Cerpen
Oleh: M. Mahendran
Nithya menekan butang nombor 8 setelah masuk ke dalam lif. Badannya yang berpeluh tadi terasa segar dengan penghawa dingin. Setiap hari pergi balik kerja menaiki pelbagai pengangkutan awam sungguh meletihkan. Sebab itu Nithya sentiasa gemar berbaju-T dan berseluar jeans sahaja - memudahkan pergerakannya.
Dia menukar beg galas kecilnya dari bahu kanan ke bahu kiri. Tiga orang kanak-kanak yang masuk bersama tadi bergelak-ketawa membuat suasana riuh-rendah. Nithya tidak gemar keadaan begitu.
Dia selalu nampak mereka di kawasan pangsapuri ini, mungkin adik-beradik, tinggal di tingkat 16 - tingkat paling atas. Mereka selalu memanggilnya ‘kakak’ dan dia hanya akan tersenyum. Dia hairan bagaimana ibu bapa mereka sanggup membiarkan anak-anak itu berkeliaran bebas.
Pintu lif terbuka di tingkat 8. Tiga kanak-kanak itu mengucap bye-bye. Dia melangkah longlai menuju ke rumah sewanya.
Dia harus masak sebelum mandi. Kerja rutin itu perlu dilakukan setiap hari. Dia enggan makan di luar. Semuanya mahal sejak kerajaan baharu mengambil alih. Dia pun tidak tahu bila keadaan ini akan berubah. Sememangnya dia tahu tidak akan berubah langsung.
Manifesto mereka menjanjikan perubahan, dan memang ada perubahan. Perubahan menyiksa rakyat. Segala harga barang naik, naik dan naik sahaja.
Nithya mengeluh. Merungut setiap hari pun tidak dapat diubah walaupun dapat bersuara. Suaranya umpama meniup serunai ke telinga pekak.
Sesampai di rumah PL4-08-04, dia membuka kunci mangga, pintu gril dan pintu utama. Aroma setanggi pagi tadi masih terbau. Semasa dia melangkah masuk ke dalam rumah, dia terasa seperti ada orang melintas di belakang. Meremang bulu romanya. Dia menoleh, tiada sesiapa pun di situ. Dia cepat-cepat menutup pintu utama lalu menghempukkan dirinya di sofa. Mungkin angin, fikirnya.
Dia menanggalkan gelang dan anting-anting, meletakkannya di meja kopi lalu mencuci muka. Dia mengambil ayam, daun kari, daun ketumbar, bawang merah, bawang putih dan halia untuk memasak.
Belum sempat memotong bahan, loceng pintu berbunyi - lima kali. Siapa pula yang datang pada waktu begini? Nithya tidak memesan apa-apa. Rasa geram mula membuak.
Perlahan-lahan dia membuka pintu. Satu susuk tubuh tinggi bertopeng, berbaju dan berseluar hitam mencengkam lehernya menolak masuk lalu mengunci pintu. Lelaki itu menolaknya ke sofa. Oleh kerana cengkaman tangan orang itu sungguh kasar, Nithya terbatuk.
Lelaki bertopeng itu dengan pantas mengeluarkan tali kasar dari kocek seluar. Badannya yang tinggi dan gempal itu dengan pantas mengikat tangan dan kaki Nithya. Mulutnya ditampal pita warna hitam.
Nithya yang dalam keletihan dan kelaparan, meronta, meronta dan meronta. Dia cuba mengeluarkan suara. Suaranya tersekat di kerongkong. Dia cuba melompat dari sofa. Tidak boleh. Nasib baik mata dan hidungnya tidak ditutup. Jika tidak, sudah pasti menemui ajal.
Lelaki bertopeng itu duduk di sofa bertentangan Nithya. Hanya nampak mata yang menggerunkan dan bibir merah kegelapan. Nafasnya tercungap-cungap sama seperti Nithya. Jantung Nithya berdegup kencang. Pelbagai perasaan timbul di benaknya. Mungkin lelaki bertopeng ini hendak merompak. Sudah pasti dia kecewa tidak menemui barang bernilai kecuali buku. Dan sudah tentu dia tidak berminat pada buku. Yang penting dia tidak diapa-apakan. Dia perlu hidup untuk menanggung ibu bapa dan adik di kampung.
Air mata Nithya berlinangan membasahi pipi bak sutera halus. Mungkin hari ini adalah hari terakhirnya. Sungguh menakutkan. Yang paling menyedihkan, dia mungkin akan mati dalam kelaparan.
Lelaki itu seperti hendak membuka topeng. Kemudian berubah fikiran, dibiarkan melitupi wajahnya. Pisau Rambo yang digunakan untuk memotong tali tadi masih di tangan. Dia melambung-lambung menangkap pisau itu seperti Rajinikanth.
Nithya mahu menjerit. Suaranya tenggelam dan timbul bersama dirinya.
Lelaki itu mengacu-acukan pisau seperti mahu menikam Nithya. Punggungnya terletak pada bucu sofa untuk mendekatkan diri dengan Nithya. Mulutnya kelihatan seperti tersenyum. Nithya tidak pasti. Dia takut menantikan tindakan seterusnya daripada manusia laknat ini. Pisau di tangan lelaki bertopeng bersinar dipancari cahaya lampu.
Lelaki bertopeng berdehem. Nithya bertambah takut.
