Cerpen
M. Mahendran
Sejak pagi tadi Visva terasa seperti ada sesuatu akan berlaku pada hari ini. Sejak akhir-akhir ini sudah beberapa kali perkara seperti ini terjadi, sama ada perkara baik mahupun buruk. Jika dia teringatkan seseorang yang sudah lama tidak ditemui, tiba-tiba sahaja orang itu akan terpacul di depannya.
Pelik, bukan?
Hari ini Visva tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kerja di gudang. Ada sesuatu yang mengganggunya. Ia seperti menusuk. Tusukan seperti imbasan kejadian yang akan berlaku kelak. Tidak jelas. Tidak pasti kejadian apa. Ia datang sekilas sahaja dalam hati, mungkin juga dalam fikirannya. Bukan seperti dalam filem Final Destination.
Kabur.
Hingga pukul lima, Visva tidak senang duduk. Perasaannya menjadi gusar dan gugup tanpa sebab. Nasib baik ada pembantu untuk menguruskan pemantauan keluar masuk barang. Dia cuma bawa forklift hari ini.
Takut dan berdebar terhadap perkara yang belum berlaku!
Pelik, bukan?
Kereta berbaris panjang di depan dan di belakang. Biasanya tidak begini waktu pulang kerja. Visva menekan brek perlahan-lahan. Mungkin ada kemalangan jauh di hadapan. Kalau tidak pun, mungkin ada sekatan jalan raya oleh polis ataupun penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Malas pula dia hendak melihat aplikasi Waze.
Menyampah!
Adakah ini yang melintas di fikirannya pagi tadi? Kesesakan trafik bukanlah perkara luar biasa.
Visva tidak tahu sama ada perlu menaikkan brek tangan atau mengalihkan gear ke N. Dia mengalihkan gear ke P sahaja kerana semua kereta di depan seperti tidak mahu bergerak langsung. Sudahlah pendingin hawa kereta Proton Wiranya ini sudah rosak selama tiga bulan. Jika dihantar ke bengkel, sudah tentu menelan belanja hingga beribu ringgit. Pomen di bengkel selalunya akan menemui kerosakan lain. Mungkin mereka berkata benar, mungkin juga tidak. Kebanyakan pemilik kereta terpaksa percaya pada kata-kata mereka. Tiada pilihan.
Peluh meleleh dari kepala menuruni hidung serta bibirnya. Walaupun lidah tidak dijelirkan keluar, dia masih boleh merasai kemasinannya.
Dadanya berdebar tanpa sebab. Visva sendiri tidak pasti mengapa dia perlu gugup. Dia memastikan tali pinggang keledar dipasang. Dia meraba kocek di belakang seluar. Ada. Tidak perlu takut. Kadangkala dia terlupa membawa dan tidak sempat kembali ke rumah untuk mengambilnya.
Ya, dompet. Aplikasi bank dan Touch’n Go sudah ada dalam telefon pintar. Begitu juga dengan aplikasi JPJ. Cuma kad pengenalan tetap perlu dibawa secara fizikal.
Sudah hampir sepuluh minit. Tiada perubahan. Semua kenderaan tidak bergerak. Seolah-olah semua diparkir di sepanjang jalan.
Pelik, bukan?
Harap bukan sekatan polis di depan.
Sejak kecil memang begini. Apabila melihat polis di mana-mana, Visva menjadi takut. Begitu juga dengan askar. Dahulu selalu sahaja polis atau askar membuat sekatan jalan raya setiap kali dia bersama keluarga ke Kuala Lumpur menaiki bas. Kad pengenalan bapa dan emaknya diperiksa. Sesiapa yang tidak membawa kad pengenalan atau mereka yang mencurigakan akan dipanggil turun dari bas.
Kebiasaannya kaum Cina yang menjadi mangsa. Visva tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka selepas itu dan aku tidak pernah ambil pusing. Asalkan selamat sampai di Stesen Bas Pekeliling, kemudian ke rumah nenek di Batu Caves menaiki bas mini.
Jam pada kereta menunjukkan pukul 5.36 petang. Pancaran cahaya matahari sungguh terang dan panas seakan-akan pukul 3 petang. Cuaca sekarang tidak menentu. Keluar dari tempat kerja, cuaca panas terik. Masuk sahaja ke dalam kereta, hujan pula. Kadang-kadang ketika dalam perjalanan pulang, hujan turun dengan lebat. Apabila hampir sampai di rumah, keadaan sudah terang benderang atau tidak hujan langsung. Proton Wira akan kelihatan basah kuyup pada pancaran sinaran matahari. Hingga isteri dan anak-anaknya berasa pelik melihat keadaan kereta.
Visva menekan punat radio. Kedengaran hilai ketawa juruhebah Minnal FM. Suara penyanyi Malaysia Vasudevan mendendangkan lagu dari filem Muthal Mariyathai. Visva tidak dapat menikmatinya sekarang seperti yang dinikmati selama beberapa dekad. Situasi tidak mengizinkan.
Visva mengunjurkan kepala untuk meninjau keadaan. Kesesakan lebih kurang sepanjang tiga kilometer. Dia tidak dapat melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku di hadapan. Kenderaan di seberang jalan pula bergerak lancar.
