Cerpen
M. Mahendran
Tangan dan pensel 3H bergerak sama perlahan di atas kertas putih; menuju ke atas dan bawah melakar berpandukan gambar yang dikepilkan di hujung kiri atas kertas pada papan condong.
Aku terjatuh cinta untuk kali ketiga. Kali ini aku benar-benar mencintai gadis yang berasal dari sebuah kawasan pedalaman. Sungguh anggun, cantik dan ayu. Tidak seperti kedua-dua perempuan yang pernah disukai sebelum ini.
Selepas ditemukan dengan gadis kampung ini, baru aku ketahui apakah erti cinta. Cinta yang sebenar-benarnya cinta. Bukan seperti apa yang dirasai pada cinta pertama dan kedua. Agaknya itu bukan cinta. Cuma tarikan kepada kecantikan rupa paras. Tidak lebih daripada itu.
Tetapi dengan gadis ini, perasaan itu sungguh berbeza. Tidak tahu mengapa. Sukar dihuraikan perasaan itu dalam kata-kata. Jiwa ini menjadi longlai setiap kali berdepan dengannya.
Tangan mula melakarkan kedua belah mata serta alis dengan penuh khusyuk. Di dalam hati semangat untuk merealisasikan gambar menyerap ke seluruh badan. Biar ia lebih cantik daripada gambar asal.
Perempuan-perempuan yang menjadi kekasih sebelum ini adalah sama dengan keturunan dan agamaku, manakala gadis baharu ini bukan. Tetapi aku mencintainya bersungguh-sungguh. Ya, bersungguh-bersungguh.
Pensel 5B mula bergerak membentuk mata hitam dengan penuh teliti. Mata adalah anggota penting pada wajah. Jika tersalah turunkan pada kertas, maka cacatlah keseluruhan nulikan itu.
Aku tidak faham mengapa aku sungguh mencintai gadis ini. Orang kata cinta itu buta. Cinta sebenarnya tidak buta. Sebab cinta itu celiklah aku mencintainya sepenuh hati.
Pensel bergerak bersama tangan melakarkan hidung. Hidung juga adalah anggota penting. Walau tersilap sedikit pun, ia akan mencacatkan wajah asal. Mata menatap tepat ke hidung pada gambar. Pensel pada tangan membentukkan hidung perlahan-lahan dan penuh berhati-hati. Setiap gerakan tangan digerakkan bagai ibu menyayangi bayinya.
Cinta itu celik. Dengan kecelikan itulah aku memilih seorang yang menepati citarasa. Cinta sebelum ini tidak begitu. Kedua-kedua perempuan sebelum ini cantik dari segi luaran sahaja, padahal mereka langsung tidak sesuai dengan diriku. Ia mengambil masa lama untuk aku menyedarinya.
Setelah selesai melakarkan hidung, mataku memandang mulut, bibir dan gigi pada gambar. Bibir mungil itu tidak dilukis terus. Meneliti semula apa yang telah dilukis setakat itu adalah amat penting sebelum meneruskan bahagian-bahagian lain.
Dengan perempuan-perempuan sebelum ini; prinsip dan pandangan kami jauh berbeza. Kami setakat berborak-borak kosong dan makan-makan di kedai dan berpegangan tangan sahaja di bandar metropolitan. Aku tidak pernah mengucapkan cintaku kepada mereka. Begitu juga mereka. Namun, aku anggap itu adalah cinta. Dan mereka juga mungkin beranggapan begitu.
Terdapat banyak perbezaan antara perempuan-perempuan sebelum ini dan gadis ini.
Melakar rambut tidak menjadi masalah. Tangan dan pensel 6B melorek-lorek alunan rambut. Pensel 2B juga digunakan untuk melorek bahagian yang tidak begitu gelap. Sesekali pemadam bekerjasama di atas kertas putih yang sedang dinodai. Sudah banyak kertas dinodai begini untuk menghasilkan suatu persembahan seni.
Aku adalah seorang anak seni. Aku suka mengambil gambar dan melukis. Gambar yang diambil dengan kamera Cannon EOS 60D diproses dalam kepingan foto 4R dan akan disimpan kemas-kemas di dalam album. Berpandukan gambar-gambar yang diambil, ia akan dijadikan lukisan. Aku akan melukis apa sahaja, asalkan aku suka.
Setiap Sabtu dan Ahad aku akan melukis, melukis dan melukis. Walaupun aku suka mewarna tetapi aku jarang melakukannya. Sebulan sebuah atau dua sahaja yang diwarnai, itu pun dengan pensel warna sahaja.
Raut wajah yang dilukis pada kertas boleh dikatakan 80% hampir sama dengan gambar. Puas. Perlu membuat lorekan-lorekan halus untuk menghasilkan tona yang indah pada wajah di setiap sudut. Tangan dan pensel melakarkan leher. Ada seutas rantai bermanik putih pada leher di gambar. Melukis manik-manik terjuntai di leher bukan kerja mudah. Perlu banyak latihan.
Aku lebih suka melukis dalam hitam putih sahaja. Pensil jenis graphite H, B dan F sudah mencukupi untuk melengkapkan setiap lukisan. Tidak perlukan bahan-bahan yang mahal.
Ada kertas lukisan putih, beberapa jenis pensil, pemadam dan tisu sudah cukup untuk terperuk di dalam bilik. Ada bilik khas atau studio kecil dalam rumah untuk tujuan ini. Sebenarnya itu adalah bilik stor. Nasib baik ibu bapa dan adik-beradik memahami aku.
