum dengan Buku Fixi Sdn Bhd yang sering menerbitkan buku penulis-penulis lama di bawah tajuk FIXI Retro dalam bentuk yang sungguh menawan. Mungkin buku SN Keris Mas akan menjadi pilihan mereka kelak.
Semoga setiap langkah yang dimulakan sekarang akan memberi manfaat di hari muka. Dengan ini sejarah dan nilai-nilai yang diwarisi dapat diperturunkan kepada generasi akan datang.
Saya dan Uthaya tidak menemui bekas rumah kediaman SN Keris Mas di Kampung Ketari pada hari itu. Namun, kami gembira melihat dewan di SMK Bentong di Kampung Bukit Piatu dinamakan sebagai Dewan Keris Mas.
Comments
Post a Comment