Esei
Oleh: M. Mahendran
Walaupun bukan semua ibu bapa berbuat demikian, namun begitu, pada pemerhatian saya, kebanyakan mereka manjakan anak lebih daripada sepatutnya.
Peredaran zaman serta keadaan ekonomi negara yang jauh lebih baik daripada dahulu telah mengubah cara membesarkan seseorang anak. Ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah di seluruh dunia. Yang paling nampak ketara adalah di sini.
Keadaan ini jauh berbeza pada zaman persekolahan ibu bapa saya pada tahun 40-an dan 50-an. Pada masa persekolahan saya pada tahun 70-an dan 80-an pula, banyak perkara yang saya alami tidak sama dengan apa yang dinikmati oleh generasi sekarang. Apa yang saya nikmati, tidak dinikmati oleh kedua orang tua saya. Ketika itu keadaan masih terkawal.
Semasa saya kecil, kemudahan elektrik sudah pun mendapat tempat di kawasan bandar dan kampung-kampung berhampiran dengan bandar. Kawasan luar bandar dan estet masih mengalami proses asimilasi ketika itu. Jadi, kami tidak menghadapi masalah untuk tidak berlampu. Tidak sama seperti keadaan tahun 40-an. Begitu juga dengan sistem saluran paip air di Malaysia, sudah jauh lebih bagus daripada masa persekolahan ibu bapa saya. Mereka banyak bergantung kepada air sungai dan perigi sahaja.
Kemudahan asas adalah infastruktur penting untuk kami menjalani kehidupan seharian. Ia juga dinikmati hingga sekarang oleh generasi baharu dalam keadaan yang berbeza.
Generasi sekarang kebanyakannya bukan sahaja menikmati kemudahan asas, malah mereka dimanjakan daripada pelbagai segi hingga menjadi malas untuk berusaha lebih gigih dan memajukan diri dari segi pelajaran dan perkara-perkara lain. Mereka hanya bergantung kepada peralatan terkini dan orang lain sahaja.
Banyak perkara yang kami lakukan pada tahun-tahun 70-an dan 80-an tidak dilakukan langsung oleh generasi muda sekarang. Mereka seperti sudah “Born With The Silver Spoon”.
Kami ke sekolah berjalan kaki dan kadang-kadang bapa akan menghantar kami dengan menaiki basikal semasa di sekolah rendah. Kami berkasut kain dan ada yang berkasut getah berwarna putih ke sekolah. Kasut dibasuh sendiri. Ibu bapa tidak akan menolong.
Semasa di sekolah menengah kami menaiki bas. Kami beli pas bulanan di syarikat bas. Tidak ada bas sekolah khas ketika itu dan ramai pelajar menaiki basikal ke sekolah.
Kami cuma membawa 10 sen hingga 50 sen untuk berbelanja pada waktu rehat di kantin sekolah. Jika ada wang berbaki, ia akan digunakan untuk beli kudap-kudapan semasa pulang dari sekolah.
Balik dari sekolah, itu bukan bermaksud kami akan dapat makanan lazat-lazat seperti sekarang. Makanan tengah hari dan makan malam cuma ala kadar sahaja. Lauk dan sayur yang sama akan dimakan selama dua hari. Cuma pada hari Ahad kami akan makan kari ayam atau ikan. Semasa bersekolah, jarang kami ke kedai makan untuk duduk makan di situ. Seminggu sekali bapa akan belikan kuih-muih yang dijual di kedai.
Apabila saya perhatikan keadaan anak-anak kecil dan generasi muda zaman sekarang, mereka seperti hidup di alam syurga. Semua yang dipinta pasti dikabulkan. Saya juga sering melihat ibu bapa bertanya kepada anak-anak mereka, kudap-kudapan atau ais krim jenis apa yang mereka mahu. Boleh dipilih-pilih lagi. Mereka langsung tidak kisah pasal harga atau pasal kesihatan anak.
Ke sekolah sahaja anak-anak zaman sekarang membawa tiga ringgit hingga lima ringgit. Ada yang membawa lebih daripada itu. Telefon pintar bermain di semua tangan. Akhbar, majalah dan buku diabaikan. Permainan klasik ditinggalkan sebab mereka langsung tidak tahu-menahu tentang itu.
Jarang saya nampak anak-anak ke kedai atau pasar bersendirian untuk membeli barang keperluan dapur. Semua urusan dilakukan oleh ibu bapa mereka. Lebih-lebih lagi banyak barang ditempah melalui talian sahaja. Pergi ke sekolah pun ibu bapa yang akan menghantar menaiki kereta. Ramai yang menaiki motosikal sendiri dan ada juga yang berkereta sendiri ke sekolah.
Keadaan seperti ini akan mengurangkan aktiviti harian mereka dan membuat generasi muda sekarang menjadi malas semalasnya. Limpahan kedai makanan segera pula sedang menjahanamkan kesihatan mereka.
Kebelakangan ini peperiksaan U.P.S.R dan P.M.R pula sudah dimansuhkan. Ini sudah pasti menjadikan pelajar belajar sambil lewa. Mereka dimanjakan sehingga cabaran menghadapi peperiksaan pun ditiadakan. Saya dapati ramai pelajar sekolah menengah tergagap-gagap membaca walau seperenggan cuma.
Apabila seseorang kanak-kanak dimanjakan dengan segala kehendak yang tidak relevan dalam kehidupan mereka, mereka akan rosak. Kesihatan mereka akan tergugat dan diri tidak cergas.
Sikap berhati-hati, berwaspada, berjimat-cermat, semangat kawan serta sifat menghormati orang tua seakan-akan pupus. Ramai yang berlagak dan ramai sudah menjadi seperti watak “Sazali”.
Kita melihat berlakunya gejala sosial berleluasa saban hari di negara kita. Ini adalah kerana ibu bapa tidak menanam nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Sikap malas ibu bapa, menjahanamkan masa depan anak.
Merotan anak dan pelajar sekolah sudah dianggap seperti suatu kesalahan mandatori. Semakin hari semakin bertambah penghuni penjara-penjara di Malaysia.
Saya mengesyorkan kepada ibu bapa dan Kementerian Pendidikan untuk bertidak tegas dalam menangani hal ehwal pelajar.
1. Berikan tugas bersihkan rumah dan sekolah.
2. Galakkan jalan beramai-beramai ke sekolah, jika sekolah tidak jauh dari rumah.
3. Jangan beri duit berlebihan. Galakkan mereka membawa bekal makanan dari rumah.
4. Sentiasa awasi anak-anak agar tidak bergaul dengan mereka yang tidak betul.
5. Ibu bapa dan guru digalakkan merotan jika para pelajar disabit kesalahan. Ibu bapa dilarang memihak 100% kepada si anak.
6. Jangan belikan telefon pintar untuk anak.
7. Buat jadual waktu di rumah dan awasi mereka agar patuh.
8. Jangan belikan segala barang dan makanan yang dipinta.
9. Pihak sekolah perlu adakan perjumpaan dengan ibu bapa setiap bulan.
10. Di rumah juga perlu diadakan mesyuarat mingguan untuk selesaikan masalah berbangkit.
11. Pastikan setiap pelajar membaca beberapa buku kreatif dan bukan kreatif dalam pelbagai bahasa yang dipinjam di perpustakaan mahupun dibeli. Setiap buku yang dibaca perlu dicatitkan rumusannya di buku nota.
Untuk mengelakkan kemungkaran dan untuk mengembalikan segala etika murni, Jangan manjakan anak anda!


Comments
Post a Comment