Dia terasa seperti hendak turun dan berjalan sahaja pulang ke rumah. Rumah pun bukan jauh. Jika berjalan kaki, setengah jam sudah sampai. Risau. Dia tidak tahu hendak buat apa sekarang.
Beginilah kehidupan di bandaraya. Ketika mahu segera, tetapi keadaan pula tidak mengizinkan.
Tiba-tiba dia terdengar ketukan pada pintu sebelah kiri. Kelihatan seorang gadis Melayu bertudung, awal 20-an, dalam keadaan tergesa-gesa. Siapa pula ini? Apa pula yang dia buat di tengah jalan raya?
Adakah ini yang datang sekilas dalam fikirannya pagi tadi?
“Uncle, tolong tumpangkan saya. Motorsikal saya rosak di tengah jalan.”
“Kamu tak dapat kereta lainkah, untuk menumpang?” kata Visvam dengan geram.
“Orang lain saya tak kenal. Tapi saya kenal Uncle,” kata gadis itu seperti hampir menangis.
Kenalnya? Dia sendiri tidak kenal gadis itu.
Perlukah dia membuka pintu dan membenarkan gadis itu masuk? Mana tahu ini scam. Mana tahu nanti gadis ini buatnya pengsan dan mencuri kereta, telefon dan dompetnya.
“Uncle, tolonglah. Uncle tinggal di taman yang sama dengan saya. Taman Cempaka,” katanya bersungguh-sungguh.
“Mana kamu tahu?” Visva tidak mahu berganjak.
“Saya selalu lihat uncle keluar dari sana. Isteri dan anak-anak uncle pun saya pernah nampak.”
Ini sudah bahaya. Gadis ini sudah lama memantau keluarganya dari jauh. Sedangkan dia langsung tidak pernah melihat gadis ini di tamannya. Sudah tentu ini scam.
“Tak boleh. Saya tak percaya,” kata Visva tanpa memandang wajah gadis itu.
“Tolonglah uncle. Bukannya jauh pun,” katanya merayu.
Pada ketika itu juga semua kenderaan di hadapan mula bergerak perlahan. Visva dengan pantas menurunkan brek tangan lalu mengalihkan gear dari P ke D. Kaki kanannya menekan pedal minyak perlahan-lahan. Lega rasanya. Visva tidak mahu memandang gadis itu.
“Uncle! Uncle!” Gadis itu masih mengejar dan mengetuk pintu kereta. Baru Visva perasan ada topi keledar di tangannya. Mungkin bukan scam.
“Tolonglah uncle!” Kali ini suaranya seperti menjerit dan menangis. Sambil memandu, Visva mengalihkan pandangan ke arah gadis itu. Entah bagaimana, kakinya dengan sendiri menekan pedal brek.
“Ok, masuk!” Visva mengucapkan perkataan ini tanpa berfikir panjang.
Visva sendiri hairan.
Pelik, bukan?
Tadi dia risau tentang polis. Sekarang muncul ketakutan lain pula.
Visva membuka pintu untuk gadis itu. Gadis Melayu itu duduk dengan pantas bersama topi keledar dan beg galas kecil. Badannya kelihatan berpeluh. Aroma peluh bercampur bau minyak wangi pada badannya tidak menyenangkan Visva hingga dia terbatuk.
“Terima kasih, uncle.”
“Hmm …,” Visva tidak mahu berbicara.
Namun, otaknya membuat pelbagai andaian tentang gadis itu serta polis yang perlu tempuhi nanti.
Kenderaan mula bergerak dengan sedikit lancar.Jauh lebih bagus daripada tadi.
Memang sekatan polis!
Kelihatan pegawai-pegawai polis yang bertugas di sekatan memeriksa satu persatu dokumen yang diperlukan.
Apa yang perlu dia jawab jika ditanya tentang gadis ini nanti? Visva menjadi gugup semula. Ada lagi dua kereta di depan sebelum tiba gilirannya.
Pegawai-pegawai itu juga meninjau ke dalam kereta serta bonet depan dan belakang setiap kereta secara terperinci. Apa yang mereka sedang cari? Mungkin dadah agaknya. Patutlah pergerakan tadi lambat; lagipun banyak lori. Visva menjadi stres.
Tiba giliran Visva.
Pegawai polis itu memandang mereka berdua dengan penuh curiga.
Visva dan gadis Melayu itu saling berpandangan.
“Encik, buka bonet belakang.”
Visva turun dari kereta lalu membuka bonet.
Kosong.
Pegawai polis mengangguk dan memberi laluan. Visva berasa hairan, pegawai itu tidak bertanya langsung tentang gadis Melayu itu.
Kereta Visva bergerak perlahan meninggalkan sekatan.
Beberapa saat kemudian …
BOOM!
Letupan kuat kedengaran jauh di belakang. Hingga dia sendiri terasa gegarannya dalam kereta. Visva memberhentikan kereta. Dia melihat melalui cermin sisi. Sebuah kereta tidak tahu jenis apa meletup berhampiran kawasan sekatan polis tadi. Dia memandang gadis itu. Wajah gadis itu kelihatan takut dan cemas.
“Macam mana kamu tahu kamu perlu naik kereta saya?” tanya Visva cuba menyembunyikan debaran jantungnya.
“Sebenarnya ... saya ada firasat suatu kejadian buruk akan berlaku hari ini, uncle.”
Visva terdiam.
Pelik, bukan?
Tamat


Comments
Post a Comment