Oleh kerana pekerjaaan yang aku lakukan sekarang tidak ada kena-mengena dengan bidang yang aku gemari, aku menjadikan Sabtu dan Ahad sebagai hari untuk meneruskan hobiku. Ada juga rakan yang suruh menjana wang dengan melukis. Aku tidak mahu. Mungkin belum sampai masanya untuk melakukan sedemikian. Lagipun, lukisan-lukisan aku bukanlah sehebat mana untuk dijual.
Gadis ini berlainan sedikit. Perempuan-perempuan terdahulu langsung tidak ambil pusing tentang kegemaran aku. Bila aku membawa kamera ke hulu dan ke hilir, mereka berasa pelik melihat aku masih menggunakan kamera dan menggantungkan pada leher setiap kali bersama mereka.
Aku pula amat kekok mengambil gambar menggunakan fon.
Bibir dihitamkan menggunakan pesel 6B dan 4H. Dua baris gigi putih comel dilukis dengan sungguh cermat. Rupa gigi yang ditiru perlu menyerupai gigi sebenar. Kedua-dua anak mata tidak dihitamkan sepenuhnya. Dibiarkan sedikit putih di tepinya.
Bukan itu sahaja, perempuan-perempuan terdahulu tidak berminat pada kegiatan seni lukis aku. Wajah-wajah mereka yang aku lukis juga tidak dihargai. Mereka hanya akan bercakap tentang dunia hiburan, media sosial dan kadang-kadang tentang Najib yang baru ditangkap ketika itu. Tidak lebih daripada itu.
Kerja-kerja lukisan aku dilihat sambil lalu dan mereka akan kata cantik sahaja. Ia sama menunjukkan karya aku pada dinding. Dinding di rumah aku sekurang-kurangnya tahu juga menghargainya. Mereka jauh lebih hina daripada dinding.
Foto di sudut atas kiri kertas lukisan dilihat beberapa kali. Juga diperhatikan lukisan yang masih belum siap sepenuhnya. Banyak lagi kerja-kerja touch-up harus dilakukan untuk kelihatan lebih real.
Jadi aku melepaskan mereka pergi!
Masing-masing boleh bertahan lebih kurang lima atau enam bulan sahaja. Tidak ada jodoh dengan mereka. Sebenarnya aku yang tidak boleh tahan dengan perangai mereka. Mereka peduli apa.
Setiap kali keluar dengan mereka, aku yang perlu keluarkan wang. Macamlah lelaki dilahirkan semata-semata untuk belanja perempuan. Sedangkan mereka juga bekerja.
Tangan mengambil kertas serviet dan menggosok perlahan di dahi wajah. Dengan membaurkan begitu, dahi itu akan mendapat tona yang cantik. Begitu juga perlu dilakukan pada bahagian pipi, hidung, dagu serta leher.
Aku menemui gadis berlainan keturunan dan agama ini setelah setahun berpisah dengan perempuan kedua. Sekali pandang sahaja sudah terpahat di hati. Rambutnya hitam bak mayang mengurai itu sahaja sudah cukup untuk mencintainya.
Kedua belah matanya sungguh tajam. Bibirnya juga kecil dan molek. Kami bekerja di bahagian yang sama. Ini memberi peluang bagus untuk mendekati dirinya.
Dia bercakap dengan santun. Ketawa pun bila perlu sahaja dan dia juga sungguh menghormati aku sebagai staf senior.
Aku tidak tergesa-gesa menyampaikan hasratku untuk keluar makan bersamanya. Aku tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama. Dan dia jauh berbeza dengan perempuan lain. Dia agak segan untuk bersemuka dengan kaum lelaki. Aku menyukai itu.
Tona pada dahi, hidung, pipi, dagu dan leher hampir sama dengan gambar. Rambut perlu dihitamkan lagi. Tangan mencapai pensel 6B dan melorek-lorekkan rambut dengan kemas agar kelihatan lebih gelap sebagai rambut semula jadi.
Setelah dua bulan gadis itu bekerja, baru kami berpeluang makan bersama di kedai mamak berhampiran tempat kerja. Bukan selalu. Seminggu, adalah satu atau dua hari. Kebiasaannya dia membawa bekal dari rumah.
Dia juga meminati seni. Dia suka membaca buku. Aku suka dengan cara dia menatap lama-lama setiap gambar yang aku ambil. Begitu juga dengan setiap lukisan yang aku nukilkan. Dia sungguh kagum dengan kepakaran aku dalam kedua-dua bidang ini.
Dia sering memberi komen bernas untuk memperbaiki mutu lukisan. Dan dia juga turut meminta komersialkan hasil kerja aku. Dia menghormati keputusan aku; lukisanku bukan untuk dijaja.
Aku berhenti melukis. Sudah lebih dua jam aku duduk menghadap gambar dan kertas. Mata menjadi letih. Botol air mineral dicapai dari meja. Beberapa teguk memasuki kerongkong dan melegakan dahaga.
Hari ini aku sedang melukis wajah gadis yang sangat kucintai ini untuk diserahkan kepadanya esok dan menyatakan hasrat yang sudah empat bulan terbungkam di dalam hati. Adakah dia akan menerima hadiahku ini bersama cintaku?
“Terima kasih untuk lukisan yang cantik ini, tapi saya tak boleh terima cinta kamu. Saya anggap kamu sebagai kawan sahaja.”
Ranap hatiku apabila mendengar ayat itu keluar dari mulut cantiknya itu.
“Kamu orang baik. Kita berlainan agama. Saya tak sanggup untuk menukar agama anutan sejak lahir kepada agama lain demi berkahwin dengan kamu. Saya amat berpegang teguh kepada kepercayaan dan ajaran agama saya. Minta maaf.”
Hancur luluh hati ini. Diharap aku akan diberi kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Dan …
Semoga si gadis cantik manis yang kuidamkan ini mendapat ‘petunjuk' secepat mungkin.
TAMAT
Comments
Post a Comment