Cerpen
M. Mahendran
ILUSTRASI: Jesse Jeremy Joy
Memang bukan mudah. Jika fikir sukar untuk lakukannya, sampai bila pun impian itu tidak akan tercapai. Setiap impian yang ingin dilaksanakan perlu ada permulaan. Tanpa menapak selangkah, sudah pasti tidak akan ada langkah seterusnya untuk mencapai apa yang diimpikan. Langkah pertama itu penting. Itu yang akan menentukan segala-galanya.
Aku tidak ingin tinggal di rumah dan di bandar ini. Ingin berhijrah jauh dari sini. Kalau boleh, tinggal di dalam hutan atau pun di dalam gua. Sudah puas dengan apa yang dimiliki selama ini. Harta yang dicari sudah cukup. Biar anakku seorang itu menguruskan segala urusan di kedua-dua syarikat milikku.
Isteri pun sudah lama meninggal. Bosan dengan kekayaan yang dimiliki. Aku tidak mempunyai seorang rakan pun dalam erti kata rakan yang sebenar. Tahu sahaja mereka yang berkawan denganku disebabkan kekayaan dan kedudukan. Aku hairan dengan sikap manusia. Pelik benar.
Bagi seorang duda yang berusia lima puluh lapan tahun, apa lagi yang perlu dikejar di dunia ini. Di mana-mana pun kelihatan kepalsuan. Bosan. Pasti lebih bahagia jika ditinggalkan manusia. Tidak mahu lagi bergelumang dalam kepalsuan, kepura-puraan dan kealpaan.
Buntu. Ke mana aku harus pergi. Merantau ke mana di usia lanjut ini? Kadang-kadang terfikir untuk bunuh diri sahaja. Tapi itu adalah satu kesalahan besar. Keputusan orang bodoh. Aku tidak pinta untuk dilahirkan, namun aku terlahir. Aku tidak harus pinta untuk mati, namun aku pasti akan dimatikan juga nanti. Entah bila.
Aku melihat di laman web mencari tempat yang sesuai untuk bercuti buat sementara waktu ini. Tidak ada suatu tempat yang menarik perhatian. Kalau ada pun semua jauh sangat. Aku tidak akan tinggalkan negara tercinta ini demi mencari kebahagiaan di negara orang.
Aku tidak akan beritahu sesiapapun tentang penghijrahan ini, termasuk anak. Biar tiada sesiapapun yang tahu. Walau mati sekali pun.
Gua-gua yang terdapat di kawasan Perak kelihatan mempesonakan. Sungguh bernasib baik warga-warga purba ketika itu. Tidak perlu bersusah payah untuk memiliki sebuah rumah besar seperti gua.
Boleh menaiki Grab ke kawasan itu. Sungguh menakjubkan. Aku tidak takut. Apa nak jadi, jadilah. Jika rimau nak baham pun baham sajalah. Itu hak dia. Tiada keharusan membawa senapang untuk melindungi diriku.
Aku membawa roti, sardin, bungkusan biskut , megi dan botol air. Tidak membawa banyak pakaian. Cukuplah setakat tiga baju-t, tiga seluar pendek dan tiga seluar dalam.
Memang agak payah untuk menaiki cerun-cerun tinggi untuk sampai ke gua. Aku gagahkan diri. Beg pakaian di belakang badan memberat pula. Aku melangkah juga sedaya upaya.
Amat gembira rasa hati bila kaki dipijak di muka pintu gua. Terasa, udara dingin menggamit dari dalam. Aku tanggalkan beg dan letakkan di lantai, lalu keluarkan lampu suluh dari dalam beg.
Cahaya dari luar cuma melimpah sehingga beberapa meter dalam gua itu. Terdengar bunyi-bunyian yang pelik menyeluruhi ruang. Memang seram sejuk. Biarkan… biarkan. Aku meneruskan perjalanan. Semakin ke dalam semakin riuh kedengaran dari dalam. Mungkin bunyi kera sedang bermesyuarat agaknya.
Tetapi bukan.
Nampaknya aku perlu berpatah balik. Daripada siapa aku cuba melarikan diri di luar sana, merekalah yang sedang berhimpun di sini dengan begitu ramai.
Manusia!
Mengapa mereka di sini?
Nampaknya aku harus mencari kawasan lain untuk bersendirian.
Cukaria 5 Ogos 2019
Comments
Post a Comment