Pengalaman
Tahun Baru Cina 1980
Oleh: M. Mahendran
Saya masih ingat lagi kali pertama saya menyambut Tahun Baru Cina bersama rakan-rakan Cina. Ketika itu umur saya baru menjangkau sebelas tahun dan satu bulan lebih sahaja. Keluarga kami berpindah dari Chammang Baharu ke Jalan Club (kini Jalan Annuar) yang perlu melintasi Balai Polis, Bentong pada tahun 1979.
Iaitu, kami berpindah dari kawasan ala kampung ke kawasan bandar. Faham-faham sahajalah bandar Bentong besar mana. Dari dahulu hingga sekarang masih teguh berdiri bangunan-bangunan lama yang berusia lebih dari 100 tahun. Cuma bangunan baharu dan kawasan perniagaan muncul selepas tahun 2000 di beberapa tempat tidak jauh dari bandar.
Semasa di sekolah rendah, rata-rata kawan saya adalah terdiri daripada pelbagai kaum. Sekolah Rendah Kebangsaan Sulaiman adalah bekas sekolah Inggeris. Walaupun sejak 1971 nama dan bahasa pengantar sekolah Inggeris sudah ditiadakan. Gelaran sekolah Inggeris masih kekal sehingga pertengahan tahun 80-an. Ada warga tua di sini masih menyebut ia sebagai sekolah Inggeris.
Jadi, ramai jugalah anak-anak kaum Cina, kaum India bersama kaum Melayu bersatu-padu menuntut ilmu di sekolah yang berdepan dengan Balai Polis Bentong.
Semasa saya tinggal di Chammang Baharu, saya masih kecil untuk bergerak sendirian ke sana-sini. Setelah berpindah ke kawasan bandar, saya menjadi berani walaupun masih bersekolah rendah ketika itu. Saya sering ke rumah rakan-rakan Cina yang tinggal di penempatan kampung baru yang berhampiran dengan
bandar. Terdapat dua buah penempatan kampung baru di kawasan bandar dan tiga lagi berjauhan sedikit. Saya juga biasa ke rumah rakan Cina yang terletak di atas kedai.
Tahun Baru Cina pada tahun 1980 jatuh pada 16 Februari. Seperti biasa sekolah diberi cuti dua hari. Tidak seperti sekarang, setiap perayaan diberi cuti empat hari atau pun seminggu, kecuali cuti jatuh pada hari Khamis, baru boleh merasai cuti empat hari.
Beberapa rakan seperti Taa Chee Fei, Teh Yew Hua, Ng Siew Yuen dan Kan Kok Chin menjemput ke rumah mereka. Dahulu tidak disebut open house seperti sekarang.
Malam sebelum perayaan besar itu, saya tidak dapat tidur dengan lena kerana asyik memikirkan akan menikmati kegembiraan bersama rakan-rakan di rumah mereka. Ia seperti menjadi perayaan kaum saya sendiri. Saya tidak tahu pun apakah juadah atau kuih yang akan dihidangkan nanti. Lagipun, saya teruja untuk menerima ang pau. Saya cuma pernah melihat sampul ang pau sahaja sebelum itu.
Pagi-pagi lagi saya sudah bangun pada jam 7. Kok Chin dan Yew Hua membuat keputusan akan ke rumah Taa Chee Fei terlebih dahulu. Rumah Chee Fei terletak di atas kedai. Bapanya adalah pemborong baja dan simen. Suasana perayaan terasa di rumah kedai itu walaupun hiasan ala kadar sahaja.
Kami diberi makan kuih kapit, kuih loyang, biskut kacang, biskut kacang hijau, kacang Cap Tangan, limau dan air kotak berjenama Yeos pelbagai perisa. Boleh dikatakan itulah kali yang kedua atau tiga saya minum air kotak dalam hidup saya. Bapa Chee Fei memberi ang pau. Saya hendak buka sampul merah itu di situ juga. Rakan-rakan Cina lain menyuruh saya buka selepas turun bawah nanti. Amat gembira saya mendapat wang syiling 50 sen di dalam ang pau tersebut. Boleh beli macam-macam dengan 50 sen itu.
Sambil berbual-bual, kami membuat rancangan untuk menonton wayang gambar Hong Kong di pawagam Cathay yang terletak di jalan menghala ke Ketari tengah hari nanti. Bangunan Cathay telah dirobohkan pada pertengahan 90-an dan dibina bangunan Vega Mall dua tahun selepas itu. Kemudian bangunan itu tidak beroperasi hampir 10 tahun kebelakangan ini.
Selepas rumah Taa Chee Fei, kami ke rumah Ng Siew Yuen di Kampung Repas dan ke rumah Teh Yew Hua di Kampung Perting. Di situ pun saya menikmati juadah lebih kurang sama seperti di rumah Chee Fei. Kami berborak-borak. Saya sudah lupa topik apa yang kami selalu borak di usia kecil itu. Gembira dapat ang pau lagi.
Di dalam kocek saya sudah ada dua ringgit. Sampul-sampul ang pau tersebut sungguh cantik dan sungguh bernilai. Saya sentiasa memasukkan tangan di dalam kocek dan merasai dan menikmati wang siling dari luar sampul. Walaupun cuaca sungguh panas dan berjalan kaki sahaja ke semua rumah sahabat, hati saya sungguh gembira ketika itu. Wang itu nanti saya boleh gunakan untuk menonton wayang gambar Cina nanti.
Setelah pulang ke rumah, saya dengan bangganya bercerita pasal jamuan di rumah kawan dan pasal ang pau. Ibu saya suruh guna wang itu untuk membeli makanan pada waktu rehat di sekolah. Kemudian saya meminta izin daripada orang tua saya untuk menonton wayang gambar di Cathay. Diizinkan.
Saya makan sedikit nasi sahaja sebab perut sudah penuh dengan kuih-muih. Saya tidak tahu filem apa akan kami tonton nanti. Pergi ke pawagam, baru akan tahu. Saya berjalan kaki lagi ke Cathay. Kelihatan beberapa rakan berkumpul di ruang legar,
Saya beri duit siling 70 sen kepada kawan dan dia tolong kami beli tiket yang bernilai 0.65 sen. Tajuk filem saya tidak ingat,. Cuma, saya masih ingat filem itu dibintangi oleh Alan Tham dan lain-lan penyanyi dari kumpulan The Wynners. Saya baru kenali kumpulan tersebut melalui filem itu.
Memang teruja menonton filem kisah tentang kumpulan penyanyi berusaha untuk membuat persembahan di dalam dan luar negara lagi diselitkan dengan kisah cinta. Asap rokok daripada penonton melekat pada pakaian dan badan saya.
Selepas cuti perayaan, kembali di sekolah saya sering menceritakan pengalaman indah itu bersama rakan-rakan lain. Kemudian pada tahun-tahun seterusnya saya sudah di sekolah menengah dan masih ke beberapa rumah kawan Cina dan menonton wayang gambar Hong Kong, namun, pengalaman pada tahun 1980 sentiasa terpahat di hati.
Comments
Post a Comment