Cerpen
Oleh: M. Mahendran
Aku menunduk, meletakkan jari telunjuk pada hidungnya. Betul, dia sudah tidak bernafas lagi. Tanganku ke dadanya pula. Degupan jantungnya juga sudah berhenti. Ini menandakan dia sudah mati. Ya, memang dia sudah mati.
Aku bangun, melihat lagi badannya yang terdampar di lantai. Dia kelihatan seperti sedang tidur nyenyak dalam kesakitan Tidak seperti sudah mati. Aku masih berdiri di situ. Masih tidak mahu beredar dari situ atau berbuat sesuatu. Mengapa aku berkelakuan sedemikian, aku sendiri tidak faham. Sebenarnya ini bukan masa untuk berfikir-fikir. Aku mesti berbuat sesuatu. Berbuat sesuatu untuk melepaskan diri daripada tuduhan membunuh.
Dia sudah mati. Tidak disangka. Namun, ia tetap terjadi. Degupan jantungku tiba-tiba berdegup kencang. Seolah-olah jantungnya yang sudah mati itu meronta-meronta untuk masuk ke dalam badanku dan berkembar bersama jantungku. Seperti diriku sudah memiliki dua jantung.
Aku melihat jam pada tangan. Ia menunjukkan tepat jam sembilan malam. Semua terjadi dengan begitu pantas.
Apa aku perlu buat sekarang? Bergerak sahaja dari sini atau tunggu sehingga segala urusan diselesaikan. Tunggu untuk diselesaikan? Sedangkan ia sudah selesai.
Aku masih tidak dapat membuat keputusan. Mungkin aku perlu mesej Ram ataupun memanggilnya sahaja. Ram bukan manusia jenis suka melihat WhatsApp. Dia memang seorang yang pelik. Lebih pelik daripada aku atau lebih pelik daripada yang terbaring ini, itu aku tidak pasti. Manusia semua ada kepelikan masing-masing.
Aku terbau nasi beriani dan bau dalca di dapur.
Dia akan datang malam nanti. Aku perlu selesaikan segala permasalahan yang tenggelam timbul antara kami selama ini. Masalah yang telah bertaut hampir lima tahun. Lima tahun memang nampak tidak lama. Seperti kata orang, pejam celik; pejam celik sudah lima tahun . Aku tidak berasa begitu. Aku langsung tidak berasa begitu.
Lima tahun umpama seperti di neraka. Walaupun aku tidak tahu akan kesahihan neraka sebab tidak ada orang yang kembali dari neraka untuk membuktikannya. Mungkin neraka yang aku alami ini lebih dahsyat daripada neraka sebenar.
“Rathi. Nama ini sungguh padan dengan rupa paras kamu,” dia yang memulakan perbualan pada hari ketiga bekerja di firma audit bersama aku.
Aku terpesona dengan kekacakannya. Namanya Dev. Tidak pernah aku temui jejaka sekacak Dev di bandar ini. Sudah pasti dia berasal dari keluarga berada atau pun daripada golongan terpelajar.
Aku amat tertarik dengan Dev. Begitu juga dia terhadap aku. Kulitnya putih bersih. Berkumis dan berjambang nipis. Pakaiannya sentiasa kemas dan badannya beraroma deodoran Dashing atau minyak wangi Uberman. Itu, aku ketahui kemudian dari mulutnya. Memang class walaupun ia bukan jenama mahal.
Aku bimbang akan ada staf lain memikat Dev. Aku bernasib baik. Tidak ada sesiapa berbuat demikian. Ketegasan aku di tempat kerja diketahui semua. Ya, diketahui semua. Mana mungkin mereka berani, walau cuma untuk melihat-lihat Dev.
Kami keluat malam pada setiap Sabtu sahaja. Hari bekerja, aku tidak akan ke mana-mana bersama Dev pada waktu malam. Cuma, pada waktu kerja kami akan makan bersama. Itu pun kami perlu tergesa-gesa makan sebab pelbagai tugas perlu dilaksanakan sedang menanti di pejabat.
Pada waktu malam kami akan bermesej sahaja. Walaupun Dev akan cuba call. Aku tidak akan berborak panjang. Aku masih berpegang pada prinsip untuk bersama Dev sepenuhnya selepas kahwin sahaja. Ya, selepas kahwin sahaja.
“Ram, dia dah mati,” aku call Ram. Aku menjadi sebak lalu menangis. Ya, aku menangis.
“Siapa dah mati? Kamu di mana?” Suara Ram kedengaran cemas.
Aku tidak dapat cakap. Dada dan tekak aku terasa perit.
“Ok. Bagaimana ia terjadi? Err … takpa. Kamu di mana? Nanti saya datang sana. Jangan bimbang.”
Aku tidak dapat bercakap panjang lagi. Aku menaip mesej melalui WhatsApp kepada Ram agar dia datang dengan segera.
Selama empat tahun hubungan kami sentiasa tegang. Kami tidak dapat meneruskan hubungan ini. Sebenarnya aku yang tidak dapat teruskan.
Walaupun aku cintakan Dev, itu bukan bermaksud aku boleh serahkan segala-galanya demi cinta itu. Aku masih boleh mengawal diri dan perasaan. Dev tidak seperti itu.
