Esei
Oleh: M. Mahendran
Kebelakangan ini sering terdengar ramai dalam kenalan dan kawan-kawan kita yang berusia 30 hingga 60 tahun meninggal dunia secara mengejut. Sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia suatu ketika dahulu dan hingga sekarang, kematian mengejut masih berlaku saban hari di sana-sini. Keadaan ini sungguh mencemaskan dan menakutkan. Kita tidak tahu siapa akan “pergi” pada hari-hari mendatang.
Boleh diperhatikan berita kematian rakan-rakan sebaya di grup WhatsApp setiap tahun sungguh mengejutkan. Sedangkan, ibu bapa rakan-rakan tersebut masih hidup. Ini adalah satu situasi yang sungguh menyedihkan.
Penyakit yang sepatutnya bertandang pada umur lewat 60-an, kini begitu mudah melawat di usia muda. Apakah yang mendorong sehingga menyebabkan kes-kes seperti ini terjadi? Adakah vaksin yang disuntik semasa pandemik mengundang penyakit dan menyebabkan kematian?
Kita tidak tahu punca sebenar. Jadi, tidak boleh tuduh sembarangan tanpa usul-periksa walaupun situasi semasa mengundang kita berfikir sedemikian.
Menurut pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit EECP, Dr. S. Denesh, kematian pada usia muda adalah disebabkan oleh serangan jantung dan strok. Katanya, ini mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang semasa perintah kawalan pergerakan apabila negara dilanda pandemik COVID-19.
Walaupun ini adalah benar, ia tidak boleh diguna pakai untuk semua kes yang menyebabkan kematian.
Pada pandangan saya, cara hidup rakyat negara ini sudah berubah. Dahulu rakyat tidak mempunyai wang untuk berbelanja sesuka hati dan makan sesuka hati. Kebanyakan keperluan makanan harian ditanam atau diternak sendiri. Jika ke pasar pun, mereka akan membeli bahan makanan mentah seperti ikan atau daging sahaja.
Masyarakat masa kini tidak mengikuti waktu makan dan jadual pemakanan yang sihat. Bila-bila masa sahaja mereka akan makan dan makan. Makanan pula boleh dihantar terus sampai ke rumah. Kesuntukan masa untuk memasak menjadi masalah utama, sebab dalam masa 24 jam sehari, setiap jam sudah disalurkan untuk pekerjaan dan aktiviti-aktiviti lain. Jadi, makanan dari kedailah terpaksa dijamah.
Selain memakan makanan biasa di kedai, makanan segeralah punca utama menyebabkan masalah jantung. Oleh kerana makanan segera mengandungi kadar kolesterol yang tinggi, ia boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan meningkatkan risiko penyakit jantung.
Selain daripada makan makanan tidak seimbang yang kurang berzat, tidak cukup tidur juga mengundang pelbagai jenis penyakit. Sesiapa yang cuma tidur kurang dari 6 jam sehari pasti akan mendapat penyakit-penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan strok.
Penyakit boleh dihindari. Sebagai manusia yang telah dilahirkan ke Bumi yang tidak dipinta ini, kita perlu berdisiplin. Tanpa disiplin kita tidak boleh mencapai impian dalam apa jua aspek.
Tubuh badan akan bereaksi positif apabila kita memeliharanya dengan baik. Dan begitu pula sebaliknya. Kita perlu ketahui cara asas penjagaan tubuh badan.
Semuanya bermula dengan kebersihan. Kebersihan tubuh badan akan menjadikan kita ceria dan akan membuat kita bertindak positif dalam segala urusan saban hari.
Kebersihan tubuh badan adalah dari segi luaran. Untuk kebersihan dalaman pula, pilihlah makanan yang berkhasiat seperti sayuran-sayuran, buah-buahan dan kekacang, serta makanan dan minuman kurang manis. Kesihatan tubuh badan juga boleh diperoleh dengan membuat senaman dan dengan bermeditasi secara konsisten. Setiap gerak-geri kita perlu ke arah membentuk kesihatan fizikal dan mental.
Untuk memperoleh kesihatan mental, kita boleh beriadah dengan membuat perkara-perkara yang merehatkan minda seperti membaca, menulis, melukis menyanyi, menari, bersukan dan lain-lain lagi. Mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang berfikiran positif di sekeliling akan membuatkan minda dan mental seseorang tenteram.
Kita perlu membuat jadual waktu yang ketat untuk mencapai matlamat ini. Memang kita tidak akan hidup lama di muka Bumi. Itu bukan bermaksud, boleh diabaikan kesihatan kita. Buat apa kita perlu bazirkan masa dan wang untuk aktiviti buruk yang akan mengundang penyakit?
Selama kita hidup di muka Bumi, lebih baik kita menjalani suatu kehidupan yang aman dan makmur tanpa penyakit.
Untuk perubahan ini, kita perlu berubah.
Comments
Post a Comment