Esei M. Mahendran Kebelakangan ini, kita sering menyaksikan pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh sebilangan individu daripada pelbagai kaum di negara ini. Keharmonian yang telah dibina dan diperkukuhkan selama ini diabaikan demi kepentingan diri sendiri atau kaum masing-masing. Perbuatan sebegini jelas boleh dikategorikan sebagai biadab . Penggunaan bahasa kesat, memaki, menghina, memfitnah, buli siber, dan ucapan kebencian adalah sikap biadab yang perlu dikawal. Kekurangan didikan sivik dan moral sejak kecil boleh mencetuskan sikap sebegini. Selain itu, pergaulan yang terhad dalam kalangan sendiri sahaja boleh menimbulkan prasangka buruk terhadap kaum lain. Ini juga merupakan sikap biadab yang perlu ditangkis sejak kecil lagi. Media sosial seperti Facebook, TikTok, dan YouTube kini sering dijadikan medan perdebatan untuk isu-isu remeh yang sepatutnya boleh diselesaikan secara tertutup. Perkara yang boleh diselesaikan dengan cara hormat dan bijak diperbesar...