Dari luar memang aku nampak sebagai seorang perempuan moden, dari segi cara berpakaian dan lain-lain. Cara tutur kata aku juga banyak menggunakan bahasa Inggeris. Itu bukan bermaksud aku boleh berkelakuan sebagai seorang perempuan sebarangan. Dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh lelaki. Jiwa dan ragaku masih bernaluri India. Yes, I am still an Indian girl.
“Rathi, mengapa kamu berperangai kolot? Kamu langsung tidak mahu updatekan diri kamu. Aku malu untuk bercakap pasal kamu dengan kawan-kawan.”
“Jangan paksa aku, Dev. Awal-awal lagi aku sudah beritahu kamu tentang cara hidup aku. Ia tak boleh diubah!”
“Kalau begini, baik kita kahwin sahaja, Rathi. Aku pun senang, kamu pun senang.”
Aku tahu Dev bangga mempunyai teman wanita yang cantik seperti aku. Dia selalu suka bercerita tentang aku dengan rakan-rakannya. Ram pernah beritahu aku yang Dev susah hati kerana aku tidak sama seperti teman wanita rakan-rakannya. Aku pelik mengapa Ram perlu beritahu perihal Dev. Sedangkan mereka kawan rapat.
“Aku belum bersedia untuk itu, Dev. Aku perlu utamakan adik-beradik aku. Mereka masih belajar. Aku ada tanggungjawab besar di rumah.”
“Lepas kita kahwin pun, kamu masih boleh uruskan semua. Bukan susah pun. Aku pun boleh tolong kamu.”
“Mudah diucapkan secara kata-kata, Dev. Secara praktikalnya memang sukar.”
Mengapa Dev langsung tidak mahu memahami keadaan? Aku tahu kebanyakan lelaki lebih pentingkan kepuasan nafsu mereka daripada segala perkara di dunia ini. Adakah perempuan dicipta untuk memuaskan nafsu buas lelaki. Mengapa mereka tidak mahu dan tidak tahu bersabar?
Tidak boleh dibiarkan begini. Jika dia tidak mahu ikut cara aku. Aku perlu berbuat sesuatu agar dia mendengar kata-kata aku. Apa pun terjadi, biarlah. Aku perlu bertegas. Cukup sudah lima tahun ini aku hidup sengsara. Aku perlu bincang atau melakukan sesuatu.
Biar putus pun putuslah. Janji Dev tidak mengganggu aku lagi. Ya, aku tidak mahu hidup ini diganggu. Aku tidak perlukan seorang lelaki yang bersama aku hampir lima tahun tetapi langsung tidak memahami naluri dan pendirianku.
Malam ini jam 8 aku menjemput Dev ke apartment aku. Untuk berbincang dan beri kata putus. Lagi pun aku sudah membuat keputusan untuk tidak bekerja setempat dengan Dev. Aku juga sudah ditawarkan dengan gaji yang lumayan di firma lain.
Aku menyediakan nasi beriani dan dalca kambing, makanan kegemaran Dev. Biar dia tinggalkan aku pada hari ini dengan sedikit kegembiraan.
Terdengar bunyi loceng. Baru pukul 7 malam. Awal sangat Dev datang. Aku ke ruang tamu dengan perasaan gemuruh lalu membuka pintu. Kelihatan seorang lelaki berjaket hitam, bertopi, bercermin mata gelap. Dua kali pandang baru aku perasan siapa dia.
“Eh, Ram ada apa hal?”
Tanpa banyak bicara Ram masuk ke dalam dan mengunci pintu lalu mencekik leher aku. Kedua belah tangannya bersarung warna hitam itu mencengkam dengan sungguh kasar. Aku cuba mengeluarkan suara. Tidak berjaya. Aku cuba menumbuk mukanya. Dia dapat mengelak. Dia mencekik dan menolak aku hingga ke dapur. Aku cuba mencapai apa-apa barang terlintas di depan mata. Tidak berjaya. Leher dan tekak aku terasa sakit yang teramat. Susah hendak bernafas.
Aku tersungkur jatuh berhampiran sinki dapur. Aduh! Sakit! Ram mencekik leher aku tanpa henti. A … a … aku …
Ram cakap sesuatu semasa melepaskan kedua-dua tangannya. Aku tidak dapat dengar dengar dengan jelas.
Aku menekan bunyi loceng beberapa kali. Rathi tidak membuka pintu. Aku call dia. Panggilan aku tidak kesampaian. Telefonnya seperti switch off. Mengapa dia perlu memanggil aku ke rumahnya, sedangkan dia pula menghilang.
Lima tahun aku bersama dia, bukan seperti kekasih dilayannya. Aku cuma seperti diguna-gunakan sahaja. Harap aku dapat bercakap dengan tegas dengannya untuk mengahwini aku. Aku menekan loceng. Call ke telefon dia semula. Tidak berhasil. Aku cuba buka pintu. Terbuka!
Kelihatan Rathi terbaring di depan pintu masuk. Barangan di rumah kelihatan berselerak. Apa dah terjadi pada Rathi? Aku mendekati dia. Aku menjadi cemas. Wajahnya nampak lain.
Aku menunduk, meletakkan jari telunjuk pada hidungnya. Betul, dia sudah tidak bernafas lagi. Aku meletakkan tangan pada dadanya pula. Degupan jantungnya juga sudah berhenti. Ini menandakan dia sudah mati. Ya, memang dia sudah mati.
Tamat
Comments
Post a Comment