Dia melambung pisau dari tangan kiri ke kanan dan dari tangan kanan ke kiri, sebagai persiapan untuk membunuh.
Nithya tidak faham mengapa lelaki bertopeng ini perlu bertandang ke rumahnya. Jika bukan untuk merompak, adakah dia akan mengapa-apakan atau membunuhnya tanpa sebab? Pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Mungkin dia akan menghadapi maut dalam masa terdekat.
“Ha … ha … ha…!” Suara lelaki itu agak nyaring, kasar dan lantang. Memang padan dengan badannya yang tinggi dan sedikit berisi.
Nithya tidak dapat duduk diam di sofa. Dia meronta-ronta. Itu sahaja yang dia dapat lakukan dalam keadaan tangan dan kaki terikat.
“Nama kamu Nithyakalyani, bukan?”
Nithya membesarkan mata. Lelaki ini tahu nama penuhnya.
“Nama kamu Nithyakalyani bukan?!” Dia menguatkan suara.
Nithya mengangguk lalu bersandar pada sofa. Sungguh tidak selesa duduk dalam keadaan terikat.
“Kamu nak tahu bukan, mengapa aku ke sini?” Mata lelaki bertopeng itu mengecil. Suaranya dikawal agar tidak kedengaran di luar rumah.
Nithya tidak menunjukkan reaksi. Perutnya lapar.
“Kamu nak tahu mengapa aku ikat kamu atau tidak?!” Kali ini dia menjerit sambil mengawal suaranya untuk menakutkan Nithya.
Nithya mengangguk. Bahasa Negara lelaki itu sungguh fasih, namun agak sukar untuk memastikan dia daripada aliran mana. Era sekarang tidak seperti zaman datuk neneknya dahulu. Kini semua sudah fasih berbahasa Negara.
“Kamu adalah warganegara bukan? Ya atau tidak?!”
Nithya mengangguk.
“Kamu sudah mencapai umur untuk mengundi bukan?”
Nithya mengangguk.
“Kamu sudah mengundi bukan?”
Nithya mengangguk.
“Aku tak kisahlah kamu mengundi siapa. Tetapi sekarang pemimpin parti kami sudah menjadi PM negara ini. Suka atau tidak, kamu perlu menerima pemimpin kami sebagai PM.”
Nithya tidak memberi apa-apa reaksi untuk kenyataan itu sebab itu bukan soalan.
“Apa yang aku perhatikan selama ini di media sosial, kamu lantang bersuara. Lantang mengkritik itu dan ini mengenai pemimpin kami.”
Nithya seolah-seolah sudah memahami tujuan lelaki bertopeng.
“Kamu langsung tidak menghormati pemimpin kami. Kamu ungkit kisah-kisah lampau beliau dan menjadikan bahan tohmahan kamu. Betul atau tidak?!”
Nithya mengangguk dan kemudian menggeleng.
Lelaki bertopeng bangun dengan marah lalu mencekik leher Nithya dan duduk semula. Nithya terbatuk, terbatuk dan terbatuk.
“Setiap bulan kamu muat naik video mempersendakan pemimpin kami di YouTube. Betul atau tidak?!”
Nithya mengangguk perlahan.
“Tidak cukup dengan itu, kamu mengajak pula sesiapa sahaja yang kamu kenali buat podcast untuk mengutuk pemimpin kami. Betul atau tidak?!”
Nithya terpaksa mengangguk, dia mengangguk.
“Siang dan malam kamu hanya tahu mempersenda, mengutuk dan mengkeji pemimpin kami yang sudah pun jadi PM. Betul atau tidak?!”
Nithya terpaksa mengangguk, dia mengangguk.
“Aku tidak akan lepaskan sesiapa pun yang mengkeji pemimpin kami. Ada ramai lagi seperti kamu di luar sana. Akan aku kerjakan satu … persatu. Aku akan kerjakan satu … persatu.” Suara lelaki bertopeng tiba-tiba menjadi perlahan. Tidak seagresif seawal tadi.
Dia menuju ke peti sejuk.
“Apalah kau ini. Peti sahaja besar, apa pun takda.”
Dia mengambil sebotol air minuman dan minum sekaligus kemudian menoleh ke meja makan.
“Oh, nak masak kari ayam. Hmm …”
Lelaki bertopeng datang semula duduk berdepan Nithya.
“Kamu sudah faham apa yang aku kata tadi?”
Nithya mengangguk.
“Nak aku bunuh engkau?”
Nithya menggeleng.
“Nak aku bunuh engkau?!”
Dia bangun lalu mencekik leher dan mengacukan pisau ke arah mata Nithya.
“Kamu orang semua nampak kelemahan pemimpin kami sahaja. Banyak kebaikan dan pengorbanan telah dia buat demi membahagiakan rakyat Negara. Itu semua kamu tak nampak atau pura-pura tak nampak? Perempuan bodoh! Untuk dapatkan ramai viewers buatlah konten lain!”
Dia menarik dan menolak Nithya ke lantai. Dia mengacu pisau ke arah wajah Nithya kemudian menuruni dada dan perut. Diturunkan lagi pisau hingga ke kaki. Lelaki bertopeng memotong ikatan pada kaki dan tangan Nithya.
"Jangan jadikan media sosial ... so sial!"
Dia berjalan keluar dan menutup pintu dengan kuat.
Tamat
Comments
Post a Comment